Oleh DING CHOO MING

ORANG Melayu sudah terkenal sebagai pelaut di Alam Melayu  yang memiliki hasil mahsul yang beraneka ragam yang dicari-cari oleh pedagang dari India, Parsi, Arab, China dan lain-lain. Kepada orang Melayu masa dahulu, laut dan sungai merupakan lebuh raya yang membolehkan bukan sahaja barang-barang bertukar tangan (dijual beli) dan kebudayaan  bertembung, malah idea disebarkan.

Daripada buku sejarah, tercatat bahawa kemiskinan dan pergolakan politik di Alam Melayu merupakan faktor yang mendorong orang Melayu berpindah-randah. Dilihat daripada perspektif sejarah dan sudut sosiobudaya, pergerakan (jika “penghijrahan”  bukanlah istilah yang tepat pengertiannya) orang Melayu dari segi ruang ini juga mempunyai konotasi ekonomi dan politik yang tersendiri.

Daripada Hikayat Merong Mahawangsa,  Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, misalnya, tergambar Alam Melayu  yang mempunyai jaringan perdagangan yang besar sejak dahulu lagi hingga kebudayaan dari India, Arab, Parsi, dan lain-lain yang dibawa masuk oleh pedagang-pedagang itu lama-kelamaan bercampur gaul dengan kebudayaan tempatan dan peribumi, sekali gus memperkayakan kebudayaan berkenaan. Dalam proses rumit yang berlaku selama ratusan tahun itu, karya-karya asing seperti Ramayana dan Mahabahrata dari India dan Kitāb alf laylah wa-laylah ( كتاب ألف ليلة وليلة‎ ) atau One Thousand and One Nights dari  Arab sudah  diterima, kemudian dialihbahasakan, dan akhirnya menjadi sumber kelahiran Hikayat Seri Rama, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Abu Nawas dan lain-lain.

Kewujudan dan pembangunan bersama-sama kebudayaan asing dan tempatan yang berlaku secara pencampuradukan perbezaan dan kelainan dalam konteks ruang geografi yang sama itu  melahirkan sifat-sifat dan ciri-ciri “perbezaan dalam persamaan” dalam karya sastera Melayu tradisional. Sehubungan dengan itu, John Clammer  menganggap Alam Melayu merupakan  makmal ketamadunan manusia.

Pada masa lalu, orang Melayu bergantung pada kuasa-kuasa alam seperti tiupan angin dan arus air untuk pergi ke tempat yang ingin ditujui, sementara berpandukan matahari dan bintang  untuk mereka mencari jalan pada siang dan malam. Yang menarik ialah jalur-laut-perdagangan yang sebahagian besarnya bermula dari pelabuhan-istana itu membawa mereka ke India, Tanah Arab, China dan lain-lain di satu pihak dan membawa pedagang dari India, Tanah Arab, China dan lain-lain ke Alam Melayu di satu pihak yang lain. Sehubungan dengan itu, jalur-laut-perdagangan itulah juga barangkali jalur yang paling awal yang pernah digunakan untuk menghubungkan sebahagian daripada kira-kira 30,000 buah pulau di Alam Melayu, dan Alam Melayu dengan dunia luar.  Lihat jalur pelayaran dalam peta di bawah ini:

peta1

Antara sarjana yang sudah banyak mengkaji peningkatan perdagangan  Alam Melayu masa lalu selaras dengan kehendak dan kepentingan perdagangan India, Arab, China dan lain-lain ialah Anthony Reid dan Jan Christie. Jika dikaitkan kajian mereka itu dengan laporan daripada Chau Ju-Kua dari China dan Tomes Pires dari Portugis, kita akan mendapat gambaran yang baik tentang hubungan perdagangan yang sudah terjalin itu  yang berlangsung di sepanjang jalur-laut-perdagangan yang sebahagian besarnya ada kaitan dengan kerajaan Melayu. Lihat peta di bawah yang menunjukkan 72 tapak  istana, sekali gus pusat kuasa ekonomi-politik kerajaan Melayu, terutamanya di pesisir pantai dan muara atau tepi sungai yang besar:

peta2-1

Namun, buat masa ini, kita bermasalah untuk melakukan penyelidikan perintis ini. Antara sebab utamanya adalah bukan sahaja sebahahagian besar laur-laut-perdagangan dan istana kerajaan Melayu masa dahulu itu, malahan kebanyakan pelabuhannya sudah hilang. Antara yang dimaksudkan dengan pelabuhan lama itu ialah pelabuhan di Somaopu, Pontianak dan Palembang yang sudah dimodenkan, tetapi pelabuhan lama di tengah-tengah bandar Kelang sekarang  tidak digantikan dengan Pelabuhan Kelang. Demikian juga alat pengangkutan air seperti sampan, kolek, lancang, perahu dan lain-lain yang ada pada hari ini pasti sudah lain daripada yang digunakan ratusan, jika bukan ribuan tahun dahulu.

Tanpa dokumen yang boleh membantu kita untuk mengetahui lokasi yang tepat tentang jalur-laut-perdagangan yang pasti sudah berubah dan maklumat lain yang sangat penting, maka penyelidikan ini hanya dapat diteruskan dengan  membuat hipotesis, lebih-lebih lagi menggunakan imaginasi. Kita perlu membayangkan perdagangan, pergerakan dan aktiviti pertukaran kebudayaan  yang berlangsung di sepanjang jalur-laut-perdagangan, dari satu tempat ke satu tempat yang lain, malahan dari sebuah pulau ke sebuah pulau yang lain itu tidak pernah berhenti. Sebaliknya hal ini berterusan, bergantung kepada kehendak  raja dan kerajaan, malahan masyarakat Melayu  dari masa ke masa.

Selain itu, tentang penyebaran kesusasteraan, kita perlu membayangkan banyaknya penulis, tukang salin, tukang cerita dan lain-lain seperti tukang kentrung  di Jawa, jurupantun  di  Sunda, penglipur lara dan lain-lain yang berulang-alik mengharungi laut dan berputar-putar di darat untuk bercerita bagi menghiburkan dan mendidik di satu pihak, dan mengumpul cerita baharu di satu pihak yang lain. Aktiviti mereka  itu berterusan, malahan meningkat selaras dengan pengingkatan perdagangan yang dikuasai oleh raja dan bangsawan Melayu. (Bersambung)

Prof. Dr. Ding Choo Ming Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047316
    Visit Today : 932
    This Month : 29915
    Total Visit : 1047316
    Hits Today : 2496
    Total Hits : 4297298
    Who's Online : 16
  • Kategori