Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

PERSIDANGAN bertaraf antarabangsa yang diadakan pada bulan Julai ini ialah Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) kali ke-13. Persidangan yang diadakan setiap dua tahun ini seperti biasa mendapat kerjasama daripada Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta dinaungi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pada kali ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi tuan rumah bagi persidangan selama tiga  hari ini (19 hingga 21 Julai).

Persidangan seumpama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh para penterjemah dari dalam dan luar negara kerana ia merupakan platform bagi penterjemah dari seluruh dunia bertukar-tukar pandangan dan berkongsi ilmu mereka. Banyak isu menarik yang timbul hasil pembentangan kertas kerja yang merangkumi pelbagai skop yang disediakan. Pelbagai ilmu dapat dimanfaatkan oleh peserta dan rumusan ilmu  dibuat dalam resolusi pada akhir persidangan yang memerlukan tindakan diambil oleh beberapa pihak yang terlibat dalam dunia penterjemahan.

Dalam persidangan bertaraf antarabangsa seperti ini, khidmat jurubahasa semestinya diperlukan terutama untuk peserta dari negara luar yang tidak memahami bahasa Melayu kerana bahasa pengantar seminar selain bahasa Inggeris ialah bahasa Melayu. Dalam pembentangan sidang pleno, khidmat jurubahasa disediakan dan kepakaran mereka diuji untuk melaksanakan penterjemahan serentak. Walaupun bilangan jurubahasa yang mahir di negara kita ini masih kurang, namun terdapat beberapa orang yang boleh diiktiraf kepakaran mereka. Justeru, gandingan jurubahasa baru dan lama atau yang pakar dengan yang masih belajar disediakan bagi memenuhi keperluan persidangan.

Penulis teringat pada satu persidangan bahasa bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan pada awal tahun 1990-an, yang terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa dari negara jiran, Singapura. Namun, perkembangan ilmu penterjemahan yang semakin pesat kini telah membolehkan ramai tenaga jurubahasa dapat dilahirkan dan negara kita juga mampu mengendalikan persidangan ilmu sedemikian. Walaupun kedengarannya hanya mengalihbahasakan apa yang dituturkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu ataupun sebaliknya, bahan yang diterjemahkan juga perlu diambil kira. Pengalihbahasaan sesuatu bidang ilmu bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan kemahiran atau sekurang-kurangnya pengetahuan dalam bidang yang diperkatakan.

Ilmu kejurubahasaan juga merupakan salah satu cabang penterjemahan yang turut diajarkan di beberapa buah insitusi pengajian tinggi di negara ini selain kepakaran ini boleh diperoleh melalui kursus jangka pendek daripada insitusi tertentu. Namun, ternyata bidang kejurubahasaan memang mencabar dan memerlukan tahap kepakaran dan profesionalisme yang tinggi. Selain UiTM, Universiti Sains Malaysia (USM) turut menganjurkan kursus pengajian ini, iaitu sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, ataupun sebaliknya. Bukan sahaja kepakaran menterjemah secara spontan yang diperlukan, kejurubahasaan turut menuntut keberanian dan keyakinan yang tinggi  pada seseorang jurubahasa kerana penterjemahan lisan semestinya lebih mencabar daripada penterjemahan tulisan. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048801
    Visit Today : 1119
    This Month : 31400
    Total Visit : 1048801
    Hits Today : 3620
    Total Hits : 4302666
    Who's Online : 11
  • Kategori