Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) menyambut ulang tahunnya yang ke-54 pada 22 Jun lalu. Walaupun sambutan dalam kesederhanaan, tarikh 22 Jun pasti dikenang setiap tahun oleh warga DBP yang mengaku taat dan setia seperti yang dilafazkan dalam ikrar peneguhan. Menurut Ketua Pengarah,  agak sukar untuk mengukur dan menilai kejayaan dan keberkesanan program dan kegiatan yang dilaksanakan oleh DBP selama ini kerana ukuran tersebut bergantung pada sambutan dan penerimaan semua lapisan masyarakat terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Namun, adakah segala sumbangan yang diberikan oleh DBP memerlukan sanjungan dan pujian masyarakat?

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam ucapan pelancaran menegaskan perlu ada jiwa bahasa dalam diri setiap warga DBP agar sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu, terutama yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan. Peningkatan ilmu penting bagi mewujudkan tenaga kerja DBP yang menjadi pemula atau contoh kepada pembinaan pakar luar.

Walaupun majlis pelancaran sambutan ulang tahun DBP agak sederhana, acara penyampaian anugerah perkhidmatan 30 dan 35 tahun warga DBP mungkin kemuncaknya. Tiga orang staf DBP yang telah berkhidmat selama 35 tahun dan 10 orang lagi yang telah berkhidmat selama 30 tahun antara staf yang menerima anugerah perkhidmatan. Jangka masa 30 dan 35 tahun bukan satu jangka masa yang singkat dan memerlukan kekuatan hati, keinginan dan tekad  untuk terus berkhidmat di DBP. Hadiah wang tunai sepatutnya bukan menjadi ukuran, sebaliknya sebanyak mana dan seikhlas mana sumbangan yang telah diberi demi memenuhi visi dan misi DBP. Kepada generasi muda yang memilih DBP sebagai tempat mencari rezeki di samping gedung menimba ilmu, pastikan pilihan yang dibuat datang daripada “jiwa bahasa” yang benar-benar mencintai matlamat dan perjuangan yang didukung oleh DBP. Bagi yang telah lama berkhidmat di DBP, ternyata ada kekuatan di sini  yang membuatkan kita terus ingin berbakti. Tidak kira siapakah peneraju atau nakhoda DBP, bagi yang benar-benar sayang, seronok dan megah bekerja di DBP, mereka pasti sanggup untuk berkhidmat biarpun untuk seberapa lama lagi.

Perjuangan DBP mesti diteruskan walaupun mungkin hanya sebilangan orang yang benar-benar mahukan hayat DBP berpanjangan. Dewan Bahasa dan Pustaka masih relevan dalam memartabatkan bahasa Melayu di samping usaha pembinaan dan pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan yang tidak pernah berhenti.

Biar apapun desas-desus dari dalam dan luar yang menyatakan sambutan DBP kali ke-54 ini hambar, DBP tetap meniti usia dalam meneruskan perjuangan yang mengharapkan akan tiba masanya zaman kegemilangan suatu ketika dahulu muncul kembali.

Selamat menyambut Ulang Tahun DBP ke-54.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052402
    Visit Today : 655
    This Month : 655
    Total Visit : 1052402
    Hits Today : 3002
    Total Hits : 4320948
    Who's Online : 11
  • Kategori