Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

TARIKH 22 Jun sewajarnya diingati oleh setiap warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sama ada terdapat acara sambutan atau majlis istimewa pada tarikh itu atau sebaliknya, 22 Jun ialah tarikh keramat, iaitu penubuhan DBP di Johor Bahru pada tahun 1956. Walaupun DBP mula beroperasi pada bulan Oktober 1956, semangat perjuangan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka sudah bemula di sini. Perpindahan DBP selepas itu dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada 12 Julai 1957 bertujuan untuk memudahkan segala pelaksanaan tugasnya selaras dengan pengisytiharan bahawa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan yang akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara. Perjuangan DBP selanjutnya semakin mendapat tapak yang kukuh dan mempunyai matlamat yang pasti.

Kini selepas 54 tahun ditubuhkan dan selepas 15 tahun DBP menjalani penstrukturan organisasi (tahun terakhir pada 1995), DBP bakal menjalani penstrukturan semula organisasi (PPSO). Penstrukturan bertujuan antaranya  untuk mengatasi atau menghapuskan keadaan “terbahagi” antara bahagian dalam organisasi. Penstrukturan semula dilihat dapat mewujudkan senario kerjasama antara bahagian, khususnya bahagian sastera dan bahasa yang akan digabungkan di bawah satu jabatan. Penggabungan fungsi/kerja bagi dua bidang ini di bawah satu jabatan akan lebih memudahkan usaha pengembangan bahasa dan sastera.

Penggabungan yang akan menghilangkan “garisan membahagi” ini walau bagaimanapun, diharap tidak menjejaskan pengkhususan pegawai yang sedia ada dalam bidang-bidang berbeza sama ada bidang bahasa, sastera mahupun penerbitan. Penggabungan ini mungkin juga menyukarkan pembinaan kepakaran dalam bidang-bidang tersebut kalau pun tidak membantutkan perkembangannya. Penubuhan DBP adalah hasil semangat memartabatkan bahasa kebangsaan seperti matlamat DBP yang terkandung dalam Akta DBP. Tiga matlamat yang pertama, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembang bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan; dan mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku dan sebagainya dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain, adalah antara teras perjuangan DBP.

Tiga teras, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan ini secara langsung dan tidak langsung telah membina pakar bahasa, sastera dan penerbitan di DBP. Dalam tempoh 54 tahun, DBP telah banyak melahirkan pakar, misalnya pakar bahasa sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti penyandang kursi di Pengajian Melayu Beijing Foreign Studies University, Dr. Awang Sariyan yang juga mantan Pengarah Bahasa DBP, dan beberapa orang staf DBP yang bertugas di China. Begitu juga dengan beberapa orang pegawai sastera yang menjadi pakar rujuk dalam bidang penulisan, teater, sastera tradisional dan sebagainya masih mendapat tempat dalam masyarakat. 

Pembinaan kepakaran dalam kalangan staf DBP wajar diteruskan dan dipertingkat. Walaupun kita mungkin tidak akan memperoleh tokoh-tokoh bahasa, sastera dan penerbitan seperti suatu ketika dahulu, misalnya dalam zaman Usman Awang, Asraf dan beberapa orang tokoh bahasa dan sastera lagi, namun sekurang-kurangnya sehingga kini DBP masih mempunyai pakar rujuk dan bidang-bidang tersebut. Walaupun penstrukturan semula organisasi bertujuan memupuk kerjasama dalam kalangan staf agar bekerja di bawah “satu bumbung”, kepentingan pembinaan pakar dalaman perlu diberi perhatian kerana tanpa adanya pengkhususan yang boleh membawa kepada pembinaan pakar, hasrat tersebut mungkin sukar terlaksana. 

Penstrukturan juga mengkehendaki DBP berperanan untuk membina pakar di luar bagi membantu mengembangkan ilmu bahasa, sastera dan penerbitan kepada masyarakat. Namun, untuk membina pakar di luar bukanlah suatu tugas yang mudah jika staf DBP sendiri tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Kita perlulah menjadi pakar terlebih dahulu sebelum membina pakar di luar supaya peranan DBP nanti tidak dilihat sebagai sekadar pengurus program atau pegawai projek atau lebih kepada tugas menguruskan hal-hal pentadbiran.

Sempena bulan Jun bulan ulang tahun DBP, kita perlu mengenang kembali sejarah penubuhan DBP, iaitu hasil daripada semangat, keringat dan barangkali air mata pejuang-pejuang bahasa terdahulu, sama seperti apabila kita menyambut Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kita akan mengenang jasa mereka yang berjuang sehingga ada yang terkorban untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air yang tercinta ini. Begitu jugalah dengan DBP.

Semangat DBP perlu dihidupkan dan dikembalikan. Matlamat DBP perlu dipugar, diperkukuh dan dalam apa-apa keadaan sekalipun sama ada penstrukturan semula organisasi akan “menggabungkan” atau “masih terbahagi dalam bergabung”, aspek bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa kebangsaan yang merupakan teras matlamat DBP perlu dipertahan dan dipertingkat supaya berada dalam “daerah” dan kedudukannya yang lebih ampuh. Selamat Menyambut Ulang Tahun DBP ke-54. aliah@dbp.gov.my  

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051708
    Visit Today : 1021
    This Month : 34307
    Total Visit : 1051708
    Hits Today : 3369
    Total Hits : 4317830
    Who's Online : 7
  • Kategori