Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


LEMBARAN baru 2011 bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dengan sambutan Hari Inovasi pada 21 Disember tahun lalu. Majlis Hari Inovasi 2010 yang diadakan sekali gus
menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah apabila DBP menerima Sijil Pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 daripada SIRIM.

Permulaan setiap tahun yang memberangsangkan bagi DBP memang selalu diharapkan oleh pihak pengurusan mahupun warga DBP. Kesemua pihak harus memastikan permulaan yang baik ini akan dilanjutkan kepada pengakhiran tahun yang baik juga, dan seterusnya tahun-tahun mendatang. Dalam konteks pelaksanaan inovasi atau pembaharuan, DBP disaran supaya sentiasa berdaya saing dan kekal relevan di pentas dunia agar dapat bersama-sama meneruskan persaingan sihat dalam era globalisasi. Untuk merealisasikan usaha tersebut, DBP wajar menjadikan inovasi suatu agenda dalam pembaharuan dan perubahan bagi organisasi DBP.

Walaupun inovasi mengkehendaki kita menggunakan pendekatan baru serta cara berfikir yang tidak lagi pasif sebaliknya proaktif, kaedah tersebut perlu berlandaskan norma dan mempunyai nilai selain berpasakkan misi dan visi yang telah lama didokong oleh organisasi. Elakkan daripada sebarang penyelewengan, pembaziran dan ketidakcekapan dalam kerja untuk mencapai hasrat tersebut.

Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan kedaulatan bahasa dan sastera kebangsaan, warga kerjanya sudah pasti berusaha ke arah kecemerlangan serta menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai budaya kerja dan amalan dalam kehidupan.

Petikan ucapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah semasa majlis Hari Inovasi perlu direnungi dan difahami bersama-sama. Menurut beliau, inovasi bukan sahaja dihadkan kepada bidang sains dan teknologi tetapi termasuk semua bidang pembinaan tamadun berasaskan ilmu. Yang dimaksudkan itu termasuklah DBP kerana kewujudannya antara lain adalah untuk membina tamadun berasaskan ilmu, dan teras ilmunya ialah bahasa dan sastera.

Beliau turut menekankan bahawa musuh utama inovasi ialah birokrasi, oleh itu untuk mencapai inovasi iklim kerja organisasi hendaklah diubah, contohnya menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan kerenah birokrasi. Ringkasnya menurut beliau, “hendak membangunkan inovasi perlu menghapuskan birokrasi”. Namun sejauh manakah perkara ini dapat dilaksanakan atau ingin dilaksanakan?

Kita tidak perlu terlalu ghairah mencari sesuatu yang baru kerana walaupun inovasi ialah idea baru yang ingin dimanfaatkan dalam pelbagai aspek, ia mungkin juga kombinasi antara beberapa elemen atau unsur lama. Kreativiti seseoranglah yang dapat mengungkapkan, mengetengahkan dan mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman lama dalam menghasilkan sesuatu yang baru. Justeru, inovasi bukan setakat melakukan pembaharuan tetapi mencari idea-idea baru yang boleh terhasil daripada kombinasi beberapa elemen yang lama.

Inovasi ialah sesuatu yang diperkenalkan seperti sistem, kaedah, adat dan sebagainya yang baru. Inovasi juga elemen penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap cemerlang. Namun, usaha merealisasikannya tidak hanya terletak pada bahu warga kerja sebaliknya pihak pengurusan hendaklah turut sama berperanan, kerana pihak pengurusan juga sebahagian daripada warga kerja DBP yang mesti bersama-sama menyumbang ke arah memastikan tercapainya kecemerlangan DBP.

Selaras dengan tema Hari Inovasi, kecemerlangan organisasi bergantung pada kualiti serta keupayaan pekerja yang ingin menjadi lebih inovatif dan produktif. Semoga tahun 2011 akan lebih bermakna kepada kita semua.

Selamat Tahun Baru 2011. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052372
    Visit Today : 625
    This Month : 625
    Total Visit : 1052372
    Hits Today : 2914
    Total Hits : 4320860
    Who's Online : 5
  • Kategori