Oleh DR. MOHD. GHAZALI TAIB

Nor Hafuza Muhammad Arif (tengah), johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018.

NOR HAFUZA Muhammad Arif dari Wangsa Maju muncul sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 pada 23 September 2018 melalui puisi “Membaca Merdeka” karya Solihin Osman yang terbit dalam Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Lentera Zaman, terbitan GAPENA. Naib johan pula disandang oleh Ahmad Harun dari Cheras yang mendeklamasikan puisi “Tunas Pahlawan” karya Abd. Karim Gulam. Tempat ketiga dimenangi oleh Nor Eleyda Ezani dari Taman Ehsan dengan puisi “Junjung Kasih Malaysiaku” karya Poul Nanggang.

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan merupakan salah satu aktiviti tahunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Sehubungan dengan itu, pada tahun ini Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) diberi penghormatan untuk menganjurkan sayembara bagi mencari wakil peserta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-32 Peringkat Kebangsaan.

Sayembara yang dianjurkan bersama GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, dan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Kuala Lumpur apabila seramai 19 orang peserta mengambil bahagian.

Sayembara ini diadakan untuk melahirkan masyarakat yang menghayati dan menghargai hasil karya puisi dalam bentuk deklamasi puisi selain memberikan ruang dan peluang kepada pendeklamasi puisi untuk mengetengahkan bakat mereka dalam penyampaian puisi yang menarik dan kreatif. Penganjuran sayembara deklamasi puisi kemerdekaan ini juga diharapkan akan dapat memupuk minat dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera Melayu, khususnya genre puisi.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Amirudin Md Ali Hanafiah, Ketua Dua GAPENA, Dr. Mohd. Ghazali Taib, Ketua 1 KALAM, Dr. Nagalingam Karuppiah, Pengarah, IPGKBA dan Encik Amran Daud, wakil DBP Wilayah Tengah.

Para pemenang bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049658
    Visit Today : 503
    This Month : 32257
    Total Visit : 1049658
    Hits Today : 3555
    Total Hits : 4308316
    Who's Online : 8
  • Kategori