Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

BULAN Disember tahun 2010 ialah bulan akhir dalam kalendar Masihi tetapi bulan permulaan bagi kalendar Islam 1432H yang jatuh pada 7 Disember 2010. Apabila kalendar Masihi melabuhkan tirainya, kalendar Hijrah membuka lembaran baharu.

Klik Web DBP, akhbar digital terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru setahun jagung memenuhi ruang sesawang DBP sejak paparan pertamanya pada bulan April 2010, sentiasa dipertingkat dan dimantapkan lagi pengisiannya. Pengisian bahan dari aspek bahasa, sastera dan penerbitan bukanlah sesuatu yang mudah apalagi untuk mengungkapkan atau mengetengahkan sebarang berita dan malah topik bersangkutan bahasa, sastera dan penerbitan yang bertujuan membina, mengembangkan dan memartabatkan bahasa dan sastera.

Melalui Klik Web, sudah menjadi tanggungjawab DBP memanfaatkan akhbar digital ini yang secara tidak langsung merupakan wadah warga DBP mengemukakan apa-apa sahaja perkembangan bahasa, sastera  dan penerbitan agar dapat dikongsi oleh khalayak terutama mereka yang berminat untuk mengetahui aktiviti bahasa, sastera dan seterusnya perkembangan DBP.

Walaupun DBP mempunyai majalah dalam ketiga-tiga bidang tersebut, Klik Web memainkan peranannya tersendiri dan mungkin lebih befungsi sebagai surat berita DBP. Paparannya bertujuan mendekatkan DBP dengan masyarakat menggunakan internet seiring dengan era teknologi maklumat dan komunikasi masa kini.

Klik Web berkonsepkan berita dan rencana, ringkas, padat dan bermaklumat serta mempunyai bahan dan gaya penulisan tersendiri yang sudah pasti berbeza dengan akhbar atau buletin lain. Maka sewajarnya dimanfaatkan bersama-sama.

Fungsi Klik Web memaparkan apa-apa sahaja berita atau rencana berkaitan bahasa, sastera dan penerbitan melibatkan DBP yang biasanya kurang atau tidak mendapat liputan meluas atau menyeluruh di dada akhbar tempatan. Di samping itu, Klik Web juga menjadi antara alat yang paling pantas melaporkan maklumat atau aktiviti di DBP untuk tatapan umum.

Mudah-mudahan Klik Web akan terus memainkan peranan walaupun mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak bagi memastikan kelangsungan usaha memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu bukan sahaja di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa.

Setelah lebih setengah tahun berada dalam laman sesawang DBP, diharap pengguna dan pencinta bahasa dan sastera mendapat banyak manfaat dan pendedahan secara tidak langsung tentang visi, misi dan hala tuju DBP. Semoga pada Tahun Hijrah 1432H,  Klik Web lebih terampil, berkeyakinan dan mengesankan di jiwa pembaca. Bermulanya tahun baharu 2011, lebih peningkatan, pemantapan dan penyebarluasan maklumat Klik Web moga dapat disempurnakan. Keterlibatan semua pihak amat diharapkan dan sangat dialu-alukan walaupun hanya sekadar sebagai pembaca setia.

Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1432H. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052280
    Visit Today : 533
    This Month : 533
    Total Visit : 1052280
    Hits Today : 2670
    Total Hits : 4320616
    Who's Online : 12
  • Kategori