Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

OKTOBER telah berlalu, bermakna sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bagi tahun 2010 telah pun berakhir. Ada juga yang bertanyakan DBP, sampai bilakah sambutan BBK ini akan dibuat? Ada juga yang menjawab sehingga semua rakyat Malaysia mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan, barulah usaha ini selesai.

Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa,
Nama dari suatu sejarah,
Api dari suatu zaman,
kesaktian lidah rakyat.

Namun, pada hakikatnya usaha memperjuangkan bahasa kebangsaan tidak pernah akan berakhir seperti mana bahasa Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Semangat dan usaha memelihara dan memperjuangkan bahasa kebangsaan tidak seharusnya berakhir sama dengan berakhirnya bulan Oktober setiap tahun.

Kewajaran dan kepentingan sambutan BBK terbukti sejak dahulu bermula dengan sambutan Minggu Bahasa Kebangsaan pada era 1960-an. Walau apapun nama sambutan bulan bahasa yang dibuat, matlamat dan jiwanya tetap sama. Sudah menjadi kewajiban semua rakyat Malaysia memastikan usaha kelangsungan perjuangan memartabatkan bahasa ini sentiasa dibuat.

Jika diamati, lirik lagu Dewan Bahasa yang sentiasa dinyanyikan dalam perhimpunan rasmi di DBP, makna perjuangan tersebut terungkap dalam lirik lagu ini, terutama pada baris-baris awalnya.

Dewan Bahasa kau obor kebangsaan,
Restu dari jiwa pahlawan,
Nyala membakar semangat rakyat,
Kau abadi dan keramat.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP, frasa “nama dari suatu sejarah, api dari suatu zaman” begitu indah dan lengkap maksudnya. Bagaimana puitis bahasa yang diungkapkan, begitu jugalah dengan perjuangan DBP yang bermula dengan perjuangan menubuhkan gedung ilmu (bahasa, sastera dan penerbitan), sehinggalah sekarang. Menurut beliau, liriknya yang ditulis oleh Sasterawan Negara (SN) Usman Awang bukanlah sesuatu ditulis “bak angin lalu”, sebaliknya mempunyai makna tersirat yang mendalam dan mengesankan di jiwa kita.

Jasa dan keringat pejuang bahasa terdahulu dapat kita rasakan jika kita benar-benar menghayati seni kata lagu tersebut. Segala perjuangan mereka ini tidak seharusnya “direncatkan”, sebaliknya diteruskan dan dipertingkat ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Pihak media termasuk akhbar berbahasa Inggeris pernah membuat liputan yang kadangkala tersasar daripada kebenaran selain mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kenyataan mereka ini tidak seharusnya dipandang remeh. Halangan dan rintangan pasti akan sentiasa melanda bahasa kebangsaan dan kitalah yang perlu mengatasi masalah tersebut di samping memelihara  kedaulatan bahasa kebangsaan yang tercinta.

Selain DBP, para pejuang bahasa yang lain hendaklah  mengatur strategi untuk turut ikut berwacana secara objektif dan tidak hanya berdiam diri, bersama-sama menghadapi sebarang halangan dan tentangan yang dihadapkan kepada kita.

“Hasil yang diperoleh kini dituai dan ditanam lagi supaya mendapat hasil yang lebih baik dan lebih banyak”. Mereka yang mendahului kita telah berjuang memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan, dan sewajarnya kita  meneruskan perjuangan mereka, berjuang dan terus berjuang. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052262
    Visit Today : 515
    This Month : 515
    Total Visit : 1052262
    Hits Today : 2602
    Total Hits : 4320548
    Who's Online : 9
  • Kategori