Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


AGENDA yang besar sepanjang bulan Oktober di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Pelbagai acara dan aktiviti yang melibatkan bahasa dan sastera diadakan di semua peringkat, wilayah, negeri mahupun kebangsaan untuk mengisi program BBK. Hal ini tidak pula bermakna dalam bulan Oktober sahaja, rakyat Malaysia diingatkan agar mencintai dan memartabatkan bahasa kebangsaan kerana sikap dan semangat tersebut sewajarnya terus berkobar-kobar dan menyala sepanjang tahun.

Pada kali ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran agar turut memastikan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda dan papan iklan di premis syarikat, pejabat dan sebagainya menggunakan bahasa kebangsaan dan mematuhi penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Sejauh manakah tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan oleh pihak berkenaan agar bahasa kebangsaan diletakkan pada tempat sewajarnya sebagai bahasa rasmi negara.

Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, majlis pelancaran BBK tetap  diadakan setiap tahun, Cuma  yang berbeza ialah lokasi pelancarannya. Kali ini di Ipoh, Perak.

Pada majlis pelancaran BBK di Ipoh baru-baru ini, YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd. Yassin menyarankan agar peneguhan sikap pengguna bahasa turut diberi tumpuan dalam pengisian program BBK pada tahun ini. Menurut beliau, pemupukan sikap dan peneguhan bahasa dalam kalangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak seharusnya dipandang ringan. Penegasan dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Selaras dengan tema BBK – 1 Bahasa, 1 Bangsa dan 1 Negara, rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum diharap dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik demi memperkukuh perpaduan antara kaum. Usaha pemantapan penggunaan bahasa kebangsaan perlu dipertingkat, iaitu dengan cara terus menggesa, menggalakkan, meningkatkan kefahaman dan kesedaran supaya bahasa kebangsaan terus dimartabatkan oleh semua warganegara.

Namun, bagaimanakah caranya untuk melaksanakan usaha-usaha tersebut? Siapakah dan pihak manakah yang akan memainkan peranan itu?

Mungkin juga saranan seumpama ini atau tanggungjawab ini diperingatkan setiap kali tibanya BBK atau terus dipertingkat dan diperluas kepada pihak atau golongan yang lain pula.

Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri, penguatkuasaan undang-undang tanpa ada kerelaan diri untuk menghormati bahasa kebangsaan tidak akan mampu menjayakan matlamat yang dihasratkan. Oleh itu, bagaimanakah caranya untuk kita bersama-sama menimbulkan kesedaran dalam jiwa masyarakat terhadap tanggungjawab kita ini?

Program BBK adalah salah satu cara untuk mencapai hasrat tersebut. Usaha itu wajar diteruskan dari semasa ke semasa manakala aktiviti kebahasaan yang dibuat hendaklah mengikut masa, suasana dan khalayak.

Hal ini bermakna DBP antara pihak yang masih terus berperanan memastikan kelangsungan perjuangan ke arah memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara selaras dengan tujuan BBK dan temanya setiap tahun. Tidak kira apa cara sekalipun yang difikirkan wajar, berkesan dan bermanfaat, matlamat untuk menyemarakkan bahasa kebangsaan di jiwa setiap rakyat dan generasi perlu diteruskan sama ada melalui penguatkuasaan ataupun tidak.

Semarakkan jiwa bahasa dan megahkan bahasa kita. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047574
    Visit Today : 1190
    This Month : 30173
    Total Visit : 1047574
    Hits Today : 3646
    Total Hits : 4298448
    Who's Online : 8
  • Kategori