Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

“PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN” satu slogan yang menarik tetapi penting untuk difahami dengan sejelas-jelasnya. Dunia mengetahui, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum masih boleh bersatu padu walaupun mempunyai pelbagai latar belakang, iaitu agama, adat resam, budaya dan seumpamanya. Setelah 53 tahun negara merdeka, perpaduan antara kaum bukan sahaja perlu dikekalkan malah diperkukuh lagi demi keharmonian dan kestabilan negara.

Sebenarnya konsep perpaduan telah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia pelbagai kaum, terutama selepas negara menyambut kemerdekaan dan selepas beberapa peristiwa yang tercetus akibat kelonggaran semangat perpaduan dalam jiwa rakyat suatu ketika dahulu. Demi menyatupadukan pelbagai kaum,   negara memperkenalkan konsep muhibbah pada era tahun 1960-an. Kerajaan, pihak media, orang awam mahupun swasta turut memainkan peranan untuk menguatkan ikatan perpaduan ini, antaranya menerusi media filem seperti filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pada ketika itu yang turut membariskan pelakon daripada pelbagai bangsa.

Konsep 1 Malaysia yang lebih memfokus pada perpaduan seharusnya tidak mengenepikan satu aspek yang tiada kepelbagaiannya, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.  Dalam konteks rasmi tiada kepelbagaian bahasa, sebaliknya hanya ada satu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, iaitu bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan ternyata dapat menyatupadukan kaum selama ini.

Usaha kerajaan memberikan penerangan tentang konsep 1 Malaysia menerusi pelbagai saluran media sewajarnya dilakukan secara kerap dan berterusan supaya masyarakat benar-benar memahaminya. Namun peranan bahasa kebangsaan tidak seharusnya diketepikan. Bahasa Melayu bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi bahasa Melayu untuk semua rakyat Malaysia, maka sewajarnya semua rakyat yang mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia memastikan kelangsungan pelaksanaan bahasa Melayu dalam negara kita yang tercinta ini.

Rancangan televisyen termasuk iklan, drama, filem dan lain-lain yang mengetengahkan konsep perpaduan antara kaum di negara ini wajar digalakkan dan diberi perhatian. Usaha memberikan keutamaan atau menjadikan perpaduan sebagai tema patut dipuji apatah lagi dengan penggunaan bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu.

Apabila wujud perpaduan antara kaum, maka keharmonian negara dapat dicapai mahupun dikekalkan. Dengan wujudnya keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan rakyat, keamanan negara dan seterusnya kestabilan politik akan berkekalan.

Kita tidak menyekat masyarakat pelbagai kaum untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing sama seperti mereka mengamalkan agama, budaya dan adat resam, namun demi semangat kemerdekaan dan perpaduan, utamakanlah bahasa kebangsaan kita.

Dengan memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa bahasa Melayu akan hanya dihormati oleh dunia jika Malaysia mampu mencapai tahap kejayaan tinggi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab ini untuk membuktikannya. Semoga dalam bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu,  kita telah bermuhasabah untuk membina keyakinan yang lebih kukuh tentang hal tuju kita dan Aidilfitri yang menjelang tiba sebagai satu kemenangan bagi kita kerana berjaya memahaminya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Hari Malaysia. aliah@dbp.gov.my

  1. terima kasih!!!!!artikel ini banyak membantu saya mendapatkan maklumat.

    • Klik Web DBP says:

      Terima kasih juga kepada saudara. Teruskan membaca Klik Web DBP untuk mendapatkan pelbagai maklumat bahasa, sastera, dan penerbitan serta aktiviti korporat DBP.

  2. mohd fauzi bin jamikah says:

    terima kasih Klik Web DBP,
    sedang mencari info “Bahasa Melayu wahana Perpaduan 1 Malaysia”
    untuk menambah isi teks pidato saya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051639
    Visit Today : 952
    This Month : 34238
    Total Visit : 1051639
    Hits Today : 3075
    Total Hits : 4317536
    Who's Online : 3
  • Kategori