Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


KONSEP 1 Malaysia jelas bertujuan menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara kita, bukan sahaja bangsa majoriti, iaitu Melayu, Cina dan India tetapi merangkumi semua suku kaum dan etnik di seluruh negara. Antara wadah yang dapat menyatupadukan kita dan telah terbukti berjaya dilaksanakan selepas zaman penjajahan ialah penggunaan bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara dan hal ini telah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, dalam keadaan tertentu, ungkapan 1Malaysia seperti disalahtafsirkan oleh golongan tertentu atau memang mereka benar-benar tidak memahaminya. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 1Malaysia? Adakah bermakna setiap bangsa di negara kita boleh menuturkan bahasa ibunda masing-masing untuk menyatakan maksud yang sama bagi sesuatu perkara, dikatakan 1Malaysia? Sememangnya tidak menjadi kesalahan apabila bangsa Cina dan India menuturkan bahasa masing-masing terutama dalam konteks tidak rasmi seperti yang ditonjolkan dalam iklan oleh sebuah syarikat besar negara. Tetapi jika situasi demikian kerap diketengahkan, dikhuatiri rakyat negara ini akan menganggap kebebasan bertutur dalam bahasa masing-masing dalam apa-apa keadaan sekalipun melambangkan 1 Malaysia. Apabila keadaan ini timbul, di manakah nanti peranan bahasa Melayu yang sewajarnya dijunjung oleh setiap warganegara Malaysia?

Sempena sambutan bulan kemerdekaan pada bulan Ogos, kita wajar menyingkap semula beberapa perkara yang sepatutnya berada pada kedudukan yang sedia ada dan sewajarnya termasuk bahasa Melayu supaya tidak dieksplotasikan oleh golongan yang mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan rakyat. Dalam keghairahan merealisasikan konsep 1 Malaysia, hal-hal yang melibatkan perpaduan kaum tidak boleh diabaikan, diganggu-gugat atau dibuat tafsiran yang baharu.

Pemahaman tentang konsep 1 Malaysia perlu diperjelaskan kepada rakyat agar benar-benar memahaminya supaya tidak ada pihak yang dapat menghilangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Dewan bahasa dan Pustaka institusi negara yang diberi tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu sentiasa menjalankan peranan, misi dan visi dalam apa-apa jua keadaan dan rintangan yang timbul. Namun usaha ini memerlukan sokongan semua pihak awam dan swasta selain pihak pemerintah agar  bersama-sama memelihara bahasa Melayu bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa pengantar negara. Oleh itu, semua pihak boleh sama-sama menyemarakkan lagi kecintaan rakyat terhadap negara dengan mengobarkan jiwa bahasa.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53.aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048813
    Visit Today : 1131
    This Month : 31412
    Total Visit : 1048813
    Hits Today : 3670
    Total Hits : 4302716
    Who's Online : 15
  • Kategori