Oleh NORAZLINDA MISRAN
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Yayasan Islam Kelantan dan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri, telah menganjurkan Program Memperkasakan Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan pada 18 Februari 2019 di KIAS, Kelantan.
Bersempena program ini, acara yang diadakan termasuklah pertandingan pidato dan tazkirah (7) minit yang disertai oleh pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi dan program majalah dalam kelas bersama-sama editor Dewan Sastera.
Pertandingan ini diharap dapat memberi impak positif terhadap kemampuan mengolah hujah dan meningkatkan pengetahuan para peserta terhadap isu yang disampaikan dalam bahasa Melayu dengan baik. Kemampuan ini amat bergantung kepada tahap penguasaan dan penggunaan bahasa yang mantap.
Mohd. Salahuddin Mohamed, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, dalam ucapan aluan mengatakan bahawa DBP akan memperluaskan program ini dengan melibatkan pelajar tahfiz dan sekolah-sekolah swasta yang lain.
Menurutnya lagi, minat yang begitu tinggi yang ditunjukkan untuk menyertai pertandingan pada hari ini haruslah diberikan pujian kerana para peserta mempunyai minda yang positif dan bersedia untuk menyahut cabaran yang mendatang.
Sesungguhnya masa depan dan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bergantung kepada sikap bangga dan komitmen setiap insan untuk memperjuangkannya. Penggunaan bahasa Melayu dalam konteks pengajian tinggi adalah penting selaras dengan hasrat kita semua untuk menjadi dan mengekalkannya sebagai bahasa ilmu tinggi yang setanding dengan bahasa antarabangsa yang lain.
Berikut ialah senarai pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Pertandingan Pidato kategori Sekolah Menengah;
PERTAMA | Nur Hilyati Mohd Hasmi | Maahad Muhammadi Perempuan |
KEDUA | Syahrul Adam Salleh Ibrahim | Kolej Tahfiz Saims Nurul Aman |
KETIGA | Adawiyah Mohd Hanafi | Maahad Muhammadi Tumpat |
Pertandingan Pidato kategori Institut Pengajian Tinggi;
PERTAMA | Nur Aisya Ruslan | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |
KEDUA | Muhammad Anas Malek | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |
KETIGA | Muhammad Afif Muhammad Rosdi | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |
Pertandingan Tazkirah Tujuh Minit kategori Sekolah Menengah;
PERTAMA | Muhamad Fitri Adanan | Kolej Tahfiz Saims Nurul Aman |
KEDUA | Muhammad Amar Danish Ahmad Sumardie Shan | Maahad Tahfiz Wal Qiraat |
KETIGA | Putera Mohamad Danial Adnan | Maahad Muhammadi Pasir Mas |
Pertandingan Tazkirah Tujuh Minit kategori Institut Pengajian Tinggi;
PERTAMA | Syahidatul Husna Bakomsin | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |
KEDUA | Abdul Hadi mohd Pouad | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |
KETIGA | Adawiyah Che Hasan | Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra |