Oleh NORAZLINDA MISRAN
Karnival Bahasa Jiwa Bangsa diadakan pada 10 dan 11 Oktober 2015 yang lalu di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Program yang bertemakan “Kearifan Tempatan Merentas Budaya/Bahasa Merentas Bidang dan Budaya” ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan kegiatan bahasa, budaya dan sastera kebangsaan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat pelbagai kaum di negeri tersebut.
Aktiviti yang diadakan sepanjang karnival ini lebih berunsur didikhibur dan dilaksanakan secara santai dengan penglibatan pelbagai pihak.Karnival Bahasa Jiwa Bangsa ini dimulakan dengan senamrobik Bahasa Jiwa Bangsa. Hampir 200 orang peserta telah menyertai senamrobik ini.
Selain itu, aktiviti yang turut diadakan sepanjang karnival ini ialah ekspresi jiwaku iaitu acara cap tangan beramai-ramai pada kain rentang gergasi Bahasa Jiwa Bangsa, eksplorasi bahasa, pertandingan lagu puisi pelajar antarabangsa, persembahan koir kod tangan, dan pertandingan puisi berlagu dan pantun berirama.
Pada malamnya pula, diadakan “Malam Bahasa Jiwa Bangsa” yang menampilkan beberapa persembahan istimewa, seperti mek mulung, dikir barat Arjuna Sukma, lagu puisi oleh Datuk Ramli Sarip dan deklamasi puisi oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah. Turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, YB Dato’ Jaya Budiman Dato’ Paduka Haji Mohd. Puat Haji Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, wakil Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, mantan Ketua Pengarah DBP.
Pada 11 Oktober 2015 pula, diadakan pertandingan mewarnai lukisan, melukis poster, cakna bahasa, dan penyampai radio. Selain itu, turut diadakan persembahan qasidah, pancaragam, puisi, syair dan gurindam.
Pameran Karnival Bahasa Jiwa Bangsa turut diadakan sepanjang acara ini berlangsung. Selain DBP, pempamer yang terlibat ialah:
1.Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kedah
2.Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)
3.Penerbit Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
4.Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM)
5.Jabatan Mufti Negeri Kedah
6.Pusat Sains Negara, Cawangan Wilayah Utara
7.Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM)
8.Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah
9.Lembaga Muzium Negeri
10.Perpustakaan Negeri Kedah
11.Jabatan Penjara Kedah
12.Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
13.AADK Negeri Kedah
14.Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah
15.Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
16.Pustaka Rihaz (wakil Telaga Biru)
17.Orionids Enterprise
18.Toko Buku Cahaya Baru Sdn. Bhd. Pembekal buku Dewan Bahasa & Pustaka
19.Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
Karnival ini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Pejabat SUK, Majlis Perbandaran/Bandaraya Alor Setar, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Muzium Negeri, Persatuan Sejarah, Y-Center, KEDA, IPD dan RTM.