MOHAMED Ghozali bin Abdul Rashid atau Malim Ghozali PK telah terpilih sebagai  penerima S.E.A. Write Award tahun 2013. Klik Web telah mewawancara beliau untuk mendapat sedikit pandangan beliau tentang diri, pengalaman berkarya dan pandangan beliau terhadap kesusasteraan secara umum.

Malim Ghozali PK

Malim Ghozali PK

Tahniah kerana dipilih sebagai penerima SEA Write Award. Apakah perasaan apabila diumumkan sebagai penerima?

Sudah tentu saya bersyukur dan gembira.  Sayang, orang-orang yang memerhatikan perkembangan saya sebagai penulis — terutama ibu dan ibu saudara saya sudah lama menyahut panggilan Ilahi.

Tidakkah saudara rasa lambat berbanding dengan sesetengah penulis yang menerimanya pada usia yang jauh lebih muda?

Itu tidak menjadi isu kepada saya.  Bila dan bagaimana itu semua ketentuan daripada-Nya.  Lagi pun saya menganggap diri saya sebagai pengarang “keluar masuk”  —  karya (sajak) mula terbit pada tahun 1968, kemudian berhenti menulis pada tahun  1970.  Menulis semula tahun 1985, kemudian berhenti pula pada 1990.  Selepas itu tidak menulis selama enam belas tahun, sehinggalah terjun semula pada 2006.  Apa pun, semasa saya “hilang” selama 16 tahun (1990 – 2006), saya berjaya menghasilkan buku kajian al-Quran.  Cuma, saya meninggalkan bidang penulisan kreatif buat sementara waktu, mengalihkan tumpuan kepada bidang penyelidikan. Jadi, jumlah tahun sebenar saya berkarya dalam genre puisi, cerpen dan novel hanyalah empat belas tahun. Namun demikian, saya gembira kerana hasil karya saya masih relevan.

Saudara bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dengan beberapa jawatan penting selama 21 tahun. Bagaimana saudara dapat membahagi-bahagikan masa?

Kadang-kadang peristiwa dan fenomena yang berlaku di sekeliling kita, tidak perlu dirakamkan secara spontan.  Barangkali, kita akan menyimpannya dalam kotak fikir.  Apabila kita rekodkan secara begitu, jarang ia kehilangan.  Sampai suatu ketika, kita boleh menuliskannya semula pada kertas.

Sebagai contohnya, saya bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah 1 Daerah Kecil Slim River pada tahun 1974-1976.  Tetapi semasa saya bertugas sebagai Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1983-1984, barulah saya menghasilkan cerpen “Tuan DO”.  Cerpen tersebut tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1985.

Berdasarkan pengalaman berburu pada tahun 1975 di daerah yang sama, saya turut menghasilkan cerpen “Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim” pada tahun 2012, iaitu 37 tahun selepas perburuan itu berlaku. Saya beruntung kerana mempunyai daya ingatan yang kuat.

Apakah matlamat saudara menggauli dunia penulisan sastera?

Pertama, berkongsi pengalaman.  Tidak mungkin pengalaman seseorang itu serupa. Jadi saya membaca autobiografi dan biografi orang untuk melihat liku-liku hidup mereka.  Kita boleh juga menyampaikan falsafah, taakulan dan pemikiran secara halus dan berhemah dalam karya.

Kedua, tidak mungkin kita menjadi penulis tanpa pada masa yang sama menjadi seorang pembaca.  Ada simbiosis antara membaca dengan menulis.  Jadi, dunia sastera memberi kita peluang untuk memperluaskan pembacaan.  Lebih banyak kita membaca, lebih banyak maklumat yang kita kutip.

Saudara bukan sekadar memperjuangkan keagungan bangsa Melayu, malah menelusur falsafah dan pemikiran tinggi bangsa  Melayu yang sebati dengan Islam. 

Bangsa Melayu mempunyai koridor sejarah yang panjang — lebih kurang 1,500 tahun, yang bermula di Sungai Melayu, di Tanah Andalas.  Tasawur bangsa Melayu atau pandangan hidupnya meliputi seluruh aspek kehidupan.  Daripada cara hidup bermasyarakat hinggalah kepada sains dan ilmu pelayaran terkumpul dalam kompendium bangsa Melayu.

Orang Melayu telah faham tentang thermo dynamics dan bouyancy sejak lama.  Lalu mereka membina kapal-kapal yang mampu belayar jauh hingga membuka tanah-tanah baharu seperti Republik Malagasy, yang sekarang dikenali sebagai Madagascar. Jadi, ada banyak pelajaran yang dapat dijadikan subjek penulisan.  Bukankah salah satu tujuan berkarya itu menghayati pencapaian dan mengharumkan nama bangsa?

Saudara dikatakan sering memberontak dalam karya. Komen?

Memberi pandangan alternatif tidak boleh disamakan dengan memberontak. Karya merupakan sudut pandangan si pengarangnya. Pengarang memberikan falsafah dan sudut pandangannya dengan memberikan hujah dan rasional.  Sekiranya sesebuah karya itu ditulis tanpa hujah bagi mewaraskan apa-apa yang ingin disampaikan, itu barangkali boleh dianggap sebagai karya yang memberontak, yakni  menyampaikan pandangan secara melulu. Karya-karya saya mempunyai hujah untuk mewaraskan setiap sudut pandangan.

Hasil karya saudara secara relatif sedikit berbanding dengan usia; tiga buah novel, dua kumpulan cerpen dan tiga kumpulan puisi, padahal itu kekuatan saudara.

Seperti yang saya sebutkan awal tadi, dari segi bilangan tahun saya bekarya, hanyalah empat belas tahun.  Sepanjang tempoh tersebut saya menghasilkan tiga buah novel, (yang keempat, Luka Nering, sedang dalam penerbitan), tiga buah kumpulan puisi (yang terbaru, Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu, baru saja terbit), tiga buah kumpulan cerpen (kumpulan yang ketiga, Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim sedang dalam penerbitan DBP), sebuah buku kajian al-Quran (Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan (KMMK)) dan tiga buah buku mewah, Kampung-kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak, Mendayung ke Muara Cabaran-cabaran Mutakhir dan Mendatang dan Hotel Syariah De Palma: Konsep dan Pelaksanaan. Sekiranya bilangan buku-buku ini, empat belas buah kesemuanya, dibahagikan dengan jumlah tahun menulis sebenar, kesannya saya telah menghasilkan sebuah buku setahun.  Namun, saya tidak pernah menyorotnya sedemikian. Lagipun, untuk mengkaji dan menghasilkan buku kajian al-Quran (KMMK), memakan masa yang sangat panjang.

Akhir-akhir ini saudara mendekati  Islam, terutamanya mengkaji al-Quran. Apakah yang mendorong saudara berbuat demikian?

Saya mula mengkaji al-Quran secara serius mulai 1990. Apa sahaja yang difahami tentang sains, fizik dan matematik sudah diperjelaskan oleh al-Quran. Prinsip-prinsip tegar dalam fizik seperti E=mC dan Prinsip Heisenberg misalnya, boleh kita pelajari lewat surah an-Nur dan surah al-Fath.  Saya berpeluang memperjelaskannya menerusi televisyen, ceramah  di kolej, universiti, surau dan masjid, sama ada di dalam mahupun di luar negara, termasuk di Amerika, Perancis dan Bulgaria.

Kita boleh belajar di mana-mana sahaja tetapi pada analisis terakhir kita harus merujuk semula kepada al-Quran. Di situlah tersimpannya kemuncak segala ilmu. Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan menerbitkan kajian biologi menggunakan al-Quran sebagai sumber, khususnya dalam kejadian manusia, iaitu J12 – Matematik dalam Kejadian Manusia. 

Di samping itu saya sebenarnya sudah meniupkan semangat dan dakwah Islamiah dalam novel-novel saya, tetapi bukanlah dengan cara didaktik.  Sorotilah dengan teliti Redang, Janji Paramaribo dan Daun.  Saudara akan bertemu apa yang saya maksudkan.  Hal yang sama juga akan saudara temui nanti dalam Luka Nering.

Saudara menyatakan bahawa saudara sering “keluar masuk” dalam dunia penulisan. Mengapakah hal ini berlaku?

Dari satu sudut, “keluar masuk” saya lebih bermaksud kepada dari bidang ke bidang.  Buat satu ketika saya berada dalam bidang sastera, kemudian keluar dan masuk pula ke dalam bidang penyelidikan, kemudian kembali pula ke dalam bidang sastera.

Ada juga ketikanya, antara 1970 dengan 1984, saya lebih menumpukan terhadap kerjaya saya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.  Cuma dalam tempoh tersebut adalah juga sekali-sekala menulis puisi.  Kenapa hal ini berlaku?  Entahlah, saya pun tak tahu.  Saya percaya tidak semua hal yang berlaku di sekitar kendiri memerlukan jawapan. Betul tak?

Pandangan saudara tentang perkembangan sastera hari ini. Adakah sastera Melayu  masih relevan kerana kemodenan  tidak memerlukan sastera untuk terus berkembang.

Benar, kemodenan tidak memerlukan sastera untuk terus berkembang.  Namun, sastera adalah pentas terbaik untuk berfikir dan melontarkan hujah.  Kita juga belajar menulis dan berbahasa dengan baik.  Apa gunanya teori-teori sains dan fizik yang tinggi-tinggi kalau semuanya disampaikan dengan bahasa yang tunggang-langgang?

"Karya-karya saya mempunyai hujah untuk mewaraskan setiap sudut pandangan."

“Karya-karya saya mempunyai hujah untuk mewaraskan setiap sudut pandangan.”

Saudara menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam konteks persuratan. Adakah kedua-dua bahasa ini perlu bersaing atau lengkap-melengkapi?

Saya belajar di sekolah Melayu sehingga darjah lima sebelum memasuki sekolah Inggeris (Special Malay Class I) pada tahun 1959.  Barangkali, kerana saya berkenalan dengan bahasa Inggeris agak awal, itulah yang menyebabkan saya boleh menguasai bahasa itu dengan baik.

Bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan pemikiran dan sudut pandangan.  Saya lebih beranggapan kedua-dua bahasa tersebut boleh berjalan seiring.  Cuma, jika saya menulis dalam bahasa Inggeris, saya langsung berfikir dalam bahasa itu.  Kalau saya berfikir dalam bahasa Melayu dan menulis dalam bahasa Inggeris, ada sedikit gangguan, kerana ada unsur terjemahan dalam kepala, sebelum menurunkannya dalam bentuk tulisan. Jadi, penulisan boleh menjadi kurang lancar.

Pandangan saudara apabila golongan penulis mendepani perjuangan kepartian politik?

Itu bukan sastera, tapi manifesto parti.  Seni adalah kehalusan – sama ada bahasa atau pun pemikiran dan falsafah yang ingin disampaikan.  Kita menyampaikan cerita, dan dalam cerita itu, saringlah ilmunya.  Kita juga belajar daripada alam dengan cara halus.

Kita melihat pohon-pohon dan rerumput meliang-liuk ditiup angin. Kita belajar bahasa alam daripada situ.  Kita proses maklumat untuk mencari ilmu yang tersembunyi.  Dan, julat antara ilmu dengan maklumat itulah yang kita namakan sebagai intelek.

Apakah harapan saudara terhadap kesusasteraan Melayu dan bahasa Melayu?

Sebagai bahasa besar yang difahami dan diguna pakai oleh lebih 300 juta orang pengguna, sudah tentu kita mengharapkan pencapaian yang lebih baik di peringkat dunia.  Belum ada karya dari rantau ini yang memenangi Hadiah Pulitzer atau pun Hadiah Nobel dalam bidang sastera.  Karya-karya kita harus diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa besar dunia lain seperti bahasa Inggeris, Sepanyol dan Mandarin supaya dikenali oleh masyarakat dunia.  Pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menangani bidang ini harus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046170
    Visit Today : 1066
    This Month : 28769
    Total Visit : 1046170
    Hits Today : 3469
    Total Hits : 4294034
    Who's Online : 4
  • Kategori