Dr. Awang Sariyan

Pada 1 Februari 2012 yang lalu, Dr. Haji Awang Sariyan dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu. Tiada siapa yang boleh mempertikaikan kelayakan beliau mengemudi DBP. Pemikiran, pengalaman dan perjuangan Dr. Awang menyerlahkan ketokohan dan kewibawaannya dalam ilmu bahasa dan persuratan.

Bagai sirih pulang ke gagang; kembalinya Dr. Awang, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, tepat pada masanya dan kena pada tempatnya. Pengalaman luas beliau di dalam dan di luar negara amat berguna untuk melonjakkan transformasi dalam memperkasakan bahasa Melayu.

Dr. Awang penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University China; Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.  Beliau juga pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, ­ Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Dr. Awang  pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt, Jerman, dan di Universiti Sumatera Utara, Indonesia. Beliau turut menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura.

Selain itu Dr. Awang pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Anggota Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Setakat ini, beliau telah menyampaikan lebih 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja ­di dalam dan di luar negara. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 judul buku dan ratusan makalah.

Kini, menggemilangkan semula DBP menjadi tanggungjawab besar Dr. Awang. Beliau yakin dengan sokongan semua pihak, beliau mampu  membawa perubahan kepada DBP. Ikuti wawancara khas Ketua Editor, Bahagian Majalah, DBP, PADILAH HAJI ALI, dengan Dr. Awang yang diadakan di pejabat beliau.

Apakah  persepsi  Dr. tentang  DBP  sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah?

Saya melihat DBP sebagai benteng tamadun Melayu dan tamadun negara yang cukup penting kerana di sinilah terangkum segala aspek tonggak tamadun bahasa dan persuratan, seperti sastera kreatif, ilmu dalam bidang tamadun seperti  agama, falsafah  dan pemikiran. Semuanya terangkum dalam penerbitan, dalam hasil karya kita. Ini merupakan benteng yang sangat penting dan perlu dipertahankan, diperkukuh dan dibantu.

Ini asasnya saya menerima pelantikan, mula sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dasar, dan dalam tempoh 22  hari  kemudian  dilantik sebagai Ketua Pengarah. Mencari pekerjaan dan menyambung tugas sebagai ahli akademik  jauh lebih mudah dan fikiran juga lapang kerana fokus saya hanya pada kuliah, penyelidikan, penulisan dan kerja yang tertumpu di sesebuah institusi. DBP pusat yang mengelolakan segala gerakan ilmu, bahasa, persuratan dan pelbagai aspek yang lain. Hal ini menjangkau cakupan  tugas yang sangat luas kerana DBP menjadi tunjang salah satu  dasar negara yang penting, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan. Cabaran itu amanah yang perlu dipenuhi kerana jika DBP tidak dibantu, kemungkinan kita akan kehilangan benteng terakhir  tamadun yang perlu dijaga dan dipelihara.

Pemimpin negara dan masyarakat, terutama penulis, meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap Dr. Bagaimanakah Dr. memenuhi harapan ini?

Saya menghargai harapan dan doa rakan-rakan dari pelbagai sektor.  Harapan itu sebenarnya bukanlah harapan  peribadi kepada saya, tetapi kepada DBP sebagai pusat ilmu, pemikiran, falsafah, bahasa dan persuratan. Maka, tugas atau  amanah saya untuk menjadikan DBP benar-benar memainkan peranan  seperti hasrat penubuhannya apabila mula-mula digagaskan oleh kumpulan dari pelbagai bidang, sewaktu Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura dan Johor Bahru. Kongres tersebut sangat penting kerana di situlah sebenarnya cetusan DBP dibenihkan sehingga diterima oleh kerajaan dan ditubuhkan setahun sebelum kemerdekaan.  Ini perkembangan yang signifikan, oleh sebab setahun sebelum kemerdekaan DBP ditubuhkan, sebagai lambang kesedaran untuk persiapan menghadapi kemerdekaan, dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Kita juga tahu DBP bergerak atas landasan undang-undang negara, iaitu Akta DBP.  Untuk menjadikan DBP benar-benar berperanan memenuhi hasrat rakyat dan kepimpinan negara, kita perlu meneliti setiap butiran dalam Akta DBP.   Yang pertama, peranan DBP memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.  Tumpuannya menjadikan bahasa Melayu benar-benar berfungsi dalam bidang yang canggih, kritikal dan moden. Oleh sebab itu, kalau bergerak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa  sains dan teknologi, maka kita mencapai hasrat rakyat dan negara. Dari sudut lain, dalam Akta disebut menggalakkan bahasa dalam karya sastera bagi menghaluskan nilai budi dan membina sahsiah bangsa.

Akta juga menyebut bahawa DBP perlu menerbitkan pelbagai karya bagi mengisi keperluan negara yang masih berada di tahap negara membangun, iaitu mengilmukan masyarakat,menjadikan masyarakat berilmu dan berbudaya ilmu. Ini supaya masyarakat tidak lagi bergantung pada perasaan dan sentimen, tetapi benar-benar menggunakan ilmu sebagai landasan tamadun.

Dalam konteks lain, DBP diberi peranan menggalakkan dan memantau penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor. Hal ini juga penting. Sebagai contoh, bahasa di tempat awam harus menyerlahkan imej  negara, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bandar, kota, taman perumahan, syarikat dan iklan benar-benar memancarkan citra sebuah negara merdeka dan  berdaulat yang ada jati diri, iaitu salah satunya bahasa.

Tugas DBP juga untuk memastikan bahasa Melayu digunakan dengan meluas dan tepat.   Oleh sebab itu, DBP perlu memikirkan satu mekanisme.  Salah satu yang saya uar-uarkan 10 tahun dahulu, iaitu audit bahasa untuk menilai kejayaan  Dasar Bahasa Kebangsaan, sebagaimana menilai kecekapan pengurusan dan kewangan  melalui audit pengurusan dan kewangan. Kita lakukan audit bahasa dengan harapan akan timbul lonjakan semangat dan kesedaran khususnya kepada penjawat awam untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti dalam Perlembagaan Perkara 152. Jika tidak, bahasa Melayu hanya didokumenkan dalam perlembagaan, akta dan pelbagai peraturan, tetapi tidak dilaksanakan.

DBP telah menyampaikan kertas cadangan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam. Kaedah audit bahasa yang dicadangkan oleh DBP ini dapat dilakukan di semua jabatan dan agensi kerajaan dalam tahap pertama. Dengan menilai pelaksanaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, seperti mesyuarat, surat, memo, pekeliling, perhimpunan dan sebagainya, saya yakin penjawat awam akan mendapat suntikan kesedaran untuk melaksanakan dan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kita juga berharap dengan pengauditan bahasa ini berlaku juga peningkatan kesedaran dalam hal penggunaan bahasa yang baik, teratur, tertib dan santun. Tidak ada tamadun di dunia ini yang boleh bergantung pada bahasa lisan atau bahasa pertuturan semata-mata. Mesti ada bahasa tinggi yang dapat digunakan untuk tujuan ilmiah, pentadbiran, undang-undang dan budaya tinggi yang mempunyai nilai estetik. Bahasa Inggeris sendiri ada Queen’s English dan Standard English.

Mudah-mudahan selepas sektor pentadbiran, kita dapat meluaskannya dalam sektor pendidikan, undang-undang, dan sektor swasta. Ini juga mendukung soal ekonomi, perdagangan dan sebagainya. Itu salah satu mekanisme selain dapat menambahkan keakraban hubungan dan “membelai” pelbagai sektor. Kita tidak boleh mendakwa, tetapi boleh “mendakwahkan” bahasa dengan ziarah bahasa.

Idea transformasi (audit bahasa) itu sudah lama Dr. kemukakan, 10 tahun dahulu, tetapi tidak dapat dilaksanakan. Hanya apabila Dr. menjadi Ketua Pengarah, baru idea itu dapat direalisasikan?

Sesuatu idea  memerlukan wibawa atau sumber kuasa untuk dioperasi.  Apabila tidak membuat audit bahasa, tidak akan ada lonjakan dan suntikan kesedaran untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam pentadbiran atau dalam bidang sektor awam. Begitu juga dari segi kualiti penggunaan bahasa.

Mutu bahasa Melayu sudah tercabar dengan pelbagai ragam. Kita tidak menyalahkan kewujudan ragam dan keperluan orang menggunakan ragam bahasa yang pelbagai. Kita mengakui ada pelbagai ragam bahasa untuk keperluan dan keseronokan kelompok tertentu, tetapi jangan sehingga  tidak memupuk budaya berbahasa yang santun, tertib dan sesuai dengan keperluan intelektual. Jadi perlu ada  imbangannya. Dalam masyarakat Barat ada pelbagai bahasa slanga, tetapi bahasa Inggeris yang baku, yang formal, tetap terpelihara. Inilah yang kita hendak pertahankan.

Oleh itu, apabila sesuatu idea dikemukakan, sepatutnya idea tersebut mendapat sambutan atau dilaksanakan dalam konteks kepentingan dasar negara. Tetapi tampaknya di Malaysia dan negara sedang membangun, idea  itu tidak dapat dilaksanakan kalau kita tidak diberi sumber kuasa. Maka, dengan amanah yang diberikan sekarang, saya yakin gagasan itu dapat kita laksanakan kerana wibawa telah diberi. Terima kasih kepada kerajaan kerana  memberikan ruang untuk  sama-sama melaksanakan perkara yang cukup mendasari akta itu.

Bagaimana  transformasi jangka panjang, dalam lima tahun akan datang?

Transformasi paling penting untuk jangka panjang adalah menjadikan bahasa Melayu betul-betul mendukung tamadun. Penggunaan bahasa Melayu sekarang masih terbatas, bukan sahaja dalam semua bidang bahkan dalam bidang teras. Bahasa Melayu sebagai wasilah atau alat pentadbiran pun belum mencapai tahap kemantapan yang sebaik-baiknya.

Saya pernah dilantik oleh DBP pada 2007 untuk melakukan kajian taraf dan mutu bahasa dalam pentadbiran. Ada jabatan dan agensi tertentu  mencapai 65 hingga 70 peratus dari segi penggunaan bahasa Melayu sebagai alat pentadbiran. Hal itu sangat mendukacitakan kerana setelah lebih 50 tahun merdeka, paling tidak semua agensi dan jabatan kerajaan telah pun mencapai 90 peratus atau sebaik-baiknya 99.9 peratus.

Ada pekeliling yang hanya nama bilangan sahaja dalam bahasa Melayu, judul dan kandungannya dalam bahasa Inggeris, walhal pekeliling itu ditujukan kepada ketua jabatan di peringkat negara. Mustahil tidak dapat difahami oleh orang yang memegang Mykad. Mereka wajib memahami dan mengetahui bahasa Melayu. Oleh sebab itu, dalam jangka panjang kita memerlukan kemantapan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor teras.

Yang kedua adalah meluaskan bahasa Melayu dalam sektor yang kritikal. Misalnya, sektor swasta, perniagaan, ekonomi, teknikal dan undang-undang. Sudut transformasi yang sangat penting adalah dengan menjadikan bahasa Melayu kaya dengan khazanah ilmu inilah yang menunjang tamadun Melayu sejak sekian lama.

Semasa zaman kesultanan Melayu, zaman bahasa Melayu klasik, muncul tamadun yang utuh atau zaman keemasan kerana ditunjang oleh karya ilmu. Ketika itu, pusat peradaban di seluruh alam Melayu, baik di Sumatera, Pulau Jawa, Kalimantan, Patani mahupun Tanah Melayu, ditandai kelahiran ribuan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Ketika itu agama Islam diperkenalkan; jadi banyak kitab dan buku tertumpu pada bidang agama. Hal agama tidak terhad kepada fikah sahaja, metafizik pun dikembangkan secara meluas dalam bahasa Melayu.

Dalam sastera lama ada tentang persenjataan, perubatan, dan undang-undang  yang semuanya ditulis dalam bahasa Melayu. Sarjana dari Belanda mengatakan bahasa Melayu pada abad ke-16 setaraf dan setara dengan bahasa Latin dan bahasa Perancis di Eropah pada zaman yang sama. Bahasa Latin dan Perancis bahasa lingua franca, bahasa falsafah, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa pentadbiran. Maka, bahasa Melayu ketika itu demikianlah peranannya dan inilah transformasi jangka panjang.

Oleh itu, jika ingin bahasa Melayu benar-benar menjadi wasilah bagi semua bidang kehidupan, maka bahasa Melayu perlulah digunakan  khususnya dalam bidang yang kritikal, ilmiah, dalam sektor swasta dan sebaik-baiknya juga dalam bidang antarabangsa.  Dahulu surat-menyurat dan perjanjian semuanya  ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu dalam  tulisan Jawi. Hatta termasuklah ketika berhubungan dengan kerajaan Sepanyol, Portugal, Inggeris dan Belanda.

Dalam pekeliling penggunaan bahasa kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada 28 Oktober lalu,  salah satu klausa menyebut bahawa segala dokumen yang dikirimkan oleh kerajaan Malaysia ke luar negara hendaklah berasaskan bahasa kebangsaan. Maka, tugas pegawai kedutaan Malaysia di luar negara membuat terjemahan dalam bahasa asing. Hal ini usaha mengangkat darjat bahasa Melayu.

Daripada pemerhatian saya sebagai penyandang Kursi Pengajian Melayu di Republik China, walaupun masyarakat China menguasai bahasa asing, dan terdapat 60 bahasa asing diajarkan di universiti tempat saya ditugaskan, mereka tetap menggunakan bahasa Mandarin. Mereka menyediakan jurubahasa sekiranya pemimpin negara lain datang. Presiden saya dari University of Hawaii; timbalan presiden dari School of Economic, London University; bahkan salah seorang timbalan presiden dalam bidang TESL, pengajaran bahasa Inggeris. Bukan soal mereka tidak cekap. Mereka melihat bahasa Inggeris sebagai nilai tambah, alat untuk memperkaya ilmu dan kebudayaan, tetapi jati diri, lambang kemerdekaan dan kekuatan bangsa mereka ialah bahasa. Begitu juga di Jepun, Korea, bahkan di Jerman bahasa Inggeris dianggap bahasa sampingan.

Di China, bahkan di sesetengah tempat, tiada langsung unsur bahasa asing. Kita tidaklah  sampai berhajat bahasa asing sama sekali tiada, tetapi mestilah mengikut peraturan, undang-undang kecil periklanan, peragaan  dan nama tempat awam, iaitu bahasa Melayu diserlahkan dengan saiz yang besar, warna yang menyerlah dan tempatnya di pusat. Jika peraturan itu dapat diikut sahaja pun, kita dapat melakukan transformasi kerana tempat awam penting. Orang melihat apa-apa yang dipaparkan di tempat awam setiap hari. Ini belum lagi bidang penyiaran, yang  setiap hari didengar dan dilihat di televisyen. Oleh sebab itulah kita bercakap tentang pelan transformasi jangka panjang supaya bahasa Melayu menjadi tonggak tamadun seperti yang berlaku dalam kalangan bangsa maju.

Seorang atasye kebudayaan Kedutaan Perancis mengatakan bahawa tidak ada bidang kehidupan di Perancis yang tidak menggunakan bahasa Perancis. Bahkan agak melampau apabila beliau mengatakan bahawa walaupun beliau orang terpelajar, beliau belum pernah membaca novel dalam bahasa Inggeris kerana kekuatan novel Perancis sehingga  kerap memenangi anugerah peringkat antarabangsa.

Kita  tidak perlu bersikap sentimental ataupun tertutup sehingga tidak mahu membaca novel dalam bahasa lain.  Sekurang-kurangnya kita hendaklah  menunjukkan bahawa kalau bangsa itu ada kekuatan ilmu, sastera dalam bahasanya, mereka akan mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi. Walau bagaimanapun, di Paris, universiti baharu La Rochelle turut membuka pusat pengajian Melayu. Mereka juga menghormati bahasa lain, bukan semata-mata bahasa Inggeris. Pelajar Malaysia di Jerman pula tidak belajar bahasa lain melainkan bahasa Jerman sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan kerana kuliah dalam bahasa Jerman. Benar ada beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) memberikan kursus dalam bahasa Inggeris sebahagiannya, tetapi pada dasarnya, keseluruhannya masih dalam bahasa Jerman.

 Bagaimana meyakinkan masyarakat tentang kepentingan bahasa dan sastera dalam konteks tamadun?

Dua saluran dapat kita gunakan. Pertama, melalui pendidikan. Kesepaduan antara bahasa, sastera dengan ilmu lain dapat melahirkan pelajar yang tidak terlalu menjurus  pada satu bidang secara khusus sehingga melupakan atau mengabaikan aspek yang lain. Dalam hal ini,  sistem pendidikan Indonesia berjaya menyepadukan penguasaan ilmu khusus, seperti sains, teknologi, perubatan, pergigian dengan seni, bahasa dan sastera. Oleh sebab itu, tidak luar biasa, kalau di Indonesia, orang bidang pergigian dan perubatan juga mahir dalam bidang seni.

Kini, di Malaysia juga sudah muncul sebilangan individu seperti itu, tetapi masih jauh seperti yang kita harapkan. Kita harus akui bahawa sedikit banyak sistem pendidikan kita belum benar-benar dapat menyepadukan unsur ilmu dengan seni, bahasa dan sastera. Sehingga sekarang falsafah pendidikan kebangsaan masih diterima, tetapi pengisiannya bagaimana? Dahulu ada program bahasa merentas kurikulum. Bahasa Melayu bukan hanya dipelajari dan  dimeriahkan  dalam  pelajaran  bahasa, tetapi  guru  sains, guru  matematik, guru geografi, guru agama Islam, guru sejarah, bahkan guru pendidikan jasmani, hendaklah menerapkan aspek penyuburan dan kemahiran bahasa dalam mata pelajaran lain. Tetapi sejak enam tahun kebelakangan hal itu tidak berlaku lagi. Jika sistem pendidikan kita dapat menyepadukan bahasa dan sastera dengan ilmu lain, sudah pasti  pelajar yang dilahirkan esok akan terbudaya dalam semua perkara yang diterapkan.

Yang kedua, lingkungan pekerjaan dan lingkungan masyarakat. Kita perlu mengangkat gagasan pembudayaan bangsa seperti yang pernah diumumkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, ada bahagian pembudayaan bahasa. Bagaimana gagasan itu dioperasi, penting. Oleh sebab itu, kita perlu membudayakan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai saluran, sama ada melalui persatuan atau  institusi. Misalnya mengadakan kegiatan baca puisi sebulan sekali di  institusi kewangan. Walaupun sibuk dengan rutin kerja pengurusan dan kewangan, kegiatan baca puisi, diskusi buku, ataupun bicara ilmu yang diadakan akan dapat  menghaluskan budi dan juga sahsiah diri. Hal ini mesti dibudayakan dalam lingkungan pekerjaan dan  lingkungan masyarakat.

Contoh yang mudah, masjid yang secara khusus tempat sembahyang dan kegiatan keagamaan.  Apa kata kita menjadikan institusi masjid tempat membudayakan bahasa dan sastera? Kita fokuskan pada puisi kerohanian. Hal ini sudah saya rancang dengan stesen televisyen Al-Hijrah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kumpulan pendeklamasi muda Kuala Lumpur. Kita adakan jerayawara, jelajah dari masjid ke masjid. Di samping kuliah agama, ada motivasi dan program puisi kerohanian. Persembahan deklamasi puisi, puisi yang dimuzikkan, mungkin juga dekon atau deklamasi lakon menjadi daya tarik kepada khalayak muda dan remaja. Kita tidak boleh memberikan pendekatan yang stereotaip, sebaliknya perlu  menyampaikan ilmu kepada anak muda dengan cara kreatif. Sebagai projek rintis, kita akan bermula dengan masjid di Wilayah Persekutuan. Sekiranya mendapat sambutan, kita akan meluaskannya ke peringkat daerah dan masjid negeri.

Pendekatan ini dapat membudayakan bahasa dan sastera Melayu untuk menghaluskan budi dan juga membantu proses pendidikan.  Jika semua institusi, baik kewangan, undang-undang, kepeguaman dan sebagainya disepadukan dengan program bahasa dan sastera, soal pemisahan tidak timbul lagi. Negara Barat yang sudah maju pun tidak meninggalkan kursus wajib ini. Di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, kursus falsafah, pemikiran, bahasa dan  penulisan tidak dianggap  kursus wajib. Bagaimanakah pelajar diharapkan dapat menulis tesis, kertas projek atau  esei ilmiah yang baik kalau mereka tidak diberi kursus penulisan apatah lagi  kalau  penulisan kreatif? Bagaimanakah  kita ingin mengharapkan sarjana menulis rencana yang difahami masyarakat umum, kalau mereka tidak dilatih kaedah menulis rencana?

Demikian juga dengan bahasa. Oleh sebab bahasa tidak dijadikan kursus wajib di universiti,  maka yang lahir ialah sebilangan pengarah atau penjawat awam yang menulis surat pun tidak berapa betul. Hal ini  menyebabkan berlakunya  “putaran ganas”. Jadi, IPT harus mewajibkan kursus bahasa, penulisan dan pemikiran. Walaupun  ada sesetengah universiti melaksanakannya, ia bukan dasar keseluruhan IPT. Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan kursus wajib, bahkan ujian wajib, bagi melihat kemampuan bahasa Melayu pelajar kerana bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbeza dan kerana bahasa Melayu yang hendak dicapai di IPT menggunakan laras ilmiah. Bukan bermakna seseorang memperoleh  pangkat “A” pada peringkat SPM sudah mahir dalam bahasa Melayu.

Jadi apa salahnya  kita memperuntukkan sejumlah peruntukan daripada  perbelanjaan tahunan bagi hal pembinaan sahsiah dan penghalusan budi melalui bahasa dan sastera. Bahkan   Program Khidmat Latihan Negara (PLKN), yang telah lama kita perjuangkan, baru dapat dimasukkan  unsur sastera sebagai salah satu modul program. Sewaktu saya menjadi pengarah Jabatan Bahasa, saya katakan perlu ada dalam kuliah atau kursus yang berkaitan dengan dasar bahasa. Dengan hal yang demikian,  pelatih  PLKN  tahu negara kita ada dasar bahasa yang mesti digunakan sebagai bahasa rasmi, untuk mesyuarat, pekeliling, memo,  laporan dan sebagainya. Andai kata generasi muda tidak faham adanya dasar itu, tidak dapat kita salahkan mereka kalau mereka tidak melaksanakannya dalam institusi tempat mereka bekerja. Komponen ini belum lagi dimasukkan dalam modul PLKN walaupun aspek sastera, seperti  deklamasi puisi dan  teater, telah dimasukkan dalam program PLKN.

Bagaimana menekankan bahasa di peringkat kanak-kanak dan remaja sedangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) masih belum reda. Banyak ibu bapa dan guru tidak bersetuju PPSMI dimansuhkan. Apa pendapat Dr. tentang hal tersebut?

Ada sumber kajian yang menunjukkan PPSMI gagal. Kajian oleh DBP dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih 70 peratus  ibu bapa, guru dan pelajar tidak mahu PPSMI dilaksanakan. Penduduk bandar barangkali ada kecenderungan memilih PPSMI.  Jika mahu berlaku adil, sampel perlulah menyeluruh termasuk di luar bandar.  Adakah majoriti rakyat sudah mencapai keterampilan yang cukup hebat dalam menguasai bahasa Inggeris? Kajian Kementerian Pelajaran sendiri menunjukkan  kemerosotan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam  bahasa Inggeris sesudah PPSMI dilaksanakan hampir sedekad. Kajian siapa lagi yang hendak kita perakui kalau bukan kajian Kementerian Pelajaran yang menjaga hak dan kepentingan rakyat? Tidak mungkin Kementerian Pelajaran membuat penyelidikan dengan mengambil sampel tertentu. Sudah tentu pensampelan tersebut mewakili seluruh rakyat. Saya yakin dengan gerakan bertemu rakyat di akar umbi; umumnya rakyat tidak menerima perasaan PPSMI.

Itu menerusi kajian, tetapi menerusi idealisme kita mesti faham bahawa  Pertubuhan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNSECO) dalam piagamnya menyebut keberkesanan sistem pendidikan dan penyampaian ilmu adalah dalam bahasa ibunda.  Dalam  sejarah lampau zaman Abbasiyah, kekuatan tamadun Islam  ditunjang oleh ilmu. Bangsa Barat tidak mengambil bahasa Arab tetapi dilatih oleh segelintir sarjana yang boleh membuat terjemahan dan memindahkan ilmu tamadun Islam ke dalam bahasa Barat. Oleh sebab itu tidak ada bahasa Barat atau orang Barat yang menggunakan bahasa Arab dalam pengembangan sains padahal kita tahu kebanyakan ilmu sains, seperti perubatan, diambil daripada tamadun Islam.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang mengikuti misi ke angkasa dalam kapal angkasa Rusia mengakui bahawa selama enam bulan beliau terpaksa menguasai bahasa Rusia kerana segala manual dan arahan ditulis dalam bahasa Rusia. Ertinya tidak ada satu bahasa unggul yang tanpa bahasa itu kita tidak boleh maju. Rusia, Perancis, Jepun, dan China menggunakan bahasa masing-masing. Jadi kekuatan bangsa Melayu, bangsa Malaysia juga begitu.  Tinggal lagi ada ruang yang belum cukup maju yang mesti diisi oleh rakyat Malaysia sendiri.

Masalah dalam kalangan intelektual dan cerdik pandai bangsa kita sendiri ialah kemampuan membuat tanggapan dan tafsiran yang betul. Sampai sekarang  masih ada pandangan yang mengatakan kita tidak mungkin maju, ekonomi tidak akan sampai ke puncak yang diharapkan, pekerjaan tidak akan diperoleh oleh pelajar lulusan dari universiti kita sekiranya tidak menggunakan bahasa Inggeris. Semuanya persepsi yang salah. Logiknya,  jika menguasai bahasa Inggeris tiadalah  pengangguran di Amerika Syarikat dan negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris. Peluang pekerjaan dan penguasaan bahasa  soal  lain. Bakal pegawai diplomasi, iaitu pegawai yang akan bertugas sebagai wakil perdagangan antarabangsa, perlu  ada latihan khusus, latihan  intensif yang sesuai dengan bidang, tetapi tidak ada keperluan untuk seluruh rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris yang canggih begitu. Falsafah menguasai bahasa asing adalah untuk tujuan ilmu. Selama dapat menguasai bahasa asing bagi memindahkan ilmu dalam bahasa dan tamadun kita, itulah yang terbaik. Itulah  yang dilakukan oleh China, Jepun, Korea dan sebagainya. Mereka tidak perlu menukar lidah kepada lidah Inggeris, mereka tidak perlu mengubah sebutan. Yang penting ilmu dapat dipindahkan.

Dalam soal transformasi jangka panjang, saya sudah ketengahkan dalam satu forum baru-baru ini,  kita mesti berusaha supaya sumber ilmu dalam bahasa Melayu, bukan bergantung pada sumber dalam bahasa Inggeris semata-mata. Saya juga menyarankan kepada Atasye Kebudayaan Kedutaan Perancis supaya menyediakan senarai karya besar dalam pelbagai bidang, dan diserahkan kepada DBP agar dapat diusahakan terjemahannya dalam bahasa Perancis dan bahasa Melayu. Dengan cara ini,  dengan sendirinya orang akan datang menulis buku, kertas kerja atau  dalam  senarai rujukan di fakulti bukanlah hanya buku yang bersumberkan bahasa Inggeris tetapi juga ada ilmu dalam bahasa Perancis, Jerman, Korea, Jepun, China dan bahasa lain. Memanglah ini bukan kerja yang mudah dan bukan boleh dilakukan dalam jangka masa pendek. Maka kerja ini mesti dimulakan sekarang.  Sambutan daripada Atasye Kebudayaan Kedutaan Perancis sangat positif, beliau sudah pun menyatakan persetujuannya.

Jumlah penutur bahasa Melayu 300 juta orang, namun sangat sukar untuk mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Apa pendapat Dr.?

Kesukaran itu memang kita akui ada, tetapi mesti ada pelan tindakan. Bahasa itu tidak akan diangkat, dihormati atau dimuliakan kalau kandungannya tidak sampai ke satu darjat yang diharapkan. Oleh sebab itulah kita mesti menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu. Seorang profesor dari UKM apabila membentangkan kertas kerja di luar negara sengaja memasukkan sejumlah karya dalam bibliografi karya dalam bahasa Melayu.  Hal itu menarik perhatian sarjana asing. Mereka tertarik untuk mengetahui ilmu yang ada dalam bahasa Melayu. Itu salah satu cara mempromosi ilmu dalam bahasa Melayu.

Seterusnya untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa  dunia, katakanlah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bukanlah sukar. Saya diberitahu oleh Datuk Hassan Ahmad, yang pernah menjadi duta Malaysia ke UNESCO, di Paris, bahawa tiada peraturan yang menghalang mana-mana bahasa dijadikan bahasa perhubungan di PBB ataupun dalam badan-badan yang dipayungi  PBB. Kita hanya memerlukan wang untuk membayar jurubahasa.

Hal itu tidak mustahil kerana sudah pun dilalui oleh bahasa Melayu klasik apabila orang luar menulis surat kepada raja-raja Melayu dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Bagaimana kita hendak meyakinkan rakan daripada kalangan bangsa lain di dunia ini untuk melihat potensi dan kehebatan bahasa Melayu menerusi kandungan ilmunya? Kalau mendapat sesuatu yang baharu daripada kajian kita, mereka sanggup berbelanja membuat terjemahan dalam bahasa mereka. Itu yang penting.

Berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 1997, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) ditubuhkan. Sejak itu, usaha mempromosi bahasa dan sastera Melayu dan bidang ilmu dalam bahasa asing ini  mula mendapat tempat. Dahulu dalam lingkungan 120 badan ilmiah, universiti dan pusat penyelidikan di dunia  lebih menonjolkan pengajian  Indonesia. Jarang-jarang yang ingin menggunakan istilah Malay Studies. Dengan meyakinkan para ilmuwan tersebut  bahawa Malaysia-Indonesia asasnya satu, tetapi ada varian yang berbeza sedikit dari segi kosa kata dan mungkin beberapa aspek yang lain, barulah mereka sanggup menyatakan Malay-Indonesian Studies. Itu  kejayaan  kita dalam mempromosi bahasa.

Kita dapat melantik pakar penyelidik dan penulis. Kita sudah menerbitkan Jurnal Melayu dua kali, yang mewakili penemuan dan falsafah dalam pengajian Melayu antarabangsa. Kita juga berjaya mengadakan seminar dan bengkel pengajaran bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing di Melbourne University, di Australia, dan di Korea.  Kita sudah membentuk kumpulan munsyi antarabangsa dan munsyi dalam negara bagi melatih orang di negara lain, seperti di Sri Lanka, Kampuchea dan Thailand. Apabila sudah terlatih dan ternyata ada wibawa,  mereka datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi munsyi dan kembali dengan misi untuk melatih rakyat di negara berkenaan. Kerja ini mesti digerakkan terus jika bahasa dan sastera Melayu benar-benar hendak mendapat tempat di persada dunia.

Jika perkara tersebut tidak dilanjutkan, visi DBP “Menjadikan Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Dunia” tidak akan tercapai.

Kita ada gagasan bahkan sudah ada keputusan  di peringkat Jemaah Menteri. Penjawat awam hendaklah melaksanakan keputusan itu. Dengan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing dan sarjana asing yang  tentunya  mengkaji bahasa dan sastera,  mereka sudah tentu akan  turut mengkaji undang-undang Melayu, agama dan sejarah, seperti yang berlaku di pusat pengajian Asia Tenggara di Universiti Frankfurt. Mereka mengajarkan pelbagai aspek tamadun Asia Tenggara termasuk tamadun Melayu. Ada kajian Profesor Shaari Mat Zain sebagai contoh, tentang ilmu kepengurusan dalam tamadun Melayu sejak pra-Masihi lagi. Kita tidak boleh melihat atau menilai pengurusan semata-mata dari sudut pandang Barat. Kita mempunyai sistem pertukaran maklumat daripada tamadun Melayu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui MABM. Mudah-mudahan DBP dapat melanjutkan tugas itu dengan dukungan pemerintah dan pihak pucuk pimpinan.

Hal penerbitan sangat penting kerana bilangan terbitan menjadi kayu ukur sesebuah negara maju. Dalam konteks penerbitan, masyarakat melihat DBP bukan lagi  badan penerbit yang unggul malah kini jauh ketinggalan. Apa pendapat Dr. tentang hal ini?

Pertama, lihat  dari sudut  yang  positif. Jika ada badan atau penerbit  lain yang  melakukan usaha yang dilakukan oleh DBP, itu sesuatu yang positif. Hal itu menunjukkan bahawa kesedaran dan semangat mengambil tanggungjawab ini sebagai tanggungjawab sosial sudah bertambah baik. Kalau dulu kita berharap pada DBP semata-mata dalam soal penerbitan ilmu, pengembangan bahasa dan sastera. Maka  apabila  ada  institusi  kewangan mahupun  media yang ingin menjadikan pengembangan bahasa dan  persuratan karya sastera kreatif sebagai kerjaya mereka, itu tanda telah timbul kesedaran yang meluas.

Dari sudut lain, jika kita melihat hal itu sebagai penurunan peranan DBP, kita perlu memperbaik keadaan itu. Kita perlu beranjak daripada kaedah konvensional. Sebagai contoh, beranjak daripada menjadikan karya ilmiah sasaran kelompok yang terbatas. Karya ilmu bukan semata-mata ditujukan kepada sarjana atau pelajar IPT semata-mata. Sebaliknya, karya ilmu  boleh merentas golongan masyarakat. Ilmu yang sama, tetapi diturunkan kaedah penyampaiannya agar sesuai untuk golongan remaja dan kanak-kanak. Ini cabaran yang besar. Barangkali mudah bagi golongan sarjana menghasilkan karya ilmiah, tetapi bukan mudah menghasilkan karya ilmu bagi bacaan masyarakat umum.

Selain itu, kita juga mesti ikut serta dalam penghasilan karya dalam bentuk multimedia kerana karya sebegini lebih mudah menarik minat pelajar dan mudah diikuti oleh pelajar atau masyarakat umum. Maka, penerbitan bahan multimedia sangat penting ditekankan dan diimbangkan dengan penerbitan bahan bercetak.

Strategi lain yang sedang rancak kita atur adalah mengadakan kerjasama dengan pihak luar,  melalui penerbitan bersama, yang banyak memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Misalnya, kerjasama penerbitan dengan universiti yang mempunyai khalayak sasaran sendiri.Kita dapat mengenal pasti pembaca  sasaran yang membeli atau membaca karya terbitan kita dan sudah tentu dapat memenuhi sasaran pemasaran, selain menjadikan khalayak pembaca sasaran lebih luas. Kita juga akan mendapat penjanaan projek yang lebih cepat dan banyak. Begitu juga dengan pelbagai institusi penyelidikan yang lain. Contohnya,  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Koko, Lembaga Sawit, dan pelbagai institusi penyelidikan yang banyak menghasilkan penyelidikan yang dapat diolah untuk menjadi satu siri penerbitan yang sangat berguna kepada masyarakat. Kerjasama dalam bentuk pakatan strategik perlu dirancang supaya  kita dapat menjanakan  judul buku  dengan jumlah yang lebih banyak yang mencakup pelbagai bidang serta pasaran yang lebih luas.

Pada pendapat Dr. DBP harus menjadi peneraju Industri Buku Negara?

Kita harus melihat cabaran dan juga tanggungjawab yang diletakkan oleh kerajaan supaya akhirnya 28 ribu judul buku dapat dihasilkan setiap tahun. Hal ini bukan mudah jika DBP tidak memikirkan kaedah yang berbeza daripada keadaan yang stereotaip. Jika  bertitik tolak daripada sesuatu idea, contohnya gagasan ilmu yang satu – untuk peringkat ilmuwan, sarjana atau pusat pengajian tinggi, dan ilmu yang sama untuk masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya ada empat produk yang boleh DBP hasilkan daripada satu mauduk yang hendak diketengahkan. Ertinya kita menjanakan pelahiran judul produk itu dengan berfikir secara merentas kelompok lain dan bukannya berfokus pada satu kelompok sahaja. Hal itu juga merupakan manfaat modal, iaitu kita dapat menjanakan empat projek berbanding dengan satu idea dan sebuah produk. Ini anjakan paradigma yang seharusnya berlaku.

Apa komen Dr. tentang kenyataan “maju ekonomi, baru maju bahasa negara itu”? Contohnya kejayaan China dalam ekonomi antarabangsa telah meningkatkan permintaan terhadap bahasa Mandarin.

Ini juga pandangan yang bertitik tolak pada satu dikotomi, seolah-olah ada pemisahan bahasa dengan ekonomi, bahasa dengan kebudayaan, bahasa dengan pengembangan masyarakat. Sebenarnya tidak begitu, kalau kita meneliti sejarah, bahasa Mandarin tidak secara tiba-tiba muncul sebagai bahasa yang digunakan dalam ekonomi. Sebelum  China mengamalkan dasar terbuka pada tahun 1980-an, bahasa China, dan pengajian China sudah cukup mendalam tanpa perlu menunggu kemajuan ekonomi.

Tamadun China sudah diakui sebagai tamadun besar. Orang tetap mengkaji tamadun China dan apabila ekonomi China meningkat, sudah ada persiapan yang dilakukan. Bayangkan kalau tiba-tiba ekonomi China muncul dan hebat sehingga para pelabur Amerika, Barat dan Eropah datang ke China, tanpa persiapan kekuatan bahasa, bahasa Mandarin tidak akan muncul; bahasa asing mungkin akan digunakan. Dengan persiapan China, kekuatan tamadun China yang menghormati jati diri termasuk bahasanya, maka peluang ekonomi mereka semakin kukuh. Kita bayangkan dalam keadaan sekarang, tiba-tiba ekonomi Malaysia mencapai tahap yang hebat sehingga dunia datang kepada kita, tetapi kita tidak ada persiapan dari segi bahasa Melayu.Maka kita terpaksa mengambil bahasa lain kerana  tidak ada kekuatan bahasa Melayu.  Ekonomi dengan bahasa mestilah seiring. Jepun begitu juga. Jepun tidak tiba-tiba menjadi kuasa ekonomi atau negara maju. Jepun tetap mempertahankan kekuatan dan kedaulatan tamadun termasuk bahasanya. Jadi, apabila ada peluang untuk maju, mereka sudah mempunyai kekuatan termasuk bahasanya. Begitu juga dengan Korea. Jadi, saya tidak melihat perlu maju ekonomi dahulu baru bahasa maju. Ini perjuangan bagi menjadikan bahasa Melayu benar-benar ampuh sebagai satu tonggak tamadun yang penting di rantau ini terutamanya.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046176
    Visit Today : 1072
    This Month : 28775
    Total Visit : 1046176
    Hits Today : 3493
    Total Hits : 4294058
    Who's Online : 4
  • Kategori