OLEH ATIQAH ABD RAHIM

BERSEMPENA dengan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-64, DBP telah menganjurkan Wacana Minda Siri Pertama yang bertajuk, “Ilmu dalam Pembinaan Tamadun” oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, pemegang Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia. Program bicara tersebut bersiaran langsung melalui laman rasmi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 29 Jun 2020, jam 2.30 petang.

Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud memulakan perbincangan mengenai membaca dalam Islam bermula selepas turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu “Bacalah dengan nama Tuhan kamu”. Menurut beliau, membaca ialah suatu aktiviti yang sangat penting kerana kita bukan sekadar membaca malah berniat untuk memahami ayat-ayat tuhan yang tersurat dalam kitab suci al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dan yang tersirat di alam semesta bertujuan menjadi khalifah di muka bumi ini. Beliau mengulas bahawa membaca merupakan satu kaedah yang penting untuk mencapai ilmu pengetahuan. Walaupun pada zaman teknologi maklumat ini, banyak ilmu yang disampaikan melalui pendengaran, audio dan video. Selaras dengan perkembangan terkini, beliau menggalakkan supaya pembacaan bukan sahaja dilakukan dalam konteks yang terhad malah dalam konteks yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan tersebut seperti melalui pembacaan, perbicaraan, pendengaran, penontonan dan pelbagai cara yang lain. Cara tersebut diharapkan dapat meningkatkan diri, masyarakat dan negara ke arah kebaikan ilmu pengetahuan dan akhlak dan adab masing-masing.

Profesor Dr. Wan Mohd Nor mempersoalkan sebab manusia perlu memiliki ilmu pengetahuan. Manusia akan mencapai martabatnya yang hakiki apabila mempunyai ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Pada pandangan Islam, martabat manusia dicapai dengan keupayaannya untuk memahami ilmu yang bermanfaat, yang meletakkan manusia melebihi para malaikat dan makhluk-makhluk yang lain. Tamadun dunia yang lain juga mempunyai gagasan yang meninggikan martabat ilmu pengetahuan tetapi makna dan kandungan ilmu pengetahuan, metodologi untuk mencari ilmu pengetahuan, sumber-sumber, tujuan dan tokohnya mungkin berlainan daripada yang dianjurkan oleh tamadun Islam. Apabila berlaku perbezaan aspek dan pendapat, kita dapat saling memanfaatkan dan mengambil iktibar. Namun begitu, ada juga perkara yang bertentangan dan perlu kita jadikannya sebagai sempadan.

Menurut beliau, bagi melengkapkan diri sebagai seorang manusia sama ada sebagai seorang Islam atau bukan Islam, meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan ialah satu elemen yang penting dalam kehidupan. Apabila gagal meningkatkan ilmu pengetahuan, maka manusia telah mengkhianati tujuan kejadiannya sebagai Bani Adam. Apabila Allah SWT menjadikan Adam dan diturunkan ke bumi, keupayaan pertama yang diberikan kepada Nabi Adam ialah berilmu pengetahuan. Manusia pertama yang diturunkan ke bumi bukanlah manusia yang jahil dan tidak mengenal tujuan dan hakikat kejadian yang ada di alam semesta. Nabi Adam ialah seorang Nabi yang telah diajarkan kepadanya nama dan sifat segala benda yang penting untuknya hidup dan memakmurkan kehidupan.

Profesor Dr. Wan Mohd Nor menegaskan bahawa sekiranya manusia tidak mengetahui peranan ilmu dalam memartabatkan kemanusiaan, maka manusia akan menganggap bahawa ilmu hanyalah satu hakikat yang difahami oleh orang moden sahaja. Bagi orang Islam, kepentingan ilmu bermula dengan kejadian manusia, dan hal ini tidak didapati dalam filsafat atau agama yang lain walapun mereka mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Beliau memberikan contoh, kebanyakan agama dan filsafat moden yang berpegang kepada gagasan evolusi yang rasmi atau tidak rasmi. Mereka menganggap manusia pada zaman dahulu ialah manusia yang kuno, purba dan masih mencari hakikat kebenaran. Apabila mereka semakin maju, maka mereka lebih memahami tentang segala perkara. Berbeza dengan agama Islam, terutamanya persoalan tentang siapa diri kita, tujuan kita berada di bumi ini dan hala tuju selepas meninggal dunia, sudah diberitahu lebih awal lagi, iaitu bukan difahami secara evolusi. Orang Islam memahami makna evolusi sebagai aspek-aspek alam semesta dan kelakuan alam seperti tentang hakikat matahari, bulan, hujan dan kesihatan tubuh badan kita. Perkara berkaitan spiritual dan akhlak juga sudah diketahui, iaitu setelah kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai nabi yang terakhir yang diturunkan kepada umat manusia.

Profesor Dr. Wan Mohd Nor menyambung hujahnya dengan mengatakan bahawa manusia secara fizikalnya lebih daif daripada haiwan kerana tidak boleh terbang dan keupayaan untuk berenang dan berlari pantas sangat terhad. Namun begitu, melalui keupayaan mendapatkan ilmu pengetahuan, manusia mampu melepasi kepantasan seekor harimau, boleh terbang lebih tinggi daripada seekor helang dan boleh menyelam dengan lebih dalam dan lama daripada seekor ikan. Itulah martabat yang seharusnya diingatkan kepada generasi kini. Beliau menyarankan kepada rakyat Malaysia supaya sedar akan kepentingan ilmu dalam mengangkat bangsa dan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut kajian Profesor Dr. Wan Mohd Nor tentang peradaban bangsa-bangsa yang memiliki kecintaan dan menghayati ilmu telah memberikan impak yang besar kepada zaman mereka dan juga zaman yang lain. Merujuk kepada buku beliau yang bertajuk, “Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini” yang diterbitkan oleh DBP, Pustaka Nasional di Singapura dan badan-badan lain di Indonesia dan Singapura, beliau memberikan contoh bangsa Yunani kuno yang pada waktu itu berpusat di Athens. Negara itu mempunyai jumlah rakyat yang tidak ramai tetapi apa yang dibicarakan di Athens, iaitu 600 tahun sebelum lahirnya Nabi Isa telah dicatatkan oleh sejarah. Keilmuan mereka bukan sahaja memberikan impak kepada tamadun mereka malah kepada tamadun Barat moden dan tamadun Islam. Beliau berpendapat orang Yunani amat berminat untuk mencari kebenaran walaupun kebenaran yang mereka temukan ialah kebenaran yang berasaskan kepada pemikiran dan pengalaman mereka semata-mata. Walau bagaimanapun, mereka telah mengangkat akal manusia sebagai instrumen yang penting untuk mencapai kebenaran. Mereka tidak mempunyai gagasan yang membicarakan tentang kebenaran, keadilan, kesejahteraan, persahabatan, kehidupan manusia dan membina negara yang adil seperti yang ditulis oleh Plato dalam bukunya, “The Republic” dan Aristotle dalam bukunya bertajuk, “Ethics”. Kedua-dua penulisan tersebut amat penting sebagai landasan pembangunan agama Kristian dan tamadun Barat moden. Yang sebaliknya, pengetahuan orang Yunani terbatas pada hidup duniawi sahaja. Oleh itu, mereka bijak berhujah dalam memberikan alasan kepada setiap tindak-tanduk mereka walaupun bertentangan dengan akhlak dan kebaikan hakiki. Itulah keterbatasan akal manusia yang perlu dibantu oleh wahyu untuk diamalkan secara tertib dan teratur.

Sebagai kesimpulannya, beliau menegaskan bahawa kita tidak seharusnya membataskan kepada bahasa ibunda sahaja untuk menyebar dan mendalami ilmu pengetahuan malah amat digalakkan untuk mempelajari bahasa dunia yang lain. Beliau juga meluahkan rasa kehairanan terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang lahir dan belajar di negara ini tetapi masih tidak menguasai bahasa Melayu. Menurut beliau, perkara ini merupakan suatu keanehan yang tidak berlaku di negara lain. Sebagai rakyat Malaysia, beliau juga menggalakkan penguasaan bahasa Melayu moden dan bahasa Melayu klasik, terutamanya dalam karya-karya Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji dan Abdullah Munsyi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045594
    Visit Today : 490
    This Month : 28193
    Total Visit : 1045594
    Hits Today : 1513
    Total Hits : 4292078
    Who's Online : 12
  • Kategori