Oleh MUHAMMED SALEHUDIN AMAN

Salehuddi Aman

Muhammed Salehudin Aman

SISTEM Ejaan Bahasa Melayu yang digunakan secara meluas hari ini bermula sejak tahun 1972.  Sudah 40 tahun usia sistem ini  digunakan sebagai wadah penulisan dalam semua bidang.  Sistem ejaan ini telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Indonesia berikutan daripada perisytiharan serentak di kedua-dua buah negara pada 16 Ogos 1972.

Sejarah awal penggunaan tulisan Rumi dilakukan oleh pedagang, pengembara, dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan pada abad ke-16. Mereka (Portugis, Sepanyol, dan Itali) menulis kata-kata bahasa Melayu yang didengar oleh mereka di pelabuhan-pelabuhan, dalam huruf Rumi, dan mengeja kata-kata itu berdasarkan kesan bunyi yang mereka dengar. Di samping itu mereka menerapkan peraturan ejaan yang ada dalam bahasa mereka.

Pengembara pertama yang menghasilkan penggunaan ejaan Rumi dalam penulisan ialah warga Itali, Antonio Pigafetta, pada abad ke-15.  Sejak itu pengembara lain dari Eropah, seperti Inggeris dan Belanda menulis perkataan  dan ayat dalam bahasa Melayu dengan menggunakan huruf Rumi, berdasarkan sistem tulisan dan ejaan lazim bagi bahasa mereka sendiri.

Orang Inggeris telah mengasaskan beberapa kaedah ejaan Rumi di Tanah Melayu pada abad 17 hingga abad 19.  Antara ejaan Rumi yang disusun ketika itu termasuklah Ejaan Rumi Bowrey (1701), Ejaan Rumi J. Howison (1800), Ejaan Rumi William Marsden (1812), Ejaan Rumi Negeri-negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Swettenham (1881), dan Ejaan Rumi Maxwell (1882) .  Ejaan Rumi ketika itu berpedomankan kaedah transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi.

Dalam bulan Oktober 1904, terbit Ejaan Wilkinson yang dikenal sebagai Romanised Malay Spelling yang digunakan secara rasmi di semua sekolah umum di Tanah Melayu.  Ejaan ini digunakan dalam kamus bahasa Melayu karangan Wilkinson.

Seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan, usaha perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku.  Dalam hal ini, Maktab Perguruan Sultan Idris turut memainkan peranan.

Sistem ejaan yang terkenal selepas ejaan Wilkinson ialah sistem ejaan rumi Za’ba yang dihasilkan olehnya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, pada tahun 1924.  Sistem ejaan ini telah diperkemas dalam beberapa tahun, dan termuat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang-mengarang maktab berkenaan.  Antara beberapa buah buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah buku  Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941), Daftar Ejaan Jawi-Rumi (1949) dengan judul Petua-Petua Ejaan Rumi.  Semua buku yang tersenarai ini terkarang oleh pendeta Za’ba.

Harus diingat,  Sistem Ejaan Za’ba  digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Brunei.  Oleh sebab ejaan ini merupakan satu-satunya ejaan yang digunakan di sekolah sejak tahun 1924, ejaan ini dikenal juga sebagai Ejaan Sekolah sehingga tahun 1972 apabila perisytiharan Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia dibuat.

Selain Sistem Ejaan Za’ba, terdapat juga beberapa sistem ejaan Rumi yang lain, iaitu Ejaan Fajar Asia, Ejaan Kongres, Ejaan Melindo dan Sistem Ejaan Rumi Baru.  Sistem Ejaan Fajar Asia ini muncul dan digunakan dalam masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.  Ejaan ini digunakan untuk tujuan propaganda pemerintah Jepun di Tanah Melayu. Ejaan Rumi ini digunakan dalam majalah dwimingguan Fajar Asia (1943).  Selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945, ejaan ini terhenti penggunaannya dan Ejaan Za’ba digunakan semula.

Dalam Kongres Persuratan Melayu ketiga yang diadakan di Singapura pada tahun 1956, telah disepakati para peserta Kongres untuk mewujudkan satu sistem ejaan, yang dikenal sebagai Ejaan Kongres.  Namun, sistem ini tidak pernah dilaksanakan kerana sifatnya terlalu  idealistik dari segi linguistik hingga menjadikannya sukar diamalkan.

Usaha untuk menyeragamkan sistem ejaan antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia diteruskan. Beberapa siri perundingan dan pertemuan diadakan.  Berikutan dengan  itu wujudlah sistem ejaan bersama yang dikenal sebagai Ejaan Melindo (Ejaan Melayu dan Indonesia) pada tahun 1959.  Ejaan ini mencadangkan penggunaan lambang-lambang fonetik yang tidak praktikal sifatnya.  Akhirnya ejaan ini tidak terlaksana.

Perbincangan antara kerajaan Malaysia dengan  Indonesia berhubung dengan ejaan bersama berlaku selepas tamatnya konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963 – 1966).  Hasil daripada usaha sama kedua-dua buah negara ini, maka wujudlah  Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia, yang kemudiannya dikenal sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Pedoman Umum Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia 1972.  Di Indonesia sistem ini dikenal sebagai Ejaan Bahasa Indonesia yang Disempurnakan

Ejaan bersama ini dilancarkan serentak di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, dan di Jakarta oleh Presiden Soeharto pada 16 Ogos 1972.  Ejaan Baru ini merupakan muafakat Malaysia–Indonesia yang mengenyahkan tradisi ejaan lama, menggantikan Ejaan Za’ba di Malaysia dan Ejaan Soewandi di Indonesia.

Begitulah huraian tentang sejarah sistem ejaan Rumi di negara ini.

(Encik Muhammed Salehudin Aman ialah Munsyi Dewan)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1108939
    Visit Today : 178
    This Month : 19434
    Total Visit : 1108939
    Hits Today : 595
    Total Hits : 4592134
    Who's Online : 9
  • Kategori