KOMUNIKASI KANAK-KANAK SIDROM DOWN

Judul          : Bahasa Dalam Komunikasi Kanak-Kanak Sindrom Down
Penulis      : Puteri Roslina Abdul Wahid
Penerbit   : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Harga        : Rm20.00
Pengulas  : NORZUZILAWATI SULAIMAN

Ibu bapa yang memiliki anak Sindrom Down mempunyai pelbagai kesulitan untuk berkomunikasi dengan mereka. Perkembangan komunikasi kanak-kanak Sindrom Down mengalami kelewatan berbanding dengan kanak-kanak normal. Hal ini memberikan kesulitan kepada ibu bapa kanak-kanak Sindrom Down. Namun begitu, bagi memenuhi kesulitan tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku Bahasa dalam Komunikasi Kanak-kanak Sindrom Down yang ditulis oleh Puteri Roslina Abdul Wahid sebagai alternatif ibu bapa mendapatkan maklumat cara membina komunikasi yang betul dengan kanak-kanak Sindrom Down.

Sehubungan dengan itu, buku ini bukan hanya membicarakan tentang bahasa komunikasi semata-mata, sebaliknya dalam Bab 1, diceritakan tentang sejarah dan maklumat asas Sindrom Down. Sindrom Down bermaksud keadaan kongenital (sejak lahir) akibat kelainan pada kromosom. Sindrom bermaksud kumpulan ciri pada individu yang dikenal pasti wujud pada masa yang sama. kongenital ialah sesuatu yang wujud sewaktu lahir dan tidak diperoleh selepas kelahiran.

Sejarah awal penemuan penyakit Sindrom Down ditemui pada tahun 1866 di Britain. Penyakit ini mulai dikaji oleh Dr. John Langdon Haydon Down yang mendapati kumpulan kanak-kanak cacat mental di Earlswook Asylum, Surrey, berbeza dengan kanak-kanak cacat mental yang terdapat di England. Kumpulan ini dinamakan sebagai “Mongoloid” atau “Mongoloism” kerana penderitanya mengalami gejala klinikal yang khas, iaitu wajahnya seperti bangsa Mongol, memiliki mata yang sepet dan membujur ke atas. Pada tahun 1959, Dr. Jerome Lejeune dan Patricia Jacob menemukan bahawa penyakit Sindrom Down disebabkan oleh ketaknormalan kromosom. Kemudian, terdapat penemuan baharu bahawa penyakit Sindrom Down terjadi kerana kromosom 21. Melalui penemuan ini, pada tahun 1960-an, penyelidik dari Asia membantah penggunaan istilah “Mongoloid” atau “Mongoloism” kerana istilah itu bersifat keetnikan. Ahli sains bersetuju memberikan nama Sindrom Down sempena nama Dr. John Langdon Haydon Down yang mula-mula menemui dan mengkaji penyakit ini. Sejak, penyakit ini dikenali sebagai Sindrom Down dan pada 21 Mac diiktiraf seluruh dunia sebagai “Hari Sindrom Down Sedunia”.

Bab 2 pula membincangkan tentang bahasa dan komunikasi kanak-kanak Sindrom Down. Berdasarkan hasil kajian ahli sains perubatan, kanak-kanak Sindrom Down bukan sahaja menghadapi masalah komunikasi tetapi menghadapi perkembangan yang lewat berbanding kanak-kanak normal yang lain. Mereka menghadapi kecacatan kompleks dari segi neurologi, psikiatri, psikologi dan fisiologi yang memberikan kesan terhadap fungsi yang meliputi masalah pertuturan, bahasa dan komunikasi. Oleh sebab itu, kajian Puteri Roslina meliputi aspek bahasa dalam komunikasi kanak-kanak SD, iaitu pemerolehan bahasa verbal dan bukan verbal. Selain itu, pengkaji turut mengkaji pemerolehan pragmatik kanak-kanak SD bagi melihat potensi yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mewujudkan komunikasi antara mereka.

Teori dan Kaedah kajian dimuatkan dalam Bab 3. Terdapat dua teori yang digunakan oleh pengkaji, iaitu Teori Pemerolehan Bahasa dan Teori Komunikasi. Teori Pemerolehan Bahasa memperlihatkan sistem linguistik, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik yang dikuasai pantas walaupun pada umumnya tiada pengajaran formal. Teori Komunikasi pula membicarakan hubungan antara konsep teoretikal yang memberikan ketenangan, penjelasan, penilaian, ataupun ramalan tindakan manusia berdasarkan hubungan komunikator berkomunikasi (melalui perbualan, penulisan, pembacaan, penglihatan)

Pengkaji membincangkan Perkembangan kanak-kanak menerusi Bab 4. Dalam bab ini dibincangkan perkembangan kanak-kanak Sindrom Down. Sungguhpun mereka lambat membesar berbanding dengan kanak-kanak normal, namun suasana persekitaran penting untuk membantu pembesaran kanak-kanak. Ketenangan dan kemesraan penjaga dapat merangsang penerimaan pemelajaran yang lebih cepat. Bab ini juga menerangkan tentang ketinggian dan berat, lilitan kepala dan lengan, komposisi badan dan pertumbuhan gigi kanak-kanak Sindrom Down untuk memudahkan ibu bapa mengawasi proses tumbesaran mereka.

Selain itu, perkembangan motor kasar dan motor halus juga penting dalam perkembangan tumbesaran kanak-kanak Sindrom Down. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran motor kasar memerlukan bantuan banyak otot dan membolehkan bayi bergerak balas dengan persekitarannya, seperti merangkak, berdiri dan berjalan. Oleh sebab kanak-kanak sindrom Down tidak mempunyai otot yang baik, sukar bagi mereka untuk belajar mengiring dan menggolekkan badannya, duduk tegak dan berjalan. Namun begitu, terapi fizikal dapat membantu mereka menyelesaikan masalah ini. Manakala, perkembangan motor halus pula ialah proses menggunakan otot kecil yang diperlukan seperti menggenggam, mencubit dan menulis. Amat penting bagi penjaga atau ibu bapa memahami perkembangan motor halus kanak-kanak supaya dapat mengetahui sebab kanak-kanak mengalami masalah menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru di pusat latihan. Kanak-kanak Sindrom Down kebiasaannya mengembangkan kemahiran motor halus dalam pola yang sama dengan kanak-kanak normal tetapi agak lewat dari segi penanda aras pencapaiannya.

Dalam Bab 5, pengkaji membincangkan pemelajaran bahasa Melayu untuk keperluan khas kanak-kanak Sindrom Down. Kurikulum Bahasa Melayu dalam Program Pendidikan Khas diasaskan berdasarkan keupayaan individu, mengikut tahap fungsian mereka. Manakala, komunikasi verbal pula melibatkan penggunaan bahasa. Oleh sebab kanak-kanak Sindrom Down mempunyai jangka ingatan yang singkat, maka daya ingatan ini dihubungkan dengan keberkesanan tuturan dan penghasilan bunyi. Mereka memerlukan masa yang agak lama untuk mengaitkan kata dengan makna. Pemelajaran lebih kepada bentuk visual apabila guru menggunakan gambar untuk mengaitkan kata dengan makna (objek). Bagi pengajaran kata nama, guru mendahulukan visual berbanding dengan huruf “ram-bu-tan”. Kaedah ini banyak membantu kanak-kanak sindrom Down memahami apa-apa yang diajarkan kepada mereka.

Dalam Bab 6 pula, kajian dilakukan ke atas kanak-kanak Sindrom Down untuk melihat pemerolehan bahasa verbal dan bahasa bukan verbal. Bahasa verbal ialah bahasa yang diujarkan atau dituturkan. Pemerolehan bahasa verbal kanak-kanak SD dapat dilihat dari dua sudut, iaitu kemahiran asas ekspresif dan kemahiran bahasa reseptif. Kemahiran bahasa reseptif menumpukan kepada memori, auditori dan mematuhi arahan, perkembangan konsep, seperti warna, bentuk, arahan, (atas dab bawah), latihan dan pengalaman bermain. Kemahiran pragmatik juga berkaitan dengan bahasa yang merangkumi permintaan, memohon bantuan, ucapan dan permainan.

Sementara itu, perkembangan bahasa dalam kalangan kanak-kanak SD secara purata agak lewat dibandingkan dengan perkembangan kognitif, motor dan sosial. Hal ini terjadi kerana kanak-kanak SD mempunyai umur biologikal mereka yang tidak sama dengan umur akal (dengan perbezaan antara tiga hingga empat tahun berbanding dengan umur sebenar). Kegiatan atau permainan bahasa merupakan antara langkah yang dapat menarik perhatian dan cuba mendapatkan perhatian kanak-kanak SD dalam proses awal membina komunikasi dengan mereka. Dari segi penggunaan ayat pula, penutur perlulah menggunakan ayat pendek dan bahasa yang mudah difahami ketika berkomunikasi dengan kanak-kanak SD. Mereka memerlukan masa yang agak lama untuk mengaitkan kata dengan makna berbanding dengan kanak-kanak normal. Pemelajaran lebih kepada bentuk visual apabila guru menggunakan gambar untuk mengaitkan kata dengan makna (objek). Bagi pengajaran kata nama, guru mestilah mendahulukan visual berbanding dengan huruf.

Contoh pengajaran adalah seperti yang berikut:

Guru   : Sebut … ram

KK       : ram

Guru   : Bu

KK       : Bu

Guru   : Tan … sebut ram-bu-tan

KK       : Tan … rambutan

 

Menerusi Bab 7, pengkaji membincangkan pemerolehan pragmatik. Pragmatik dalam dunia kanak-kanak diperoleh melalui proses sosialisasi. Kanak-kanak Sindrom Down mempunyai kemahiran interaktif sosial dan cekap menggunakan gerak badan dan ekspresi muka untuk membantu mereka berkomunikasi. Dalam kajian komunikasi kanak-kanak Sindrom Down, pragmatik memfokuskan kepada penggunaan bahasa oleh kanak-kanak Sindrom Down untuk tujuan tertentu seperti menyampaikan ucapan, permintaan, dan tuntutan. Hasil kajian pragmatik dalam kalangan kanak-kanak Sindrom Down dan mendapati empat kemahiran iaitu fungsi komunikatif, tindak balas kepada komunikasi, interaksi dan perbualan dan variasi kontekstual. Penguasaan pragmatik penting bagi melancarkan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak Sindrom Down. Kanak-kanak yang telah menguasai pragmatik berkeupayaan menggunakan bahasa yang sopan dalam konteks sosial. Bahasa melambangkan kehalusan dan kesopanan, serta tingkah laku penuturnya. Pragmatik menyerlahkan peraturan sosial yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam konteks.

Sebagai penutup dalam bab 8 pula, pengkaji menyarankan kepada ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemerolehan bahasa kanak-kanak Sindrom Down. Mereka boleh mempelajari dan memperoleh bahasa dengan baik sekiranya disayangi, dibimbing, dan diajar seperti kanak-kanak normal. Jika mereka dilatih secara berterusan, kanak-kanak Sindrom Down dapat bertutur dengan baik dan memahami apa-apa yang mereka dan orang lain tuturkan.

Pengkaji juga memaklumkan bahawa kumpulan sokongan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat dan kementerian pelajaran dapat membantu kanak-kanak Sindrom Down menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain. Sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan dapat membantu dan memberikan peluang pelajaran, penjagaan kesihatan, bantuan dan khidmat nasihat kepada kanak-kanak Sindrom Down. Selain itu, sokongan ini dapat membantu ibu bapa yang memiliki kanak-kanak Sindrom Down mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan serta pendidikan untuk anak mereka. Dengan ada program pemulihan di pusat pemulihan dalam komuniti, kanak-kanak Sindrom Down dapat mengikuti program intervensi, terapi dan cara kerja, terapi pertuturan, pendidikan khas dan latihan kemahiran asas agar mereka dapat hidup berdikari apabila dewasa kelak. Corak pemikiran negatif tidak harus menjadi pegangan masyarakat kerana kanak-kanak Sindrom Down juga berhak menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang normal. Dengan adanya kajian ini, kanak-kanak Sindrom Down dapat berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa memainkan peranan yang penting sebagai alat penghubung dalam komunikasi kanak-kanak Sindrom Down dengan dunia luar. Mereka tidak dapat menjadi manusia normal, namun dengan program dan terapi yang disediakan oleh pihak kerajaan, mereka dapat berkomunikasi seperti orang normal yang lain dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048163
    Visit Today : 481
    This Month : 30762
    Total Visit : 1048163
    Hits Today : 1185
    Total Hits : 4300231
    Who's Online : 18
  • Kategori