Oleh SITI SUHANA  MOHD AMIR

 

Dalam usaha kerjasama yang menjangkau usia lapan tahun, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka tidak jemu untuk menjalankan usaha tanggungjawab sosial yang utuh bersama-sama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta lain demi kelangsungan perpaduan sesama kaum di Malaysia tercinta ini dengan penganjuran Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan pada 2 Ogos 2016. Sesungguhnya, perpaduan negara didukung oleh masyarakat yang berbilang kaum, hidup dalam keadaan aman dan makmur. Rakyat yang bersatu akan melahirkan negara yang berwawasan dan aman damai. Perpaduan juga menjadi tunjang utama dalam menjamin keamanan dan mencipta kemajuan negara agar dapat bersaing dengan dunia luar dalam usaha mengangkat martabat negara Malaysia. Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kepelbagaian kaum mampu membuatkan negara menjadi contoh kepada dunia luar.

Johan Pertandingan Koir, Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur ketika membuat persembahan akhir.

Johan Pertandingan Koir, Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur ketika membuat persembahan akhir.

Bersandarkan lima aktiviti utama yang menjadi tunjang kepada acara kemuncak ini seperti Pertandingan Koir, Deklamasi Puisi dan Forum Pelajar untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Pertandingan Pidato dan Bercerita untuk pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil [SJK(C)] dan [SKJ(T)] telah berjaya dijalankan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di Semenanjung malah usaha diperluaskan kepada pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak. Festival ini telah disempurnakan oleh YB Datuk P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan mewakili YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia dan bertempat di Auditorium Menara DBP. Melalui sokongan yang jelas ini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak DBP sentiasa komited dalam penganjuran aktiviti seumpama ini dengan penglibatan remaja pelbagai kaum sekali gus dapat memberi pendedahan dan menonjolkan bakat mereka di samping dapat membina semangat patriotik dalam diri masing-masing. Pendekatan seperti ini amat diharapkan dan semestinya dapat dimulakan pada peringkat alam sekolah sebelum diaplikasikan dalam dunia pekerjaan dan hidup bermasyarakat.

Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Moden, Lee Chun Lian dari Sekolah Tinggi Cina Tawau.

Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Moden, Lee Chun Lian dari Sekolah Tinggi Cina Tawau.

Slogan 1 Malaysia telah tersemat di sanubari demi pemantapan perpaduan rakyat Malaysia tercinta. Mengenal adat dan budaya kaum lain dapat melahirkan pelajar yang menghormati kaum lain sekali gus memupuk perpaduan sesama kaum. Sokongan daripada pihak sekolah, para guru dan agensi terlibat amat dihargai dalam membimbing pelajar untuk berani bertanding dan menonjolkan diri di pentas pertandingan masing-masing di samping dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu malah dapat memperbaiki kelemahan dalam bertutur dalam bahasa kebangsaan. DBP sentiasa berusaha memasyarakatkan bahasa kebangsaan seperti mengadakan bengkel penataran bahasa Melayu secara berkala untuk guru SMPC dan SJK(C) dan SKJ(T), menyediakan pelbagai kemudahan berkaitan bahasa dan persuratan kebangsaan kepada pengguna seperti mengakses maklumat dengan cepat melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan meluaskan rangkaian penjualan buku di seluruh negara melalui pembelian secara dalam talian.

Johan Pertandingan Pidato, Oscar Kaw Zheng Xuan dari SJK Khai Chee.

Johan Pertandingan Pidato, Oscar Kaw Zheng Xuan dari SJK Khai Chee.

Sebanyak 371 orang pelajar menyertai pertandingan yang diadakan dalam festival pada tahun 2016. Pertandingan Koir dimenangi oleh Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur, diikuti naib johan oleh Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor dan di tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Hin Hua, Klang, Selangor. Johan bagi Pertandingan Deklamasi Puisi Moden dimenangi oleh adik Lee Chun Lian dari Sekolah Tinggi Cina Tawau, Sabah; naib johan diberikan kepada adik Shum Jin Mey dari Sekolah Menengah Tshun Jin, Kuala Lumpur dan adik Chim Vui Lung dari Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah di tempat ketiga. Manakala, dalam pertandingan Forum Pelajar pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru sebagai johan, Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah di tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Kuen Cheng, Kuala Lumpur.

Keputusan Pertandingan Bercerita untuk pelajar sekolah rendah pula dimenangi oleh adik Ngo Kar Min dari SJK(C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur sebagai johan, naib johan dimenangi oleh Loh Kah Hui dari SJK(C) Pei Chai, Kuantan Pahang dan adik Tan Kan Heng dari SJK(C) Pei Chun, Pontian, Johor di tempat ketiga. Kemudiannya, keputusan Pertandingan Pidato Sekolah Rendah disandang oleh adik Oscar Kaw Zheng Yuan dari SJK(C) Khai Chee sebagai johan dan membawa tajuk pidato ‘Satu Malaysia Menjayakan Wawasan’, tempat kedua yang membawa tajuk ‘Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa’ dimenangi oleh adik Eng Zhen Shen dari SJK(C) Pei Chai, Kuantan, Pahang, dan adik Liew Er Jun dari SJK(C) Chung Hua, Shah Alam, Selangor di tempat ketiga dengan membawa tajuk pidato ‘Warga Berintegriti Pemangkin Satu Malaysia’.

Johan Pertandingan Forum Pelajar dari Sekolah Menengah Foon Yen, Johor Bahru, Johor.

Johan Pertandingan Forum Pelajar dari Sekolah Menengah Foon Yen, Johor Bahru, Johor.

Semoga penganjuran festival ini terus mendapat sokongan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia dan pihak penaja seperti KH Sports World Sdn. Bhd. Yang sentiasa memberi sumbangan hadiah kepada para pemenang. Terima kasih diucapkan buat semua yang terlibat.

Johan Pertandingan Bercerita, Ngo Kar Min dari SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.

Johan Pertandingan Bercerita, Ngo Kar Min dari SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.

Sesungguhnya, penglibatan para pelajar pelbagai kaum melalui festival ini dapat memanifestasikan bahawa bahasa kebangsaan dapat mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum. Perpaduan yang sedia wujud dalam pelbagai kaum harus dikekalkan agar keharmonian dan kesejahteraan negara terjamin dan akan dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Para remaja perlu belajar dan menghayati kepentingan perpaduan kaum demi mengekalkan kedaulatan negara bersandarkan kebolehan dan kebijaksanaan yang dimiliki. ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ menjadi tonggak kekuatan negara dalam membentuk modal insan yang berjiwa patriotik. Apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara dan bukan semata-mata apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1058611
    Visit Today : 501
    This Month : 6864
    Total Visit : 1058611
    Hits Today : 1587
    Total Hits : 4346988
    Who's Online : 13
  • Kategori