PENGHANTAR-PSIKOLINGUISTIK

Judul Buku:    Pengantar Psikolinguistik Moden

Penulis:           Mangantar Simanjuntak

Penerbit:         Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun:            2016

Harga:             RM20.00

Pengulas:      ZAIDI ISMAIL

Psikolinguistik merupakan satu ilmu baharu yang sangat penting, terutamanya dalam pengajaran bahasa dan pembacaan permulaan. Masalah pengajaran bahasa dan pengajaran pembacaan permulaan merupakan masalah psikolinguistik dan seharusnyalah diselesaikan dengan prinsip-prinsip psikolinguistik itu.

Ilmu yang dianggap baharu ini telah cuba mengkaji proses-proses yang berlaku dalam otak manusia pada waktu pemerolehan dan pembelajaran bahasa. Selain itu, psikolinguistik juga cuba menerangkan apakah bahasa itu dan apakah hakikatnya? Semua ini perlu diketahui terutamanya oleh guru bahasa dan pendidik. Teori-teori pembelajaran bahasa juga dinilai dan diterangkan secara teliti oleh ilmu yang baharu ini untuk kegunaan guru-guru bahasa, khususnya dan pendidik-pendidik, umumnya.

Pengajaran bahasa dan pengajaran pembacaan permulaan merupakan urat nadi semua sistem pendidikan dan pengajaran. Kedua-dua masalah pengajaran ini sangat erat hubungannya antara satu sama lain dan kedua-duanya merupakan masalah psikolinguistik. Dengan kelahiran ilmu psikolinguistik, pengajaran bahasa dan pengajaran pembacaan permulaan telah mencapai peringkat sofistikated yang sangat tinggi dan dengan demikian telah memberikan harapan baharu ke arah kejayaan yang lebih meyakinkan dalam kedua-dua bidang pengajaran ini.

Buku pengantar psikolinguistik ini telah disediakan untuk memenuhi keperluan buku teks dalam bahasa Melayu, terutama pada peringkat universiti. Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi 12 bab yang menerangkan berkenaan psikolinguistik moden. Dalam bab kedua buku ini, Sejarah Singkat Perkembangan Psikolinguistik, kita didedahkan tentang sejarah awal perkembangan ilmu psikolinguistik. Dalam bab ini diterangkan tentang kerjasama secara langsung antara ahli linguistik dan ahli psikologi untuk cuba memecahkan masalah-maslah bersama yang telah dilakukan sejak tahun 1860-an.

Pada waktu itu, Heyman Steinthal, seorang ahli psikologi yang bertukar menjadi ahli linguistik, dan Moritz Lazarus, seorang ahli linguistik yang bertukar menjadi ahli psikologi, telah menerbitkan sebuah jurnal yang khusus membincangkan psikologi bahasa (psikolinguistik) daripada sudut linguistik dan psikologi, iaitu jurnal “Zeitschrift fur Volkerpsychologie und Sprachwissenschaft” (jurnal psikologi sosial dan linguistik). Menurut Steinthal, satu sains psikologi tidaklah mungkin hidup tanpa satu sains bahasa. Menurutnya, satu-satunya pintu ke dalam akal manusia hanyalah melalui hukum-hukum semula jadi bahasa dan bukan melalui pancaindera manusia itu.

Dalam buku ini juga turut diterangkan tentang teori-teori penting dalam linguistik, antaranya termasuklah Teori Tatabahasa Transformasi Generatif Standard, yang dijelaskan dalam bab ketujuh. Teori ini merupakan teori tatabahasa standard yang telah diterima pada umumnya oleh ahli-ahli psikolinguistik sebagai suatu teori yang memadai untuk menghuraikan kecekapan (pengetahuan) penutur sesuatu bahasa mengenai bahasa. Hal ini tidak bermakna bahawa teori ini telah sempurna dalam segala hal. Usaha ke arah pembaikan teori ini terus dilakukan, antaranya termasuklah oleh Chomsky dengan pengikut-pengikutnya.

Bab kesembilan pula merupakan bab penting buku ini, iaitu tentang pemerolehan (perkembangan) bahasa. Pemerolehan bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak kanak-kanak (bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Dengan demikian, kita harus membezakan pemerolehan bahasa ini dengan pembelajaran bahasa. Pembelajaran bahasa menyangkut proses-proses yang berlaku sewaktu seseorang sedang mempelajari bahasa baharu selepas dia (telah selesai) memperoleh bahasa ibundanya. Dengan kata lain, pemerolehan bahasa melibatkan bahasa pertama, manakala pembelajaran bahasa melibatkan bahasa kedua atau bahasa asing.

Proses-proses yang berlaku sewaktu kanak-kanak sedang memperoleh bahasa ibundanya terdiri daripada dua jenis, iaitu perlakuan dan kecekapan. Perlakuan terdiri daripada proses-proses pemahaman dan proses-proses penerbitan. Kedua-dua proses tersebut adalah berlainan. Proses-proses pemahaman melibatkan kebolehan mengamati atau kebolehan persepsi ayat-ayat yang didengar dan proses-proses penerbitan melibatkan kebolehan menerbitkan atau mengeluarkan ayat-ayat sendiri. Kedua-dua proses itu, apabila dikuasai oleh kanak-kanak, akan menjadi kebolehan-kebolehan linguistiknya. Jadi, kebolehan-kebolehan linguistik terdiri daripada kebolehan-kebolehan memahami dan menerbitkan ayat-ayat yang dalam linguistik disebut perlakuan.

Secara umumnya, buku Pengantar Psikolinguistik Moden yang setebal 275 halaman ini amat sesuai dijadikan rujukan kepada pelajar-pelajar, khususnya di institusi-institusi pengajian tinggi dan maktab-maktab perguruan. Dalam penyediaannya, penulisnya menyatakan bahawa buku ini disediakan dengan cara merujuk hampir semua bahan terpenting dalam bidang-bidang linguistik, psikologi, pendidikan, dan psikolinguistik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054248
    Visit Today : 1193
    This Month : 2501
    Total Visit : 1054248
    Hits Today : 4027
    Total Hits : 4327545
    Who's Online : 14
  • Kategori