Oleh HASSAN ALIAS

 

Encik Kamarul Zaman Shaharudin, Timalan Ketua Pengarah (Operasi ) DBP.

Encik Kamarul Zaman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi ) DBP.

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (PBAKL) telah melabuhkan tirai pada 9 Mei yang lalu di MAEPS, Serdang, Selangor. Ini merupakan kali pertama PBAKL mengadakan pameran di luar Putra World Trade Centre (PWTC), iaitu tapak tradisi pesta berkenaan sejak sekian lama.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak pernah tercicir daripada mengambil bahagian dalam pesta ini dan merupakan antara pemamer yang terbesar. PBAKL tahun 2015 mempunyai sejarah yang tersendiri apabila DBP baru mengambil alih semula fungsi komersial penerbitan DBP daripada syarikat konsesi DAWAMA pada penghujung tahun 2014. Ketika itu DBP belum cukup bersedia untuk mengambil bahagian kerana proses pengambilalihan tidak berjalan dengan sempurna.

Antara petugas PBAKL 2016 yang menghadiri majlis.

Antara petugas PBAKL 2016 yang menghadiri majlis.

PBAKL 2016 boleh dikatakan kebangkitan semula DBP umpama “harimau yang terbangun daripada tidur”. DBP terlibat dalam PBAKL dalam skala yang lebih besar, menonjol dan paling bersedia berbanding dengan tahun 2015.

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, bin Shaharudin pada Majlis Menjunjung Budi, yang bertujuan untuk menghargai pelbagai pihak yang terlibat sepanjang PBAKL dari 29 April – 9 Mei 2016. Majlis yang diadakan pada 3 Jun 2016 itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, Tuan Haji Abdul Adzis Abas, staf DBP dan petugas yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam PBAKL 2016.

Tuan Haji Abdul Aziz memilih nama peserta peraduan yang dianjurkan oleh reruai DBP.

Tuan Haji Abdul Adzis memilih nama peserta peraduan yang dianjurkan oleh reruai DBP.

Menurut Encik Kamarul Zaman, persediaan untuk PBAKL sudah dimulakan sejak penghujung tahun 2015 lagi dan dirancang dengan cukup teliti.

“Mesyuarat persediaan PBAKL diadakan sebanyak lapan kali dan mesyuarat jawatankuasa perasmian sebanyak dua kali,” kata Encik Kamarul Zaman yang menunjukkan kesungguhan DBP untuk meningkatkan semula imej DBP yang agak tenggelam apabila fungsi komersial diambil alih oleh pihak swasta.

Dalam majlis itu, Encik Kamarul Zaman mendedahkan hasratnya untuk mempersiapkan reruai DBP sebegitu gah kerana kelihatan kerdil apabila reruai DBP sebelah-menyebelah dengan reruai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia pada PBAKL 2015.

MSS_0429

Tuan Haji Abdul Adzis menyampaikan hadiah kepada pemenang utama.

“Reruai DBP paling mendapat perhatian dan dikunjungi ramai sepanjang pesta kali ini. Kelebihan reruai DBP disebut-sebut oleh Presiden MABOPA, Encik Ishak Hamzah,” terang Encik Kamaruzaman lagi.

Encik Kamaruzaman turut memuji penglibatan tidak berbelah bahagi pelbagai pihak merentas bahagian dan jabatan DBP. Sebanyak 20 bahagian terlibat dengan enam aktiviti di pentas utama dan 67 aktiviti di reruai. Jumlah petugas di reruai pula sebanyak 103 orang, tidak termasuk mereka yang terlibat dalam persembahan.

Suasana reruai DBP di PBAKL 2016.

Encik Kamaruzaman menghimbau kerisauan beberapa pihak tentang sambutan masyarakat terhadap PBAKL 2016 kerana lokasinya sangat asing untuk upacara seumpamanya. Walau bagaimanapun reruai DBP berjaya menongkah cabaran tersebut di samping cabaran lain, iaitu kuasa beli pengguna dan institusi berkurang kesan ekonomi negara yang tidak menentu.

“DBP menghadapi pelbagai cabaran tersebut dengan bersemangat dan buktinya jualan PBAKL 2016 sebanyak RM567,001.79 berbanding dengan RM200,000.00 pada PBAKL 2015. Ini menunjukkan peningkatan 283%,” kata Encik Kamaruzaman disambut oleh tepukan gemuruh khalayak.

Aktiviti di reruai.

Aktiviti di reruai.

Encik Kamaruzaman menyatakan bahawa prestasi DBP dalam PBAKL 2016 merupakan tanda aras bagi PBAKL tahun-tahun yang mendatang. Beliau optimis bahawa DBP akan melakukan lebih baik pada masa hadapan.

Tuan Haji Abdul Adzis turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam PBAKL 2016 yang telah menunjukkan iltizam yang luar biasa. Beliau tidak kecewa walaupun sasaran untuk jualan RM1 juta tidak tercapai kerana baginya meletakkan sasaran yang tinggi merupakan perkara positif yang mendorong insan untuk bekerja keras.

Beliau turut memuji kerjasama pelbagai pihak tanpa mengira bahagian atau jabatan untuk menyempurnakan reruai DBP.

Aktiviti di reruai yang mendapat perhatian.

Antara aktiviti di reruai yang mendapat perhatian.

“Saya kerap menekankan bahawa kita mesti bekerjasama tanpa mengira jabatan atau bahagian mana yang menganjurkan kegiatan. Tidak harus wujud compartmentalization (pemetakan),” tekan beliau lagi.

Pada penghujung majlis Tuan Haji Abdul Adzis sudi menyempurnakan cabutan nama pemenang peraduan yang dianjurkan oleh reruai DBP pada PBAKL 2016. Hadiah utama, iaitu pakej melancong ke Korea Selatan dimenangi oleh Encik Mulia Nasution, staf Bahagian Penguatkuasaan DBP. Pemenang hadiah lain akan dihubungi melalui panggilan telefon dan majlis penyampaian hadiah akan diadakan kelak.

Sebagai menghargai sumbangan tenaga staf dan petugas yang menjayakan PBAKL 2016, disediakan jamuan yang sederhana tetapi meyelerakan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049507
    Visit Today : 352
    This Month : 32106
    Total Visit : 1049507
    Hits Today : 2301
    Total Hits : 4307062
    Who's Online : 22
  • Kategori