pandangan-kontemporari

Judul: Pandangan Kontemporari Alam Semesta

Pengarang: Haider F. Abdul Amir

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM30.00

Tahun: 2015

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

 

Buku berjudul Pandangan Kontemporari Alam Semesta ditulis oleh Haider F. Abdul Amiriaitu, dilahirkan di Baghdad (Iraq) pada 4 Jun 1969 dan berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah sebagai Profesor Madya. Kandungan buku ini berkisar tentang astronomi yang mengkaji evolusi, struktur dan tabiat alam semesta. Buku ini juga merupakan pengenalan kepada pelbagai misteri alam semesta dan mendedahkan sebahagian misteri yang masih belum dapat dijelaskan oleh ahli-ahli astronomi.

Pada dasarnya, terdapat banyak teori yang mengkaji pembentukan alam semesta, namun hanya tiga teori yang mendapat perhatian dan tumpuan daripada ahli sains dan astronomi. Teori tersebut ialah Teori Letupan Besar (Big Bang Theory), Teori Keadaan Mantap (Steady state Theory) dan Teori Tali (String Theory). Secara ringkasnya Teori Letupan Besar menjelaskan bahawa ketumpatan jirim berkurang ketika alam semesta mengembang. Teori Keadaan Mantap pula menjelaskan bahawa ketumpatan jirim konsisten ketika alam semesta mengembang (ruang diisi oleh jirim-jirim baru). Manakala Teori Tali pula menjelaskan bahawa semua jirim terdiri daripada tali yang sangat halus, bertenaga dan bergetar.

Bab 4 buku ini memperincikan tentang Bima Sakti. Bima Sakti ialah kumpulan lebih daripada 200 bilion bintang, planet, nebula, gugusan, debu dan gas. Kebanyakan bintang yang kita lihat pada Bima Sakti telah terbentuk kira-kira lebih daripada 13 bilion tahun lalu. Sistem suria ialah satu bahagian daripada galaksi Bima Sakti. Istilah “Bima Sakti” berasal daripada nama tokoh berkulit hitam dalam pewayangan, iaitu Bima Sakti. Istilah ini muncul kerana orang Jawa kuno melihat susunan bintang-bintang yang tersebar di angkasa, yang jika dihubungkan dan ditarik, suatu garis akan membentuk gambar Bima dililit ular naga, maka disebutlah “Bima Sakti”. Bima Sakti mempunyai tiga komponen utama iaitu cakera yang mengandungi lengan pilin, pusat galaksi yang membonjol dikenali sebagai nukleus dan halo. Halo dan nukleus dirujuk secara kolektif sebagai komponen sfera galaksi kerana kedua-duanya mempunyai taburan hampir berbentuk sfera.

Selain komponen utama, galaksi Bima Sakti juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga komponen lain yang tidak kelihatan, iaitu medan magnet galaksi, zarah bercas yang terperangkap dalam medan magnet galaksi dan halo jirim gelap. Medan magnet galaksi ialah medan magnet lemah yang merebak ke seluruh cakera galaksi.

Bab 5 buku ini menerangkan dengan terperinci tentang sistem suria. Sistem suria terdiri daripada semua planet yang mengelilingi Matahari. Di samping planet-planet itu, sistem suria juga terdiri daripada Bulan (satelit semula jadi), komet, asteroid, planet kecil, dan debu serta gas. Semua planet dalam sistem suria berputar pada paksinya sendiri dan mengorbit Matahari. Matahari terletak di tengah-tengah sistem suria. Planet-planet mengelilingi Matahari dalam laluan elips yang berbentuk bujur. Secara umum sistem suria terbahagi kepada dua bahagian, iaitu suria dalaman dan sistem suria luaran. Empat planet dalaman yang paling dekat dengan Matahari terdiri daripada Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh. Planet-planet ini merupakan planet berbatu yang dikenali sebagai planet terestrial, dengan komposisi utamanya terdiri daripada batuan dan logam. Sistem suria luaran pula ialah terdiri daripada empat planet luaran yang dikenali sebagai gergasi gas (gas giants) adalah lebih besar berbanding dengan planet terestrial. Dua yang terbesar ialah Musytari dan Zuhal yang komposisi utamanya terdiri daripada hidrogen dan helium, dan dua planet paling luar ialah Uranus dan Neptun yang dikenali sebagai gergasi ais (ice giants) yang sebahagian besarnya terdiri daripada air, ammonia, dan ais lebur metana.

Bab 6, iaitu bab akhir buku ini menerangkan dengan terperinci tentang bentuk geometri, umur dan masa depan alam semesta. Kemajuan teknologi pada abad ke-20 dan ke-21 banyak membantu ahli astronomi untuk mendapatkan penjelasan tentang beberapa fenomena yang berkaitan dengan alam semesta. Soalan yang mendapat perhatian dan sering dibincangkan ialah tentang bentuk geometri alam semesta, kandungan alam semesta, umur alam semesta dan masa depan alam semesta. Pada dasarnya, bentuk alam semesta dan pengembangannya sama ada terhingga atau tidak terhingga bergantung pada hubungan antara kadar pengembangan dengan daya tarikan graviti. Daya tarikan graviti ini bergantung pada ketumpatan jirim dalam alam semesta. Ada suatu nilai ketumpatan kritikal tertentu yang menentukan struktur dan bentuk geometri keseluruhan alam semesta. Jika ketumpatan alam semesta lebih rendah daripada nilai ketumpatan kritikal, maka alam semesta akan bersifat tak terhingga dan disebut alam semesta terbuka. Manakala jika ketumpatan alam semesta lebih besar daripada nilai ketumpatan kritikal, hal ini menunjukkan suatu alam semesta terhingga yang disebut alam semesta tertutup. Jika ketumpatan alam semesta sama dengan ketumpatan kritikal, maka bentuk alam semesta adalah rata dengan kelengkungan sifar seperti sehelai kertas.

Buku ini boleh dijadikan sebagai panduan oleh ahli penyelidik astronomi baharu dalam mengenali alam semesta. Selain itu, buku ini juga boleh dijadikan bahan bacaan ilmiah oleh masyarakat awam yang meminati bidang astronomi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048028
    Visit Today : 346
    This Month : 30627
    Total Visit : 1048028
    Hits Today : 748
    Total Hits : 4299794
    Who's Online : 11
  • Kategori