E-MEL DARI SHINJUKU

Tajuk Buku:       E-Mel Dari Shinjuku

Penulis:              Ariff Mohamad

Penerbit:            Dewan Bahasa Dan Pustaka

Terbit:                2015

PENGULAS:  NORZUZILAWATI SULAIMAN

E-mel Dari Shinjuku telah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2013 bagi kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak. Buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2015 ini memuatkan sebanyak 14 cerpen yang mengisahkan dunia semasa yang dihadapi oleh kanak-kanak. Kumpulan Cerpen ini memuatkan pelbagai tema yang berkaitan dengan kehidupan kanak-kanak itu sendiri. Cerpen-cerpen tersebut dapat mendidik jiwa kanak-kanak, kerana dalamnya terpancar nilai pendidikan dan ilmu yang baik kepada kanak-kanak dalam meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan pelbagai konflik dan cabaran.

Sehubungan dengan itu, cerpen “Serangkap Pantun di Atas Meja” dan “Hadiah untuk Cikgu Siti” memaparkan unsur motivasi guru terhadap murid-murid dan kasih sayang murid terhadap guru. Sementara itu, “Misteri Banglo Putih”, “Memilih Mimpi”, “Menanti Hujan Berhenti” dan “Rahsia Sekeping Potret”, “Komputer Idamanku” bertemakan Kasih sayang ibu bapa dan anak terhadap keluarga. Dalam dunia kanak-kanak, mereka tidak dapat dipisahkan dengan dunia fantasi atau khayalan. Sungguhpun hal ini tidak masuk akal, namun dunia kanak-kanak sememangnya pelik tetapi inilah realiti sebuah dunia kanak-kanak. Pengarang tidak melupakan tema tersebut dengan menghadiahkan tiga buah cerpen bertemakan makhluk asing. Dengan membaca buku ini, kanak-kanak dapat bersahabat dengan makhluk asing menerusi cerpen “Aragon dari Planet Zatura”, “Sesat di hutan” dan “Detektif Izwan”.

Yang menariknya, dalam setiap cerpen yang dihasilkan oleh Ariff Mohamad, beliau menitipkan nilai moral tentang kepentingan ilmu, persahabatan, kemasyarakatan, kekeluargaan setia kawan dan kasih sayang. Selain itu, kekuatan dan keaslian cerita serta permasalahan yang ditampilkan secara matang dan mempunyai jalan penyelesaian yang sesuai, boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada kanak-kanak yang membacanya.

Pengarang tidak lupa menyelitkan unsur inovasi dalam kreativiti hasil karyanya bagi mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif dalam kehidupan. Selain itu, dari aspek kreativiti dan inovasi juga, pengarang berusaha untuk menerapkan elemen teknologi secara signifikan.  Hal ini terbukti melalui peranan watak Ayu dalam kisah “E-mel dari Shinjuku” yang kehilangan alamat kawan-kawannya di Malaysia. Setelah berpindah ke Tokyo, Jepun, dia tidak dapat berhubung dengan kawan-kawannya lagi. Oleh sebab buntu kerana tidak dapat menghubungi kawan-kawannya, Ayu terjumpa alamat e-mel Cikgu Ramlah yang tercatat pada buku bahasa Melayunya. Lalu Ayu berjaya memanfaatkan teknologi siber yang digunakan sebagai wahana komunikasi yang berkesan dan berhikmah untuk berhubung dengan kawan-kawannya.

Ayu berjaya membuka akaun e-melnya sendiri dan dapatlah dia berhubung dengan sahabat baik, Emira setiap hari. Melalui teknologi, hubungan Ayu dan Emira dapat dieratkan walaupun mereka berada jauh beribu batu. Bukan sahaja sahabat baiknya Emira, malah kawan-kawan sekelasnya, iaitu kelas Lima Cempaka dapat berhubung dengannya melalui e-mel. Teknologi lebih cepat dan menjimatkan serta dapat berhubung lebih kerap berbanding dengan menggunakan surat.

Sesungguhnya, cerpen “E-mel dari Shinjuku” memaparkan nilai persahabatan yang tinggi dan kasih sayang yang utuh antara sahabat. Sungguhpun berpisah, dua orang sahabat masih dapat berkongsi cerita. Nilai moral yang dipaparkan boleh menjadi panduan kepada kanak-kanak yang membaca agar sentiasa menyayangi sahabat serta guru, dan tidak lupa menghormati mereka sebagai sahabat dan guru yang banyak memberikan ilmu kepada kita.

Menurut Affizal Ahmad dalam bukunya Buku Cerita Perangsang Minda Kanak-kanak, dengan membaca buku cerita, kanak-kanak akan mempelajari ciri-ciri atau sifat baik daripada watak dalam cerita yang dibaca atau contoh teladan yang baik daripada kisah yang diceritakan. Setiap watak yang ada dalam sesebuah buku cerita kanak-kanak berupaya mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak.

Lantaran itu, buku ini sesuai dibaca oleh kanak-kanak sekolah tahap 1 dan 2. Buku ini bukan hanya mendidik nilai murni yang baik, malahan meluaskan pengetahuan teknologi dan fantasi melalui cerpen yang dihasilkan oleh pengarang.

Sesungguhnya, buku ini sesuai dijadikan teks bacaan wajib murid sekolah kerana keunggulannya sudah terbukti berkualiti dan mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif serta di luar kotak.

Kemenangannya dalam HSPM 2013 sewajarnya diberikan pengiktirafan dan diangkat sebagai teks bacaan wajib sekolah rendah bagi melahirkan generasi pelajar yang bijak berfikir dan bijak teknologi yang akhirnya melahirkan generasi pewaris yang mengagumkan. Ibu bapa dan guru boleh segera dapatkan buku ini demi kebaikan masa depan anak-anak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1056720
    Visit Today : 1027
    This Month : 4973
    Total Visit : 1056720
    Hits Today : 5512
    Total Hits : 4338449
    Who's Online : 6
  • Kategori