pro_443_6741F_B5587Judul Buku: Siri Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran: Pembelajaran Aktif

Penulis:         Wan Hasmah Wan Mamat dan Nur Munirah Teoh Abdullah

Penerbit:        Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun:           2015

Pengulas:     ZAIDI ISMAIL

 

Peranan buku Pembelajaran Aktif ini amat sesuai untuk semua golongan pendidik yang ingin mempraktikkan kaedah pembelajaran secara aktif semasa sesi pembelajaran. Buku ini merupakan salah satu judul dalam Siri Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran.

Melalui pembelajaran secara aktif, guru dapat membantu pelajar meningkatkan penguasaan mereka dalam bidang yang dipelajari. Pembelajaran aktif merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Melalui pembelajaran aktif, pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik, seperti main peranan, lakonan, simulasi, dan permainan. Dalam aktiviti ini, pelajar diberi peluang untuk berinteraksi, bekerjasama dalam pasukan dipelajari, malah dapat menyerlahkan lagi bakat dan potensi mengikut kemampuan dan kebolehan pelajar. Sesuatu yang menarik tentang kaedah pembelajaran aktiviti ini ialah guru akan berusaha melaksanakan aktiviti untuk menjadikan pelajar aktif dari awal hingga akhir sesi pembelajaran. Keadaan ini akan menghidupkan dan menceriakan suasana dalam kelas.

Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi lima bab, iaitu Pengenalan, Set Induksi Pembelajaran Aktif, Membentuk Kumpulan Perbincangan, Aktiviti Pembelajaran Aktif, dan Contoh Modul Pembelajaran Aktif. Dalam bab pertama, Pengenalan, diterangkan tentang pembelajaran aktif, kepentingan pembelajaran aktif, ciri pembelajaran aktif dan peranan guru dalam pembelajaran aktif. Pembelajaran aktif ialah pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Pelajar yang banyak memainkan peranan dan aktif semasa proses pembelajaran. Pelajar akan melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh guru. Guru hanya memberikan arahan dan berperanan sebagai pemudah cara.

Guru berkesan ialah guru yang memahami dan menghayati matlamat program pendidikan serta mampu menterjemahkan kandungan kurikulum sesuatu mata pelajaran dengan cara yang menarik dan difahami pelajar. Guru berkesan juga merupakan seorang insan yang mempunyai akauntabiliti terhadap pengajaran dan pencapaian pelajar yang dibimbingnya. Selain itu, guru berkesan juga dapat memahami dan menghayati keperluan kurikulum dan etika perguruan agar mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sepenuh hati untuk mencapai kualiti tinggi.

Dalam bab kedua, Set Induksi Pembelajaran Aktif pula disentuh tentang cara-cara untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan set induksi yang menarik dan aktif. Set induksi adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir guru yang mengabaikan set induksi dengan alasan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Mereka seolah-olah terlupa bahawa set induksi yang menarik dan kreatif mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar untuk terus mengikuti pembelajaran di bilik darjah.

Seterusnya, dalam bab ketiga, Membentuk Kumpulan Perbincangan, diterangkan tentang cara-cara untuk membentuk kumpulan perbincangan, sama ada kumpulan kecil atau kumpulan besar. Unit ini juga menyentuh tentang ciri-ciri pengajaran dalam kumpulan, kepentingan pengajaran berkumpulan dan cara memastikan proses perbincangan pelajar berjalan dengan lancar. Pelajar mudah untuk menguasai sesuatu pembelajaran apabila pelajar itu melakukannya sendiri. Pembelajaran secara berkumpulan sangat penting dan berkesan. Antara kepentingannya adalah seperti yang berikut:

1. membantu guru menghasilkan pelbagai hasil pembelajaran;

2. membantu guru dalam mencapai hasil pembelajaran dalam bidak afektif;

3. merupakan cara terbaik untuk menanam dan memupuk pemikiran kreatif dan kemahiran pemikiran aras tinggi seperti menyelesaikan masalah, membuat sintesis, menilai dan membuat keputusan;

4. membina sikap dan tabiat yang baik dalam kalangan pelajar, seperti berfikiran terbuka dan menghormati orang lain; dan

5. memberikan peluang untuk menjana pelbagai idea, pengalaman, pengetahuan pelajar.

Dalam bab keempat, Aktiviti Pembelajaran Aktif pula, diterangkan tentang pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh guru dalam pembelajaran aktif. Kesemua aktiviti ini menyeronokkan dan bertujuan meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam pembelajaran. Jika diamalkan oleh guru di dalam bilik darjah, aktiviti ini akan meningkatkan keyakinan pelajar untuk terus cemerlang dalam pembelajaran. Beberapa aktiviti berikut dapat digunakan oleh guru untuk menggalakkan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran: kloze, melabel, menyusun mengikut turutan, sumbang saran, soal jawab pantas, kuiz, berhenti untuk memberi penjelasan, fikir-berpasangan-kongsi, kajian kes, main peranan, perbahasan, lakonan, simulasi, permainan dan jigsaw.

Akhir sekali, dalam bab kelima, Contoh Modul Pembelajaran Aktif, diberikan contoh-contoh modul pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa mata pelajaran, seperti Sejarah, Pendidikan Jamani dan kesihatan, Pendidikan Sivik dan Kewaranegaraan, Pendidkan Moral, Bahasa Malaysia, Kemahiran Hidup dan Geografi. Modul-modul yang diberikan merupakan contoh modul asas yang boleh dilaksanakan di dalam atau luar bilik darjah. Guru boleh meyesuaikan formatnya dengan kehendak mata pelajaran yang diajar. Contoh modul tersebut dibina untuk memberikan gambaran tentang cara melaksanakan kaedah pembel;ajaran aktif.

Siri kaedah pengajaran dan pembelajaran aktif ini dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada guru-guru ke arah menjadi guru yang berjaya menyampaikan ilmu pengetahuan secara berkesan kepada pelajar. Dengan memanfaatkan maklumat yang terdapat dalam gabungan kelima-lima bab itu, diharapkan guru-guru dapat membantu pelajar ke arah melahirkan pelajar yang cemerlang dan terbilang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049713
    Visit Today : 558
    This Month : 32312
    Total Visit : 1049713
    Hits Today : 3726
    Total Hits : 4308487
    Who's Online : 12
  • Kategori