Oleh HASSAN ALIAS

BERTEMAKAN “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) merupakan acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung yang matlamatnya adalah untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. Program ini cetusan idea dan inovasi Perdana Menteri dalam upaya memperkasakan bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Datuk Seri Mohd. Najib merasmikan pertandingan akhir pidato.

Datuk Seri Mohd. Najib merasmikan pertandingan akhir pidato.

PABM dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Pertandingan akhir PABM diadakan di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 8.30 malam 25 Mac 2016. Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri. Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Datuk Sri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih kurang 2,800 orang hadirin yang kebanyakannya pelajar universiti awam dan universiti swasta.

Seramai 47 orang peserta dari 34 buah negara mengambil bahagian untuk merebut kejuaraan dalam tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu Kategori Alam Melayu, Kategori Antarabangsa dan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia. Pada peringkat akhir, hanya sembilan peserta yang layak bertanding.

Abdalla Hassan Gharib dari Tanzania, juara Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia sedang berpidato.

Abdalla Hassan Gharib dari Tanzania, juara Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia sedang berpidato.

Bagi Kategori Antarabangsa, peserta dari Jepun, Hatsune Yanai dinobatkan sebagai Juara PABM 2016 dengan memilih tajuk “Keamanan yang Seimbang Kunci Kebahagiaan Manusia” manakala peserta dari China, Wang Jialu Aleeya mendapat gelaran naib johan dan peserta dari Amerika Syarikat, Megan Rose Donelly diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Wakil dari Malaysia, Muhamad Haziq Jamaludin, 23, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara bagi Kategori Alam Melayu menerusi tajuk pidato “Rahsia Keamanan”. Kemenangan itu sekali gus menewaskan rakan senegara, Irfan Mohamad Fairus, 21, yang diumumkan sebagai naib johan dan Muhammad Sa’mae, 19, dari Thailand (tempat ketiga).

Muhamad Haziq Jamaludin, juara Kategori Alam Melayu menerima hadiah daripada Perdana Menteri.

Muhamad Haziq Jamaludin, juara Kategori Alam Melayu menerima hadiah daripada Perdana Menteri.

Abdalla Hassan Gharib, 36, dari Tanzania pula diumumkan juara Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) diikuti oleh Nasear Slayman, 31, dari Kemboja (naib johan) dan Anas Mohamad Husian Kassim, 26, dari Iraq tempat ketiga.

Hatsune Yanai dari Jepun,   pemenang Kategori Antarabangsa.

Hatsune Yanai dari Jepun, pemenang Kategori Antarabangsa.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, Piala Perdana Menteri, piala dan hadiah iringan serta sijil. Naib johan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil) manakala tempat ketiga menerima RM8,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil).

Hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib sambil diiringi oleh tetamu kehormat.

————————-

Klik untuk menonton ucapan Perdana Menteri

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045862
    Visit Today : 758
    This Month : 28461
    Total Visit : 1045862
    Hits Today : 2479
    Total Hits : 4293044
    Who's Online : 14
  • Kategori