Oleh NURDIANA MOHD NOR

MABBIM ialah sebuah badan kebahasaan serantau yang dianggotai oleh tiga buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Asalnya, Majlis ini dinamai Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972, setelah satu Pernyataan Bersama ditandatangani oleh Encik Hussein Onn, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Bapak Mashuri Saleh S. H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta. Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) ditukar menjadi MABBIM, iaitu singkatan kepada Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia apabila Negara Brunei Darussalam ikut serta sebagai anggota tetap Majlis ini pada 4 November 1985. Singapura telah ikut serta dalam Majlis ini sejak tahun 1985 sebagai anggota pemerhati, diikuti dengan Thailand pada tahun 2015.

Sidang Pakar MABBIM.

Sidang Pakar Ke-29 MABBIM.

Pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang ke-55 MABBIM yang berlangsung pada 4 hingga 9 April 2016, di Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Urus Setia melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi merencanakan pengisian yang tersendiri untuk merealisasikan perancangan bersama-sama negara anggota dalam konteks pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu.

Seminar kebahasaan yang berlangsung pada 6 hingga 7 April 2016 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, diangkat sebagai agenda utama Sidang ke-55 MABBIM kali ini, selain daripada Sidang Pakar ke-26 MABBIM (4 hingga 5 April 2016) dan Sidang Eksekutif ke-55 MABBIM (8 hingga 9 April 2016) di sekitar Kuala Lumpur.

Sidang Eksekutif MABBIM.

Sidang Eksekutif Ke-55 MABBIM.

Dengan tema “Pemanfaatan Kearifan Setempat atau Lokal sebagai Citra Bangsa”, Seminar Kebahasaan ini menampilkan 11 hasil kajian merentas negara dibentangkan oleh pakar bidang, sekali gus mempertemukan mereka dalam pelaksanaan penyelidikan, pemupukan, penerbitan dan peristilahan selain daripada pedoman bahasa dan perancangan penyelidikan MABBIM.

Bertepatan dengan tema seminar kali ini, kearifan setempat sememangnya menjadi khazanah yang amat berharga yang seharusnya dipelihara. Maka, sudah menjadi tanggungjawab kita semua memberikan kesedaran tentang peri pentingnya memulihara kearifan setempat yang menjadi lambang tradisi budaya kita.

ASA_6129

Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, wakil Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia.

Perasmian Sidang Ke-55 MABBIM telah berlangsung pada 6 dan 7 April 2016, di Dewan Seminar, Datuk Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Majlis ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang yang terdiri daripada delegasi keempat-empat buah negara, pembentang kertas kerja, wakil pertubuhan dan universiti, pengkaji bahasa dan peminat bahasa dan sastera Melayu.

Dalam majlis tersebut, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas, Ketua Pengarah DBP merangkap Ketua Perwakilan Malaysia. Ketua perwakilan bagi ketiga-tiga buah negara, Indonesia, Brunei dan Singapura turut menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian tersebut.

Seminar kali ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, wakil Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Dalam majlis itu juga, Tan Sri Dr. Madinah turut melancarkan Siri Kamus Istilah MABBIM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perasmian Seminar Kebahasaan sempena Sidang Ke-55 MABBIM.

Perasmian Seminar Kebahasaan sempena Sidang Ke-55 MABBIM.

Majlis penutupan Seminar Kebahasaan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas pada 7 April 2016. Menurut beliau, kertas kerja yang dibentangkan selama dua hari itu telah membuka mata dan minda kita betapa khazanah kearifan lokal ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah oleh kita semua sebagai pemilik khazanah ini. Semakin kita melupakan kearifan ini, tidak mustahil ia akan lenyap, tanpa dapat diwarisi oleh generasi masa akan datang.

Perasmian Siri Kamus.

Perasmian Siri Kamus.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051196
    Visit Today : 509
    This Month : 33795
    Total Visit : 1051196
    Hits Today : 1492
    Total Hits : 4315953
    Who's Online : 14
  • Kategori