buluh3

Judul: Landskap Buluh

Pengarang: Azmy Hj. Mohamed

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM20.00

Tahun: 2015

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

Buku berjudul Landskap Buluh ditulis oleh Azmy Hj. Mohamed, iaitu pensyarah kanan di Jabatan Pengeluaran Hutan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia. Kandungan buku ini secara ringkas berkisar tentang buluh sebagai tanaman landskap.

Pengenalan penulisan buku ini pada asasnya adalah mengenai reka bentuk, pembiakan, penanaman, pengurusan dan pemangkasan buluh sebagai tanaman landskap. Pembaca boleh mengetahui panduan yang berguna dan teknik yang betul berkaitan penanaman pokok buluh sebagai tanaman landskap.

Sebagaimana umum ketahui bahawa tumbuhan buluh bermula dengan rebung. Rebung bagi sesuatu rumpun buluh berasal daripada satu tunas yang wujud di bawah batang yang lama. Rebung terdiri daripada ruas lembut yang pendek dan dilindungi oleh kelopak batang yang keras berlapis serta tumbuh di setiap buku yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Rebung yang keluar dari rumpun buluh boleh tumbuh dengan cepat menjadi batang buluh. Ciri-ciri rebung boleh membantu mengenal pasti sesuatu spesies buluh. Kebanyakan orang Melayu di kawasan luar bandar di Malaysia menanam buluh di persekitaran kawasan rumah untuk mendapatkan rebung yang boleh dijadikan makanan. Rebung boleh dimasak dengan pelbagai cara untuk dimakan bersama-sama dengan nasi.

Buluh mempunyai pelbagai kegunaan namun telah dihadkan hanya untuk membina rumah selain rebungnya yang boleh dijadikan sebagai makanan. Sejak kebelakangan ini, buluh dilihat melalui imej yang lain, iaitu fungsinya sebagai tanaman landskap telah diterima oleh masyarakat.

Dari segi fungsi buluh sebagai tanaman landskap, selain sebagai nilai estetik, buluh juga berperanan sebagai tanaman teduhan yang sangat diperlukan, terutamanya di kawasan bandar disebabkan faktor cuaca tropika yang panas. Tambahan pula dengan adanya rerambut pada bahagian bawah daun-daun buluh, ia mampu mengawal pencemaran bunyi bising yang berpunca daripada bunyi enjin kereta dan asap yang berbahaya.

Pokok buluh boleh dilenturkan dengan menjadikannya sebagai “tanaman renek” melalui beberapa teknik pemangkasan yang mampu membentuk silara buluh mengikut bentuk yang dikehendaki. Disebabkan kelebihan ini, tanaman buluh sangat sesuai ditanam di kawasan sekolah, universiti, kawasan taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi. Selain itu, buluh juga sesuai ditanam di kawasan perumahan.

Banyak kegunaan buluh yang dijelaskan dengan terperinci dalam buku ini. Batang buluh boleh digunakan untuk membuat jambatan, rakit, peralatan dapur, pengadang, dinding beranyam dan hamparan. Buluh juga ditanam di kawasan sawah atau tebing sungai untuk menghalang tiupan angin yang kuat yang boleh merosakkan sawah padi. Penanamannya juga bertujuan untuk dijadikan penstabil tanah bagi mengelak hakisan, terutama semasa hujan lebat. Pembentukan akar buluh yang kuat dan sempurna dapat menahan tanah dengan utuh. Buluh juga dapat membantu mengurangkan pencemaran udara melalui sifatnya yang mempunyai rerambut lebat di bawah daun, yang boleh memerangkap habuk dan menapis gas beracun seperti asap karbon daripada kenderaan.

Kebanyakan buluh jenis tropika boleh dibentuk atau dipotong mengikut pelbagai bentuk. Hal ini ada kebenarannya terutama spesies buluh yang mempunyai dahan dan daun yang sederhana besar atau kecil. Kelebihan buluh yang mempunyai daun kecil atau halus ialah rumpunnya mudah dibentuk. Daun-daunnya juga mudah menutupi kawasan yang telah dipotong mengikut rupa bentuk yang dikehendaki.

Malaysia mempunyai 59 spesies buluh tempatan (asli) dan eksotik daripada beberapa jenis buluh yang terdapat di dunia. Spesies ini termasuklah Bambusa sp. atau buluh belang, buluh botol, buluh minyak atau aur, buluh gading besar atau aur gading atau kuning, buluh galah atau pering atau tilan, dan lain-lain. Pemilihan spesies buluh sebagai bahan landskap sebenarnya bergantung pada pemilihan tapak dan kawasan yang sesuai. Selain itu, pemilihannya juga bergantung pada kegunaan dan fungsi buluh sebagai bahan landskap. Buluh boleh ditanam dan berfungsi sebagai pagar dan pengadang, tanaman teduhan, penanda bagi laluan pejalan kaki, laluan di taman rekreasi dan jalan raya, dan sebagainya.

Buluh boleh dibiakkan melalui biji benih. Biji benih buluh hanya boleh diperoleh setelah rumpun buluh berbunga dan mengeluarkan biji benih yang matang. Setiap spesies buluh mempunyai pusingan pembungaannya sendiri. Terdapat juga jenis buluh yang mempunyai anak tunas pada batang yang boleh digunakan sebagai bahan pembiakan.

Buluh sebagai tanaman landskap hendaklah dijaga untuk mengekalkan bentuk dan warna daunnya supaya sentiasa hijau. Di samping itu, buluh landskap juga memerlukan penjagaan yang teratur bermula daripada peringkat penanaman sehingga peringkat awal pertumbuhan setelah mencapai bentuk tunas yang optimum. Penyiraman sangat penting untuk pokok buluh, terutama jika ia mengunjur ke luar untuk memastikan batang dan daunnya kelihatan cantik. Penyiraman perlu dilakukan kerap kali, jika tidak pokok buluh akan layu dan mati. Untuk mendapatkan pokok buluh yang sihat dan cergas, pembajaan perlu dilakukan. Tujuannya adalah untuk menambah beberapa nutrien yang telah habis selepas digunakan oleh pokok untuk membesar. Jenis baja yang digunakan ialah baja organik seperti baja tahi ayam, PeatGro dan POME serta baja bukan organik.

Biasanya tanaman pokok buluh tidak mempunyai masalah serangan serangga perosak yang serius. Serangan makhluk perosak buluh hanya berlaku dengan kerap di tapak semaian semasa peringkat penanaman awal. Lazimnya serangan serangga perosak berlaku terhadap bahan tanaman buluh dengan menyerang bahagian daun buluh pada peringkat awal pertumbuhan. Antara penyakit daun buluh yang selalu dihadapi ialah perang lesi, tompok-tompok daun, dan penyakit lubang tembak daun.

Walaupun penyakit buluh boleh menyerang kebanyakan spesies buluh yang ada, pokok buluh boleh dielakkan daripada serangan penyakit dengan mengambil langkah-langkah seperti kerap membersihkan kawasan sekeliling rumpun-rumpun buluh yang ada, batang-batang buluh yang telah berumur lebih daripada lima tahun hendaklah ditebang dan dipotong. Selain itu, bagi daun buluh yang telah diserang pada peringkat awal, hendaklah dibuang menggunakan tangan.

Buku ini boleh dijadikan panduan dan amat bermanfaat kepada pengurus taman, golongan usahawan tapak semaian dan peminat tanaman buluh dalam usaha menambah dan mewarnai landskap di beberapa kawasan yang ada di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050466
    Visit Today : 1311
    This Month : 33065
    Total Visit : 1050466
    Hits Today : 7694
    Total Hits : 4312455
    Who's Online : 3
  • Kategori