Oleh NORZUZILAWATI SULAIMAN

Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama International Baccalaureate (IB) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menganjurkan Bicara Sastera ke-3 pada 12 Februari 2016. Program Bicara Sastera kali ini mengundang Sasterawan Negara (SN) ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan bersama-sama Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Profesor Dr. Hatta Azad Khan. Program sehari ini dihadiri kira-kira 40 orang pelajar diploma IB yang diadakan di Hall Of Fame, Kompleks Sultan Azlan Shah, IB MCKK.

SN Zurinah Hassan  membincangkan proses penulisan dan kritikan puisi.

SN Zurinah Hassan membincangkan proses penulisan dan kritikan puisi.

Sesi pertama program ini berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. SN Zurinah Hassan memulakan acara dengan membincangkan proses penulisan dan kritikan puisi. Menurut Zurinah, kesusasteraan merujuk segala pengucapan yang indah-indah, sama ada tertulis atau tidak. Melalui kesusasteraan, manusia menyampaikan buah fikiran dan meluahkan perasaan dengan menggunakan bahasa. Keindahan bahasa dan ketinggian buah fikiran mencerminkan ketinggian budaya sesuatu masyarakat. Melalui puisi seperi pantun, syair, gurindam dan teromba, masyarakat Melayu boleh menyatakan pemikiran dan perasaan tentang sesuatu aspek kehidupan.

Yang menariknya, Zurinah turut mendendangkan rangkap syair, gurindam, dan nazam bagi membezakan melodi dan bentuk puisi Melayu yang indah. Selain itu, lagu Burung Kenek-kenek sama-sama dinyanyikan oleh pelajar IB. Program Bicara Sastera kali ini begitu meriah dengan alunan suara merdu SN Zurinah. Para pelajar memperoleh pengetahuan baharu hasil pertemuan empat mata dengan SN.Program kerjasama ini dilihat berjaya memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mengenali puisi yang merangkumi sajak, syair, pantun, gurindam dan teromba. Program bersama-sama Zurinah berakhir dengan sesi dialog yang memberikan peluang kepada pelajar untuk bertanya dan berkongsi ilmu kesusasteraan dengan SN.

Profesor Hatta Azad Khan, Rektor ASWARA.

Profesor Hatta Azad Khan, Rektor ASWARA.

Sementara itu, sesi Hatta berlangsung dari pukul 3.00 petang hingga 6.00 petang. Dalam sesi ini, pelajar berpeluang berdialog tentang drama Patung-patung yang dihasilkan oleh Hatta. Teks drama Patung-patung menjadi teks kajian pelajar IB pada semester ini. Bagi menjawab soalan pelajar tentang sebuah teater yang baik, Hatta menekankan skrip yang baik akan menghasilkan teater, drama dan filem yang baik. Menurut Hatta lagi, drama yang baik mestilah mencuit hati, menyentuh atau “menggigit” perasaan penonton yang menyaksikannya.

Beliau mengambil contoh filem The Journey dan Ola-bola sebagai filem terbaik Malaysia kerana skrip menggambarkan realiti sesebuah negara dan bangsanya. Sungguhpun filem tersebut dihasilkan oleh anak muda, filem yang baik bukan dinilai berdasarkan faktor usia atau pengalaman. Sebaliknya, cerita yang baik dihasilkan melalui skrip yang baik dan dapat menceritakan kisah yang benar, mencuit hati penonton, dan memberikan kepuasan serta membina pemikiran penonton yang menontonnya. Jika tidak berjaya mencuit dan menyentuh perasaan penonton, cerita itu tidak berjaya sebenarnya.

Objektif utama Bicara Sastera ini diadakan bertujuan memasyarakatkan sastera kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh dan memperkenalkan majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta kepada pelajar sekolah elit. Sungguhpun skop program IB digubal berdasarkan kurikulum antarabangsa yang telah digubal di Cardiff, mata pelajaran sastera wajib dipelajari sebagai persediaan menyambung pengajian peringkat ijazah pertama di luar negara. Matlamat DBP merakyatkan sastera di sekolah elit berjaya direalisasikan apabila penganjuran program sastera bersama-sama pelajar beraliran sains direalisasikan buat kali ketiga pada tahun ini.

Encik Anand Baharudin Pengetua MCKK ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Encik Anand Baharudin Pengetua MCKK ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Kerjasama ini mula diadakan pada tahun 2013 dan 2014 serta mendapat reaksi positif daripada semua pelajar IB dan pengurusan MCKK. Pengetua MCKK, Anand Baharudin, memberikan sokongan padu kepada pembelajaran sastera di IB MCKK. Anand turut merasmikan program Bicara Sastera pada tahun ini.

Program Bicara Sastera ini mendapat sambutan hangat dan luar biasa daripada pelajar IB sejak pertama kali diadakan. Mereka mempelajari sastera bukan untuk lulus peperiksaan, sebaliknya mengkaji pemikiran sasterawan melalui karya sastera mereka. Pelajar IB begitu teruja dapat bertemu empat mata dengan SN Zurinah Hassan dan tokoh teater Hatta Azad Khan yang sangat dikagumi. Banyak ilmu kesusasteraan yang diperoleh daripada tokoh sastera negara dan dapat digunakan dalam pelajaran dan kehidupan.

Peserta bergambar kenangan bersama-sama penceramah, guru dan staf DBP.

Peserta bergambar kenangan bersama-sama penceramah, guru dan staf DBP.

Turut hadir editor kanan Bahagian Majalah, Armin Azhari Saleh, dan penolong editor Dewan Kosmik, Siti Noorisa Abdul Khlil.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046191
    Visit Today : 1087
    This Month : 28790
    Total Visit : 1046191
    Hits Today : 3568
    Total Hits : 4294133
    Who's Online : 2
  • Kategori