BUKU EKONOMI POLITIK ISLAM

Tajuk Buku: Ekonomi Politik Islam

Penulis: Mohd Syakir Mohd Rosli

Harga: RM30.00

Tahun Terbit: 2014

Pengulas: NURHANAN ILHAMI SULAIMAN

Ekonomi Politik Islam merangkumi tiga bidang utama iaitu ekonomi, politik dan sosial. Ketiga-tiga bidang ini disatukan menjadi satu bidang baharu kerana tiga bidang tersebut saling berkait antara satu sama lain. Hal ini terjadi kerana wujud jurang yang besar apabila ekonomi dan politik dipisahkan. Setelah wujudnya persaingan antara pengamal ekonomi dan politik, maka penggabungan dua bidang ini berjaya mewujudkan semula keharmonian antara semua ahli ekonomi dengan ahli politik.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan buku Ekonomi Politik Islam: Teori dan Falsafah oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi bertujuan memberikan pendedahan secara ilmiah kepada penggiat ekonomi dan politik agar dapat memahami konsep penggabungan ini secara lebih mendalam. Penerbitan buku ini lahir daripada Perjanjian Persefahaman antara Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDV), Universiti Sains Malaysia dengan DBP. Hasil usaha dan kerjasama tanpa jemu maka buku ini berjaya diterbitkan dan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kebaikan ekonomi politik Islam apabila digabungkan bersama-sama.

Sementara itu, perbincangan tentang kekuatan dan keharusan pelaksanaan ekonomi politik Islam perlu dilihat menerusi panduan yang utama iaitu al-Quran dan hadis. Hal ini disebabkan oleh bidang ekonomi politik Islam telah menjadikan al-Quran dan hadis sebagai dasar utama pelaksanaannya. Tambahan pula, pembentukan ekonomi politik Islam berasal daripada kefahaman terhadap ajaran al-Quran dan hadis. Hal ini selaras dengan Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli-amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah an-Nisa 4:59)

Secara ringkasnya, politik ekonomi didefinisikan sebagai campur tangan pemerintah secara aktif dalam kehidupan ekonomi. Politik pula merupakan satu bahagian daripada ekonomi yang menguruskannya. Tanpa politik tidak akan timbul ekonomi. Hal ini dapat dirumuskan bahawa konsep ekonomi politik adalah dengan menganalisis ekonomi dan politik agar interaksi antara ekonomi dengan pemerintah dalam memastikan kekayaan negara dapat dipertingkatkan sebagai syarat mematuhi kehendak sosial.

Oleh hal yang demikian, pembangunan sosioekonomi dihuraikan secara jelas dalam al-Quran dan dibahagikan kepada empat perkara, iaitu yang pertama, ajaran al-Quran mendorong pembangunan sosioekonomi. Al-Quran jelas mendorong produktiviti masyarakat dalam bidang pertanian, perindustrian dan perniagaan. Hal ini bertujuan supaya pengeluaran mampu ditingkatkan demi memenuhi keperluan kehidupan. Allah SWT memuliakan manusia kerana mereka dikurniakan akal yang dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti yang dapat disumbangkan kepada kemaslahatan ummah. Kemaslahatan tidak akan dipelihara dan diberikan melainkan dengan pematuhan nilai-nilai akhlak sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Yang kedua, Islam memberikan kebebasan kepada manusia untuk memiliki dan menikmati harta. Kurniaan kebebasan ini bagi memenuhi kehendak dan keperluan mereka dan pada masa yang sama, kebebasan tersebut perlu dipastikan agar tidak disalahgunakan sehingga bertindak menikmati harta secara boros dan membazir. Hal ini akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan pengurusan kesaksamaan harta. Sayidina Ali k.w mengatakan bahawa, “Sekiranya kita mempunyai ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita mempunyai harta, kita yang perlu menjaga harta.”

Ketiga, Islam sentiasa memelihara kesejahteraan sosial yang terbahagi kepada rohani dan jasmani. Melalui rohani, Islam menekankan umatnya supaya menitikberatkan soal pendidikan atau keilmuan. Melalui ilmu dapat meningkatkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh hal yang demikian, ilmu ekonomi dan politik Islam tidak akan ditemui dan dikuasai sekiranya ilmu yang dimiliki kini amat cetek. Oleh itu, pemahaman dan kajian terhadap bidang ekonomi dan politik Islam daripada aspek konsep dan falsafahnya perlu difahami dengan lebih mendalam. Dalam hubungan ini, umat Islamlah yang bertanggungjawab membuktikan kelebihan dan manfaat yang diperoleh sekiranya sistem ekonomi politik Islam diamalkan dalam kehidupan. Umat Islam perlu memiliki keyakinan yang teguh terhadap sistem tersebut, barulah mereka yang bukan Islam percaya dan mengamalkan sistem Islam.

Yang menariknya, sistem ekonomi politik Islam sangat menitik berat penjagaan akal. Hal ini bermaksud bahawa akal perlu disuburkan dengan ilmu dan dielakkan daripada sebarang bentuk perbuatan yang merosakkannya. Merujuk kepada situasi di Malaysia, Malaysia Psychiatric Association bahawa tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini mengalami gangguan mental. Sistem ekonomi politik Islam memberikan tumpuan berat terhadap kebajikan dan keadilan dengan tidak mengira bangsa, agama mahupun budaya. Aspek sosioekonomi dan sosiopolitik semasa sentiasa terpelihara.

Sehubungan dengan itu, ekonomi politik Islam merangkumi ciri-ciri dan pelaksanaan berpandukan al-Quran dan hadis. Pelaksanaan ini bertujuan memperkasakan perpaduan ummah. Ekonomi politik Islam dilaksanakan berdasarkan konsep pengislahan ummah yang bermatlamatkan mardhatillah untuk memperoleh al-falah iaitu kejayaan dunia dan akhirat.

Demikian merupakan Rangka Ekonomi Politik Islam yang disarankan oleh pengkaji iaitu yang pertama, panduan al-Quran dan hadis menjadi asas utama rujukan bagi bidang ini. Perkara ini merupakan sebahagian daripada kaedah penyelidikan Islam. Hal ini penting bagi memastikan hasil kajian ini tidak terkeluar daripada batasan syariah Islam.

Yang kedua, ekonomi politik Islam merupakan gabungan tiga maksud falsafah, iaitu falsafah sosiologi Islam, ekonomi Islam, dan politik Islam. Oleh itu, bidang ini merupakan pengkajian yang lebih komprehensif dan holistik serta menzahirkan kajian yang lebih mendalam yang merangkumi falsafah ekonomi, politik dan sosial. Manakala yang ketiga, iaitu ciri-ciri dan pelaksanaan ekonomi politik Islam merupakan hasil penelitian terhadap beberapa karya yang berkaitan. Hal ini penting bagi membezakan antara ekonomi politik konvensional dengan ekonomi politik Islam. Perbezaan yang ketara dapat dilihat pada ciri-cirinya.

Seterusnya yang keempat, konsep pengislahan ummah merupakan pembaharuan dan perubahan masyarakat yang dilihat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Perubahan tersebut adalah dalam lingkungan syariah Islam yang bermatlamat untuk mencapai mardhatillah.

Lantaran itu, perubahan pendekatan pembangunan negara ke arah membentuk ekonomi politik Islam dapat dilakukan sekiranya ada iltizam, keyakinan dan kesabaran yang tinggi. Hal ini akan mendorong kita melaksanakan pelbagai perancangan dengan sebaik-baiknya. Perubahan pendekatan pembangunan negara tidak boleh berlaku dalam tempoh yang singkat sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Kaedah ini diambil contoh seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kaedah berperingkat dilakukan melalui dakwah yang berterusan kepada masyarakatnya, begitu juga al-Quran diturunkan secara berperingkat. Hal ini memerlukan proses bimbingan pada setiap peringkat.

Oleh hal yang demikian, pelbagai strategi dibina sebagai persediaan berhadapan dengan pelbagai penentangan. Kekuatan ekonomi Islam seperti zakat, wakaf, sedekah merupakan salah saru strategi untuk menguatkan ekonomi umat Islam supaya meyakinkan masyarakat tentang pelaksanaan ekonomi politik Islam.

Seterusnya, buku ini ditulis dengan menggunakan pendekatan dan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan, termasuklah golongan berpendidikan, ilmuwan, para pelajar dan masyarakat umum. Hal ini dikatakan demikian kerana buku ini diterbitkan untuk memudahkan khalayak pembaca memahami peringkat awal tentang bidang ekonomi politik Islam. Sesungguhnya, perselisihan banyak berlaku dalam kalangan ahli ekonomi dan politik dalam merencanakan sesuatu strategi, namun perselisihan tersebut tidak kelihatan cuba dirungkaikan dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis. Oleh itu, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, seperti masalah sosial serta keruntuhan akhlak kelihatan sukar diatasi. Namun begitu, al-Quran dan hadis dapat merungkaikan pelbagai permasalahan sama ada ekonomi politik dan masalah sosial kerana Allah SWT menurunkan rahmat dan keberkatan-Nya melalui al-Quran dan hadis. Sekiranya pengamal ekonomi dan politik berpandukan al-Quran dan hadis dalam melaksanakan tugas-tugas mereka, sesungguhnya Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik menurut syariat Islam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047192
    Visit Today : 808
    This Month : 29791
    Total Visit : 1047192
    Hits Today : 1996
    Total Hits : 4296798
    Who's Online : 6
  • Kategori