cover1

Judul: Pelan Pemakanan Seimbang

Pengarang: Umi Kalsum Hussain Zaki

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM22.00

Tahun: 2015

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

Buku berjudul Pelan Pemakanan Seimbang ditulis oleh Umi Kalsum Hussain Zaki, iaitu Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI). Kandungan buku ini secara ringkas berkisar tentang kepentingan makanan yang seimbang kepada kesihatan tubuh manusia.

Makanan merupakan salah satu keperluan asas yang diperlukan oleh setiap benda hidup bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan. Makanan terdiri daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan dan mengandungi nutrien yang diperlukan oleh tubuh seperti karbohidrat, lemak, protein, vitamin dan mineral. Bahan ini dihadam dan diserap oleh badan untuk menghasilkan tenaga, mengekalkan kesihatan dan merangsang pertumbuhan.

Pemakanan pula ditakrifkan sebagai proses yang melibatkan pengambilan nutrien untuk kegunaan tisu badan. Pemakanan membantu proses pertumbuhan, pemulihan dan pengawalan kesihatan serta penyakit. Pemakanan bermula daripada proses pengambilan makanan, penghadaman, penyerapan, pengangkutan, metabolisme, interaksi, penyimpanan sehingga proses akhir, iaitu perkumuhan dan pembuangan sisa. Kebanyakan masalah kesihatan dapat diatasi melalui amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Terdapat tujuh komponen penting dalam makanan yang merupakan asas pemakanan. Komponen tersebut terdiri daripada protein, lemak, karbohidrat, air, vitamin, mineral dan serat.

Protein merupakan sebatian organik yang kompleks. Struktur asas protein terdiri daripada rantaian asid amino yang mengandungi unsur karbon, hidrogen, oksigen dan nitrogen. Kehadiran unsur nitrogen membezakan protein daripada karbohidrat dan lemak. Fungsi protein termasuklah untuk tumbesaran dan penyelenggaraan binaan tisu badan, menjalankan fungsi fisiologi yang khusus dan menyumbangkan tenaga (tenaga tersedia).

Lemak atau asid lemak dikenali juga sebagai lipid. Terdapat dua jenis asid lemak, iaitu asid lemak perlu dan asid lemak tak perlu. Asid lemak perlu merupakan asid lemak yang ketiadaannya akan menyebabkan penyakit kurang zat dan sekiranya tubuh tidak boleh membuatnya, perlu diperoleh daripada makanan. Lemak sangat penting dalam makanan dan juga penting untuk tubuh badan. Lemak mempunyai fungsi dalam makanan, iaitu memberikan aroma dan rasa pada makanan, dan memberikan rasa kenyang kerana sifatnya yang lambat dihadam. Lemak membantu menjadikan makanan lebih lembut. Lemak juga merupakan pembawa vitamin larut lemak, iaitu vitamin A, D, E dan K.

Karbohidrat merupakan komponen makanan yang mengandungi unsur karbon, hidrogen dan oksigen dalam nisbah yang sama. Karbohidrat diklasifikasikan mengikut bilangan gula atau sakarida, iaitu unit yang membentuk strukturnya. Fungsi utama karbohidrat adalah untuk membekalkan tenaga kepada tubuh, terutamanya otak dan sistem saraf. Selain fungsi umum sebagai sumber utama membekalkan tenaga, karbohidrat juga mempunyai fungsi khas dalam kebanyakan tisu tubuh.

Vitamin merupakan sebatian penting yang diperlukan dalam jumlah yang sangat sedikit. Vitamin bertindak dalam menjalankan fungsi metabolisme tertentu atau bagi pencegahan penyakit kekurangan zat yang berkaitan. Terdapat dua kategori vitamin iaitu larut air dan larut lemak. Vitamin larut air ialah vitamin B dan vitamin C, manakala vitamin larut lemak ialah vitamin A, D, E dan K.

Mineral merupakan unsur tak organik yang tersebar luas di alam. Mineral boleh dibahagikan kepada dua, iaitu makromineral dan mikromineral (unsur surih).

Air pula merupakan komponen yang penting bagi semua benda hidup. Air merupakan komponen tunggal yang paling banyak dalam badan. Air berperanan sebagai pelarut zat makanan atau nutrien dalam darah, dan sebagai pemangkin dalam kebanyakan tindak balas biologi dalam sel, perut dan usus semasa penghadaman makanan berlaku. Air juga bertindak sebagai pelincir dalam cecair sinovial yang terdapat pada sendi dan sebagai pengawal suhu badan.

Serat pula merupakan kumpulan karbohidrat yang mempunyai sepuluh atau lebih monomer. Serat tidak dapat dihadam dan diserap dalam usus kecil manusia. Terdapat dua jenis serat, iaitu serat larut dan serat tak larut. Sumber makanan yang kaya serat termasuklah oat, bijirin, bahagian tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan seperti kulit, biji, daun dan akar, kekacang, kacang soya, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Tubuh badan memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk mengekalkan kesihatan. Pemakanan seimbang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan tubuh melalui pengambilan makanan yang sihat termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran dan daging. Pengambilan makanan yang seimbang merupakan penyelesaian yang berkesan bagi penurunan berat badan. Seseorang individu dapat menurunkan berat badan dalam beberapa minggu jika mengikut pelan pemakanan yang betul.

Amalan pemakanan yang seimbang dapat menurunkan berat badan tanpa berlapar, serta dapat menghalang atau melawan penyakit secara berkesan. Kebanyakan penyakit berpunca daripada makanan yang tidak seimbang dan tidak berkhasiat yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit atau bawaan penyakit, obesiti, kanser, penyakit kardiovaskular dan hipertensi, diabetes, dan osteoporosis. Keadaan ini berlaku berikutan pengambilan makanan yang tinggi lemak dan kalori, kekurangan nutrien yang diperlukan untuk sistem imun, dan kandungan bahan kimia serta lemak dalam makanan terproses.

Selain itu, pemakanan seimbang juga dapat meningkatkan paras tenaga. Pengambilan sayur-sayuran, protein tanpa lemak serta bijirin penuh dapat memberi tenaga untuk menjadikan seseorang individu lebih produktif setiap hari. Makanan tanpa proses adalah lebih baik daripada makanan terproses kerana nutrien dalam makanan tersebut tidak termusnah. Di samping itu, seseorang juga akan kelihatan lebih muda dan bertenaga. Makanan yang seimbang dan berkhasiat membantu pertumbuhan sel dengan baik dan membuang toksin serta radikal bebas yang tidak baik dalam badan. Dengan ini, kulit akan berseri secara semula jadi.

Buku yang bersifat separa ilmiah ini ditulis bertujuan untuk memberikan rujukan kepada para pelajar bidang sains makanan dan pemakanan, penyelidik dalam bidnag pemakanan dan makanan, tenaga pengajar, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelbagai lapisan masyarakat sebagai rujukan atau bacaan umum. Buku ini juga ditulis untuk memudahkan pembaca mengenal dan menghayati ilmu mengenai asas pemakanan, cara dan amalan pemakanan yang seimbang dan sihat, kaedah merancang diet yang seimbang, pemakanan bagi pengurusan berat badan dan kuasa pengguna dalam pemilihan makanan yang berkhasiat melalui pelabelan makanan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046852
    Visit Today : 468
    This Month : 29451
    Total Visit : 1046852
    Hits Today : 1052
    Total Hits : 4295854
    Who's Online : 16
  • Kategori