Pengulas NORSUHAILA IBRAHIM

 antartika

Judul              :                       Badai Antartika

Pengarang    :                       Mohd Kasim Mahmud

Penerbit         :                       Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga            :                       RM 15.00

Tahun Terbit:                       2015

BADAI ANTARTIKA merupakan sebuah novel hasil karya Mohd Kasim Mahmud. Novel ini secara keseluruhannya mengisahkan tentang penjelajahan Dr. Yana ke benua yang disaluti air batu yang penuh cabaran dan dugaan semata-mata untuk mencapai impian peribadinya.Dalam perjalanan, Dr. Yana bertemu dengan seorang lelaki asing bernama Santiago yang banyak membantu dan menyelamatkannya daripada penjenayah.

Pengenalan cerita ini berkisar tentang saat perkenalannya dengan Santiago sewaktu berada dalam pesawat kargo. Langkah pertama Dr. Yana ke dalam pesawat tersebut telah disambut oleh suatu dendangan lagu oleh seorang pemuda bermata biru yang tidak dikenali.

Gadis Timur yang ayu dan cantik

Bermata bulat kehitaman

Menyerahkan diri di hamparan putih

Yang teramat dingin dan penuh misteri.

Apakah yang diburu

Selain hanya membuang waktu

Kesepian tak pernah menyimpan

Walaupun sekelumit rasa ihsan

Hamparan putih tak pernah tahu

Erti rindu

Kembalilah ke tanah asal yang setia

Hidup ini usah disia-siakan!

Suara lelaki yang mengalunkan lagu itu sebentar tadi ternyata memukaunya. Dr. Yana amat yakin bahawa lagu itu ditujukan untuknya. Siapakah lagi gadis dari Timur yang sedang berada di dalam pesawat itu, kecuali dirinya? Selebihnya, kesemua lapan orang penumpang lain dan juruterbang serta pembantunya itu merupakan orang Eropah atau barangkali ada yang berasal dari Amerika Syarikat. Yang lebih pasti lagi, kesemuanya adalah lelaki. Tiba-tiba Santiago mengejutkan Dr Yana dari lamunannya dengan memperkenalkan dirinya yang berasal dari Argentina. Perasaan Dr Yana dihambat keanehan. Buat sekian kali, lelaki bertubuh kurus melidi dan mengenalkan namanya sebagai Santiago itu seolah-olah dapat membaca lembaran fikirannya.

Tiba-tiba alunan lagu yang sama oleh lelaki bermata biru kedengaran lagi seolah-olah mengejek dan mempermainkan perasaan Dr. Yana. Santiago menyergah lelaki tersebut supaya menghentikan nyanyian itu kerana beliau tahu bahawa Dr. Yana agak tersinggung dengan nyanyian tersebut. Sergahan Santiago telah menimbulkan kemarahan lelaki bermata biru itu. Akibatnya, berlaku pergaduhan besar dan tumbuk-menumbuk antara kedua-dua lelaki tersebut di dalam pesawat itu. Suasana menjadi semakin gempar. Semua penumpang berdiri untuk melihat peristiwa itu. Namun, tiada sesiapa yang mahu campur tangan. Dr. Yana menjadi serba salah kerana pertelingkahan itu disebabkan oleh dirinya. Seorang lelaki telah mengusiknya dengan cara melakukan provokasi yang melampau, manakala seorang lagi lelaki berusaha membela dirinya atas dasar keprihatinannya yang tinggi.

“Hentikan!” Gadis Asia itu berteriak lebih kuat apabila dia melihat tubuh Santiago semakin tidak bermaya. Anehnya, lelaki itu tidakmahu mengalah. Dia masih mengerah sisa kudrat untuk menentang lawannya yang ternyata lebih bertenaga.

Teriakan dan permintaan gadis Asia itu tetap tidak bersambut. Kali ini wajahnya bukan sahaja tidak dipandang, tetapi ada penumpang yang mentertawakannya. Masing-masing begitu asyik menyaksikan pertarungan itu seolah-olah sedang menonton adegan pergaduhan di layar perak atau di kaca televisyen. Pergaduhan itu akhirnya menyaksikan kematian Santiago, lelaki yang cuba menyelamatkan Dr Yana demi mempertahankan maruah Dr Yana.

Dr Yana begitu sedih dengan kejadian itu tetapi tetap gigih meneruskan ekspedisinya walaupun menerima ugutan bunuh daripada penjenayah. Akhirnya Dr. Yana menjejakkan kaki di benua yang disaluti air batu dengan suhu yang penuh kedinginan pada aras -35 darjah Celsius. Kedinginan yang mencengkam seluruh urat, daging dan tulang-temulangnya. Dr. Yana tetap tidak menghiraukan kesejukan yang melampau yang terasa bagaikan ribuan duri halus, tetapi teramat tajam yang mencucuk-cucuk setiap inci tubuhnya. Tusukan “duri yang halus tetapi teramat tajam itu” bagaikan telah berjaya menembusi tulang-temulangnya, lalu bermaharajalela di segenap rongga tulang sum-sumnya. Dr. Yana berusaha melawan kelesuan yang amat menyeksanya itu. Kelesuan yang hadir itu sebahagian besarnya disebabkan oleh penerbangan masuk ke Antartika dengan menaiki pesawat kargo dari Punta Arenas di Argentina ke Base Camp Patriot Hills itu. Tempat duduk di dalam pesawat itu bukan sahaja amat tidak selesa, tetapi juga menyakitkan otot belakang dan punggungnya. Seluruh anggotanya terasa sakit. Lebih daripada itu, penerbangan itu dicemari pula dengan tragedi pergaduhan yang terpaksa disaksikan di hadapan matanya sendiri.

Pita lamunan Dr. Yana yang panjang lebar itu tiba-tiba terpancung sewaktu liang pendengarannya menangkap bunyi bumbung khemahnya yang berbentuk piramid itu ditepuk dengan kuatnya dari arah luar. Tepukan yang semakin kuat dan berulang-ulang itu dari arah hadapan pintu itu membuatkan hatinya dilanda perasaan cemas yang teramat. Sebaik sahaja pintu khemah terkuak, lima wajah yang dibaluti serungkup berwarna kelabu menjengukkan kepala ke dalam ruang khemah. Akhirnya kerisauan Dr. Yana sedikit lega kerana mereka menyatakan tujuan mereka berlima berada di situ ialah untuk merasakan pengalaman yang amat luar biasa walaupun amat berbahaya.

Namun, cabaran seterusnya yang Dr. Yana terpaksa hadapi ialah ribut salji yang melanda di kawasan perkhemahannya itu. Landaan ribut salji yang begitu kencang menyebabkan Dr. Yana rebah tertiarap. Dalam keadaan antara sedar dengan tidak, Dr. Yana telah dibantu oleh seorang lelaki yang mencempungnya dalam rempuhan ribut salji yang begitu kuat. Setelah itu, dia tidak mampu mengingati apa-apa lagi. Dr. Yana hanya tersedar sewaktu pagi merebut gilirannya menggantikan usia malam yang telah semakin menipis. Dr. Yana terus meluaskan bukaan matanya. Dia diserang keanehan yang teramat. Betapa tidak, dirinya kini sedang berada di dalam rumah ais yang agak luas. Dalam keadaan separuh sedar itu Dr. Yana melihat seorang lelaki berdiri di hadapannya. “Ah, mustahil!” Dr. Yana kembali menampar kedua-dua pipinya seperti tidak percaya apa yang dilihat di depan matanya kini. “Santiago?” getus hati Dr Yana. Lelaki yang dilihatnya saling tidak tumpah menyerupai Santiago itu tidak memberikan sebarang reaksi. Dr. Yana memberanikan diri bertanya lelaki itu….“Bukankah saudara telah mati?” “Saudarakah yang telah menyelamatkan saya daripada rahang maut untuk kali kedua?” Maksud saya menyelamatkan nyawa saya pada malam tadi?” Namun aneh, lelaki itu yang menyerupai Santiago tetap membisu seribu bahasa. Lontaran Dr. Yana yang bertali arus itu tidak dipedulikan langsung oleh lelaki itu. Beberapa detik kemudian, dia berpusing serta-merta lalu mengatur langkah tanpa menoleh. Dr. Yana cuba mengejar dengan pantas, namun langkah lelaki aneh itu lebih pantas lagi. Dr. Yana terpinga-pinga.

Namun begitu, Dr. Yana diuji sekali lagi apabila berlaku ribut salji kali kedua. Di bawah runtuhan salji itu, Dr. Yana diselamatkan oleh Dr. Yaqin, rakan Dr. Yana sewaktu di Malaysia. Dr. Yaqin mengambil keputusan untuk datang mencari Dr. Yana di Antartika kerana sejak terputus hubungan seluruh negara gempar, Dr. Yana begitu gembira dapat bertemu Dr. Yaqin. Namun wajahnya tiba-tiba diselaputi mendung tatkala lembaran fikirannya mengimbas wajah Santiago.

Dr. Yaqin menjelaskan bahawa Santiago sebenarnya telah meninggal dunia semasa dalam penerbangan masuk ke Antartika kerana dibelasah. Dr. Yana tersentak. Dia benar-benar terkejut dengan berita kesahihan kematian Santiago itu. Misterinya apabila lelaki yang membantunya beberapa kali selepas kematiannya itulah juga Santiago. Semua kejadian aneh tersebut menjadi tanda-tanya dalam diri Dr. Yana. “Oh, Antartika, benua paling selatan yang bukan sahaja dingin dan sepi, tetapi juga penuh misteri!” Bisik Dr. Yana.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048998
    Visit Today : 1316
    This Month : 31597
    Total Visit : 1048998
    Hits Today : 4572
    Total Hits : 4303618
    Who's Online : 17
  • Kategori