Pengulas SOFIA HUMAIRA’

dunia belum kiamat (1)

Tajuk Buku      :        “Dunia Belum Kiamat”

Penulis             :        Hatta Azad Khan

Terbitan           :        Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre               :        Sastera

Halaman          :        350 halaman

KUMPULAN drama Dunia Belum Kiamat menghimpunkan lima buah drama pentas Hatta Azad Khan yang dihasilkan pada dekad 1970-an dan 1980-an. Sebahagian daripada drama-drama tersebut telah diterbitkan secara eceran dan telah dipentaskan. Drama-drama tersebut berjudul “Awang”, “Anak Korporat”, “Dunia Belum Kiamat”, “Cermin Tipu Daya”, dan “Puteri Gunung Ledang”.

Drama “Awang” hadir dengan tiga cerita dan tiga konflik berbeza yang terikat pada kehidupan protagonisnya iaitu Awang. Konflik pertama muncul antara Awang dengan bapa saudaranya iaitu Pak Ngah yang tidak dapat menerima hakikat kegagalan Awang mendapatkan pekerjaan dan kehidupan yang selesa setelah tamat pengajian di universiti. Ini menyebabkan Awang dipandang rendah dan sering disindir oleh Ayah Ngah. Awang mempertahankan keadaan dirinya dengan alasan situasi ekonomi dan sistem dunia pekerjaan semasa yang menyukarkan lulusan universiti mendapatkan pekerjaan secara mudah dan cepat seperti yang dibayangkan masyarakat desa. Oleh itu, kegagalan lulusan universiti mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian dianggap sebagai satu perkara yang memalukan dan membebankan keluarga. Sehubungan itu, dalam konteks drama ini, Hatta berhasrat menyedarkan khalayaknya tentang cabaran semasa yang perlu dilalui lepasan universiti, antaranya ialah persaingan sengit antara lulusan universiti sendiri untuk mendapatkan tempat yang terhad bagi pekerjaan yang dicita-citakan. Oleh itu, kefahaman masyarakat terhadap isu dan masalah ini diharapkan dapat membantu meningkatkan motivasi lulusan universiti yang berhadapan dengan masalah seperti yang dialami Awang.

Seterusnya, drama ini menghadirkan konflik antara watak Awang sebagai lulusan universiti dalam bidang teater dengan penggiat-penggiat teater konvensional dekad 1970-an yang tidak mempunyai latar pendidikan seni dan sastera secara formal. Ini menyebabkan usaha dan pembaharuan yang diketengahkan Awang ditentang segelintir pihak seperti watak Kassim. Secara tidak langsung, konflik ini merakamkan situasi yang dihadapi Hatta ketika mula menceburkan diri dalam bidang teater seperti yang digambarkan pada bahagian Pengenalan kumpulan drama ini. Konflik ketiga melibatkan watak Awang dengan watak Pak Tua. Ini merujuk kepada pertentangan prinsip tentang keadilan dan kejujuran. Bagi Awang, perbuatan Pak Tua membela Datuk Nahar, iaitu ahli politik korup sebagai tanda terima kasih atas sumbangan kecilnya kepada penduduk kampung setinggan adalah tidak wajar.

Drama “Cermin Tipu Daya” mengisahkan kehidupan masyarakat miskin dan melarat. Protagonisnya iaitu Bujang Selamat sanggup meninggalkan isteri iaitu Cik Ara yang sedang mengandung untuk menyertai perlumbaan “Mencari Pintu Syurga” anjuran Nenek Kebayan. Bujang Selamat berjaya mendapat hadiah utama berupa sebuah cermin yang diberi nama “cermin tipu daya”. Pantulan imej daripada ‘”cermin tipu daya” telah mempesonakan Bujang Selamat. Melalui “cermin tipu daya”, Bujang Selamat mengagumi rupa dan parasnya yang bergaya dan kacak. Lebih menggembirakan Bujang Selamat ialah kehadiran watak Bulan iaitu gadis cantik yang dilihat berdiri di sisinya dalam “cermin tipu daya”. Cik Ara berusaha menyedarkan suaminya bahawa segala yang dilihat dari pantulan “cermin tipu daya” adalah palsu. Kenyataan ini sukar untuk diterima oleh Bujang Selamat. Ini mencetuskan konflik antara Cik Ara dengan Bujang Selamat dan antara Bujang Selamat dengan dirinya sendiri.

Bujang Selamat memilih untuk mempercayai gambaran indah yang dilihat dari “cermin tipu daya”, dan justeru melupakan hakikat diri dan kehidupan sebenarnya yang diselubungi kemiskinan dan kemelaratan. Ini menyebabkan Cik Ara bertindak memecahkan “cermin tipu daya” dan seterusnya menyedarkan Bujang Selamat bahawa yang dimiliki mereka sekeluarga hanyalah sebuah cermin biasa yang memantulkan imej sebenar mereka. Berdasarkan drama ini, Hatta menyatakan bahawa sesuatu imej atau bayangan palsu dapat mengubah tanggapan manusia. Namun, akal membantu manusia membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Drama “Puteri Gunung Ledang” yang telah dipentaskan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1984 ini memperlihatkan usaha Hatta mempersembahkan legenda Puteri Gunung Ledang dan peristiwa peminangan Sultan Mahmud Syah yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional menggunakan teknik penceritaan yang tidak konvensional. Ini merujuk kepada penggunaan percampuran kod bahasa, budaya dan teknologi antara zaman moden dengan zaman tradisional. Seterusnya, tarikan drama “Puteri Gunung Ledang” adalah pada plot yang diubah suai daripada plot asal legenda Puteri Gunung Ledang dan Raja Melaka.

Dalam drama ini, Puteri Gunung Ledang wujud hanya sebagai nama. Sebaliknya, peranan legenda puteri diambil alih watak Putera Gunung Tahan. Putera ini telah memperdaya Raja Melaka tentang kewujudan Puteri Gunung Ledang dan menawarkan bantuan untuk menyampaikan peminangan Raja Melaka. Antara syarat peminangan yang diminta Putera Gunung Tahan ialah pembinaan lebuh raya dari Melaka – Gunung Ledang, Gunung Ledang – Gunung Tahan dan Gunung Tahan – Melaka. Selain itu, Raja Melaka dan anakandanya diminta mendermakan darah di Tabung Darah Negara.  Dalam kisah legenda Puteri Gunung Ledang, syarat-syarat peminangan yang diberikan kepada Raja Melaka lebih berupa penolakan secara halus terhadap peminangan tersebut. Namun, melalui drama Hatta ini, syarat-syarat yang dikenakan oleh Putera Gunung Tahan dan tipu helahnya terhadap Raja Melaka lebih berupa usahanya untuk memberikan kemudahan dan manfaat kepada rakyat jelata. Ini secara tidak langsung merupakan kritikan terhadap golongan pemerintah yang lupa tentang tanggungjawab membantu rakyat jelata.

Seterusnya, drama “Anak Korporat” yang pernah dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur pada tahun 1991 ini mengisahkan kehidupan keluarga Cikgu Mim yang terlibat dalam dunia korporat dan politik. Sebagai seorang guru yang mementingkan kejujuran, Cikgu Mim menolak dunia korporat dan politik yang baginya tidak serasi dengan jiwanya. Prinsip Cikgu Mim ini bertentangan dengan isterinya iaitu Seri yang mahukan kehidupan korporat yang bergaya dan kaya-raya. Atas desakan Seri, Cikgu Mim melibatkan diri dalam dunia politik dan korporat sehingga mendapat gelaran “Datuk”. Hal ini mengubah corak kehidupan keluarga Cikgu Mim khususnya Seri dan Mat.

Dua beranak ini hanyut dalam kehidupan korporat yang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mendapat keuntungan, kemewahan dan pengiktirafan. Kecenderungan Seri dan Mat berbeza dengan Cikgu Mim yang mementingkan kejujuran dan kesederhanaan. Ini menyebabkan Cikgu Mim akhirnya mengundurkan diri daripada dunia politik. Dalam perkembangan cerita seterusnya, kehidupan korporat diteruskan oleh Mat yang membawanya jauh ke serata dunia. Namun, Mat sedar bahawa dunia korporat yang dikejar dan dipertahankan itu tidak memberi kebahagiaan hakiki kepadanya. Malah, dunia korporat menjarakkan dirinya daripada keluarga dan peribadi jujur yang diajarkan Cikgu Mim kepadanya sejak kecil. Menerusi drama ini, Hatta menunjukkan kebobrokan dunia korporat sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Keistimewaan drama ini terletak pada kekuatan peribadi Cikgu Mim yang dapat mempertahankan kejujuran dan kebenaran walaupun ditentang oleh isteri sendiri. Kekuatan peribadi Cikgu Mim turut terserlah apabila dia mampu memujuk dan mengubah pemikiran anaknya, iaitu Mat yang jauh terpesong daripada kebenaran dan kejujuran setelah berkecimpung dalam dunia korporat.

Secara keseluruhan, kumpulan drama ini mencerminkan sikap dan keprihatinan Hatta Azad Khan terhadap isu-isu berkaitan politik, seni dan kemanusiaan yang dipersembahkan dengan gaya dan tekniknya yang tersendiri.  Persamaan yang terdapat dalam kumpulan drama ini adalah pada pembinaan dialog yang berunsurkan komedi dan sinis yang melatarinya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049764
    Visit Today : 609
    This Month : 32363
    Total Visit : 1049764
    Hits Today : 3873
    Total Hits : 4308634
    Who's Online : 18
  • Kategori