Oleh ZAIDI ISMAIL
SEKIRANYA anda pernah melalui jalan Cheras – Kajang melalui arah Kajang ke Kuala Lumpur dan sering memerhatikan papan tanda, anda mungkin terpandang papan tanda “Maktab Polis DiRaja Malaysia” (gambar 1 dan 2).
Apabila sampai di Kuala Lumpur dan berada di sekitar Dataran Merdeka, akan terpandang pula papan tanda “Kelab Di Raja Selangor” (gambar 3). Kedua-dua ejaannya tidak sama.
Situasi yang sama juga terdapat di Kuala Kangsar. Di situ terdapatnya “Muzium DiRaja” (gambar 4) dan “Bandar Di Raja” (gambar 5).
Dalam dua bentuk ejaan, iaitu DiRaja dan Di Raja itu, ejaan manakah yang betul? Adakah Di pada kata tersebut berfungsi sebagai imbuhan atau kata sendi nama? Untuk menjawabnya, salah satu sumber rujukan yang boleh dirujuk ialah Kamus Dewan (2004) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan Kamus Dewan, kata diraja sebenarnya adalah kata yang digunakan dalam sastera lama, iaitu kependekan daripada kata adiraja. Hal ini bermakna, kata tersebut bukanlah berasal daripada kata dasar raja yang menerima imbuhan di. Jadi, di dalam frasa “Maktab Polis DiRaja Malaysia” dan “Muzium DiRaja” serta “Kelab Di Raja Selangor” dan “Bandar Di Raja” bukanlah berfungsi sebagai sendi nama ataupun imbuhan kerana kata diraja merupakan kata dasar. Oleh itu, frasa “Maktab Polis DiRaja Malaysia” dan “Muzium DiRaja” serta “Kelab Di Raja Selangor” dan “Bandar Di Raja” adalah satu bentuk ejaan yang salah, dan frasa tersebut sepatutnya ditulis “Maktab Polis Diraja Malaysia”, “Muzium Diraja”, “Kelab Diraja Selangor” dan “Bandar Diraja”.
Sementara itu, di Kelantan berlainan pula keadaannya. Di sana terdapat banyak “Projek D’ Raja” (gambar 6). Selain menggunakan huruf besar dan kecil, ada juga yang ditulis menggunakan huruf besar keseluruhan (gambar 7).
Sekiranya kata D’ Raja yang digunakan dalam frasa “Projek D’ Raja” itu adalah merujuk kata Diraja, bentuk ejaan tersebut tidak tepat. Dalam bahasa Melayu, bunyi /di/ tidak sama dengan /d’/ dan kedua-duanya tidak boleh bertukar ganti. Ejaan yang sepatutnya digunakan dalam frasa tersebut ialah “Projek Diraja” atau “PROJEK DIRAJA”.
Penggunaan D’ dalam frasa tersebut sebenarnya adalah satu bentuk baharu yang disebabkan oleh terlalu terpengaruh dengan bentuk ejaan yang digunakan dalam bahasa Perancis. Pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pembuatan dan pemasangan papan tanda sepatutnya lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul, terutamanya untuk papan tanda yang diletakkan atau dipasang di tempat-tempat awam.
Ketidakselarasan bentuk ejaan untuk nama yang sama yang digunakan pada papan tanda yang dipasang dalam daerah yang sama, tidak sepatutnya berlaku jika pihak yang berkenaan peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Begitu juga dengan penggunaan ejaan yang tidak tepat pada papan tanda. Ketidakselarasan dan ketidaktepatan ejaan ini tentu sekali akan mengelirukan pengguna bahasa, khususnya pelajar sekolah.