CANGGINYA BAHASA MELAYU

                                        Judul Buku:              Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca

                                        Pengarang :               Ismail bin Dahaman

                                        Penerbit     :               Dewan Bahasa dan Pustaka

                                        Tahun Terbit:            2015

                                        Pengulas :                  ZAIDI BIN ISMAIL

 

 Wacana bahasa lisan dengan bahasa tulisan tidak mungkin dapat dipisahkan dalam erti kata bahawa pertuturan dengan intonasi yang betul harus pula dirakam dalam bentuk tulisan yang menggunakan tanda baca yang tepat.

Penerbitan buku seperti Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca ini amat diperlukan untuk membantu pengguna bahasa menyelesaikan masalah kekeliruan, ketidakselarasan dan kerancuan bahasa yang berpunca daripada penggunaan tanda baca. Penggunaan tanda baca yang tepat akan memantapkan struktur  tatabahasa dan pembentukan wacana bahasa Melayu tulisan yang mapan.

Pengolahan wacana bahasa Melayu yang bertaraf tinggi memerlukan keterampilan ilmu dan kemahiran mengarang. Apabila tanda baca diterapkan dengan tepat dan jelas,maka pertalian idea diseimbangkan dengan pertautan sintaksis bagi melahirkan wacana bahasa Melayu yang bertaraf tinggi. Untuk menjelaskan tentang penggunaan tanda baca itu, maka penulis telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan buku Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Tanda Baca.

Buku tersebut mengandungi kaedah yang diperincikan tentang semua  tanda baca yang terpakai  dalam tulisan Rumi bahasa Melayu terkini. Kaedah penggunaan tanda baca dalam buku ini banyak dijelaskan dengan ilustrasi dan teks contoh. Pendekatannya adalah dengan memaparkan bentuk penggunaan tanda baca yang salah atau tidak tepat dan disertakan dengan bentuk yang betul dan sebaliknya. Dengan itu, pembaca dapat melihat dan memahami fungsi setiap tanda baca dengan mudah. Ada pihak yang menganggap tanda baca sebagai unsur sekunder  yang penggunaannya dalam tulisan lebih bersifat alternatif dan gaya individu yang sukar hendak diaturkan. Oleh itu, tanda baca berupa lambang bagi tinggi rendah atau lagu suara dalam pertuturan,maka penggunaan tanda baca yang tepat dan kemas dapat menzahirkan bacaan dengan intonasi dan gaya yang lancar dan bernas, atau dapat disimpulkan dengan ungkapan Kalimat Bertanda, Intonasi Bergaya.

Penggunaan tanda baca yang betul bukan sekadar menjadi gaya penulisan individu atau gaya penulisan penerbit buku, tetapi juga menjadi alat mekanika yang berfungsi memperkukuh jalinan wacana bahasa tulisan.

Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi 18 bab yang menerangkan tentang tanda-tanda baca yang terdapat dalam bahasa Melayu dan fungsinya, seperti tanda koma bertitik (;), tanda petik tunggal (‘…’), tanda elipsis (…), dan tanda berbintang (*). Setiap tanda tersebut dijelaskan dalam bab masing-masing. Penggunaan tanda koma bertitik (;) diterangkan dalam bab tiga. Fungsi utamanya ada hubungan dengan pembentukan ayat majmuk gabungan. Dalam hal ini,tanda koma bertitik  menjadi  tanda pemisah seperti tanda koma (,) dan tanda titik bertindih (:), iaitu pemisah antara bahagian-bahagian ayat yang bergabung dalam ayat majmuk. Tanda koma bertitik tergolong dalam kategori  tanda pemberhentian separuh yang menghasilkan jeda pembacaan yang lebih sedikit daripada tanda pemberhentian sementara yang diwujudkan oleh tanda koma.

Tanda petik tunggal (‘…’) pula merupakan tanda baca yang tergolong dalam kategori tanda baca cakupan seperti tanda kurung ((…)), tanda kurung siku ([…]), dan tanda kurung dakap ({…}). Hal ini dijelaskan dalam bab tujuh. Tanda petik tunggal digunakan dengan satu fungsi utama,iaitu untuk mengapit petikan langsung atau cakap ajuk yang terdapat dalam teks  petikan langsung atau cakap ajuk yang lebih besar. Fungsinya yang lain adalah sebagai kelainan bagi fungsi tanda petik (“…”) yang biasa. Dalam bahasa Melayu, fungsi dan kegunaan tanda petik tunggal (‘…’) dibezakan dengan tanda petik (“…”).

Sementara tanda-tanda elipsis (…) diterangkan dalam bab13. Tanda ini juga dikenali sebagai tanda tiga titik(atau tanda titik-titik-titik) yang terdiri daripada tiga titik yang berurutan tanpa jarak. Tanda elipsis digunakan dalam tulisan untuk menggantikan atau menggugurkan mana-mana kata atau frasa atau klausa atau ayat daripada ucapan atau teks bertulis yang asal. Kegunaannya bergantung juga pada maksud ayat dan bahagian yang ditulis dengan tanda titik-titik-titik itu. Kedudukan tanda elipsis (…) dalam hierarki tanda baca Rumi bahasa Melayu adalah sama dengan tanda pisah, iaitu di antara tanda koma dengan tanda koma bertitik atau tanda noktah.

Akhir sekali,tanda berbintang (*), atau asterisk diterangkan dalam bab 17. Tanda ini digunakan untuk menarik perhatian pembaca tentang sesuatu kata,frasa,klausa,ayat atau perenggan yang terdapat dalam penerbitan atau yang sedang diperkatakan dalam tulisan di samping bentuk bahasa tersebut tidak baku. Tanda berbintang ini berbentuk seperti bintang pecah lima atau bintang pecah enam. Tanda berbintang atau asterisk tidak disenaraikan sebagai salah satu tanda baca dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia(1975) atau dalam Gaya Dewan Edisi Ketiga(1995). Tanda berbintang disenaraikan dalam buku ini kerana tanda ini ada kegunaannya dalam penulisan bahasa Melayu yang standard.

Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi kaedah yang diperincikan tentang semua jenis tanda baca yang terpakai dalam tulisan Rumi bahasa Melayu terkini. Buku ini amat bermanfaat untuk dijadikan rujukan, terutamanya dalam kalangan penulis, editor, dan penerbit. Juga boleh dijadikan bahan bacaan berkala pendidik, guru, dan penuntut, serta pengguna bahasa yang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,bahasa rasmi dan bahasa pendidikan yang berwibawa. Untuk tujuan tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan oleh DBP, antaranya melalui penerbitan dan penyebaran bahan pengajaran dan pembelajaran, serta penggunaan bahasa Melayu standard yang mapan supaya semua lapisan masyarakat  pengguna dapat meningkatkan pengetahuan  dan kemahiran berbahasa mereka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049364
    Visit Today : 209
    This Month : 31963
    Total Visit : 1049364
    Hits Today : 1237
    Total Hits : 4305998
    Who's Online : 18
  • Kategori