Oleh ASMIAH HAJI AJAMAIN

BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) mengetuk pintu lagi pada tahun 2015 ini seperti lazimnya apabila bulan Oktober menyingkap tirainya.  Jika Ogos disambut dengan laungan “Merdeka, merdeka, merdeka!” oleh seluruh warga Malaysia dari negeri Perlis hingga ke Sabah, maka Oktober pula disambut dengan semangat berkobar-kobar  dengan suntikan rasa cinta akan bahasa kebangsaan, “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara!”  Program tahunan ini ialah salah satu projek utama yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, khusus sebagai usaha menyemarakkan semangat, jati diri dan patriotisme terhadap negara melalui wahana, wacana, dan prasarana bahasa dan sastera kebangsaan.

Menjejaki sejarah pewujudan program tahunan ini, semasa awal pelancarannya pada tahun 1999, program ini dikenali sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).  Kemudian bermula pada tahun 2009, program ini telah diberikan nama baharu, iaituBulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Kesedaran dan keprihatinan terhadap kepentingan, peranan dan fungsi dominan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai elemen fundamental dalam pembentukan  bangsa dan negara bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang haruslah sentiasa dipupuk, disuburkan serta digerakkan.  Justeru itu, program BBK amat wajar diteruskan penganjuran dan pelaksanaannya khusus sebagai program berterusan daripada program BBSN yang terdahulu.

Malam Gurindam Penyair  turut memeriahkan acara.

Malam Gurindam Penyair turut memeriahkan acara.

Agenda utama BBK diadakan adalah untuk menimbulkan kesedaran tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan sebagai faktor pemersatu atau alat perpaduan rakyat.  Selain itu, BBK juga bertujuan untuk memartabatkan sastera kebangsaan dalam pembangunan tamadun bangsa di samping meningkatkan minat masyarakat terhadapnya.  Semangat ini amat perlu disemarakkan sentiasa agar rasa cinta dan prihatin terhadap martabat bahasa dan kesusasteraan Melayu akan terus hidup dan terpelihara.   Gerakan kebahasaan peringkat kebangsaan ini telah dijadikan agenda atau  program tahunan negara.  Hal ini selari dengan patriotisme dan semangat Bahasa Jiwa Bangsa ke arah pembinaan negara bangsa. Program  ini diyakini dapat menarik minat pelbagai kaum apabila diimplikasikan dengan kata negara.

YB Datuk Hj. Mohamad Arifin Mohamad Arif memalu gong menandakan sambutan BBK bermula.

YB Datuk Hj. Mohamad Arifin Mohamad Arif memalu gong menandakan sambutan BBK bermula.

Sambutan BBK Peringkat Negeri Sabah telah berlangsung dengan penuh warna-warni bermula dari 06 Oktober 2015 dengan Program Malam Gurindam Penyair di SMK Sandakan.  Acara diisi dengan pengucapan puisi dan nyanyian lagu puisi.  Turut diadakan ialah pelancaran buku Antologi Puisi Sayap Bertongkat Paruh. Majlis Pelancaran Sambutan BBK Peringkat Negeri Sabah dilaksanakan pada 8 Oktober 2015 di Dewan Masyarakat Sandakan.   Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh wakil Ketua Menteri Sabah, iaitu YB Datuk Hj. Mohamad Arifin Haji. Mohamad Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.  Pelbagai kegiatan dilaksanakan yang antaranya ialah Kembara Bahasa, Karnival Bahasa Jiwa Bangsa, Pelancaran Portal e-Borneo, dan Ceramah Bahasa.

Sumpah Setia Bahasa turut dilafazkan.

Sumpah Setia Bahasa turut dilafazkan.

Sambutan diteruskan dengan acara Seminar Semarak Bahasa di Institut Perguruan Kampus Keningau pada 15 Oktober 2015.  Pengisian Seminar ialah pembentangan Ucaptama oleh Profesor Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, serta pembentangan Kertas kerja oleh Encik Mohd Firdaus Abdul Salam, Puan A. Santha a/p Arumugam, dan Encik Chanthirasekar a/l Karpan.  Seminar diteruskan dengan Sesi Forum Semarak Bahasa yang dianggotai oleh Puan Hajah Aminah Haji Musally, Puan Siti Ari Nadzirah Abdul Rahman dan Puan Wan Nurul Asikin Meor.

Pameran BBK turut diadakan.

Pameran BBK turut diadakan.

Sambutan BBK terus disemarakkan dengan program Karnival Bahasa Jiwa Bangsa yang berlangsung dari 20 Oktober 2015 hingga 22 Oktober 2015 di Kompleks DBP Cawangan Sabah.  Pelbagai Kegiatan dilaksanakan yang antaranya Langkah Ria, Pertandingan Sahibba, Persembahan Kumpulan Penari Lantai Cilik, Pertandingan Bercerita, Pertandingan mewarna, Kuiz Bahasa, Pantas Jawi, Bersahabat dengan kamus, dan kemuncaknya ialah Sayembara Lagu Puisi Berkumpulan Sekolah Menengah Cina Persendirian dan Sekolah Menengah Swasta.  Pasukan terdiri daripada pelajar pelbagai kaum.

“Langkah Ria” menjadi kegiatan yang digemari pengunjung karnival.

“Langkah Ria” menjadi kegiatan yang digemari pengunjung karnival.

Pada 29 Oktober 2015 hingga 1 November 2015, Karnival Bahasa Jiwa Bangsa diadakan di Masjid Bandar raya Likas yang juga dilaksanakan sempena Festival Hijrah.  Sambutan terhadap semua kegiatan BBK amat menggalakkan. Pada 28 November 2015, acara sambutan BBK akan disemarakkan lagi dengan acara Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah (JKKNS) yang dianjurkan bersama dengan JKKNS.

Semoga program BBK ini menjadi salah satu wadah untuk meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan kita.   Dalam gelombang globalisasi ini kita perlu terus menyemarakkan bahasa kebangsaan terus unggul dalam kalangan seluruh warga Malaysia.  Kita perlu terus memastikan bahawa bahasa kebangsaan kita tidak turun darjatnya menjadi bahasa yang amat lokal sifatnya atau digunakan oleh sejumlah  khalayak saja.  Jawatankuasa Pelajaran Razak sudah pun merumuskan peranan bahasa Melayu dalam mengilmukan masyarakat, iaitu melalui Penyata Razak, kemudian Penyata Rahman Talib dan akhirnya Akta Pelajaran 1961.  Dalam Perlembagaan Persekutuan pun sudah disebut dan dimaktubkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.  Maka, sesudah  setengah abad kita  merdeka, sepatutnya tidak timbul lagi soal perjuangan. Yang penting ialah soal pengisian, soal pemartabatan, peningkatan maruah dan martabat, dan meluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai asas tamadun bangsa dan negara, juga sebagai teras negara cemerlang, gemilang dan terbilang.  1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara!1

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1058627
    Visit Today : 517
    This Month : 6880
    Total Visit : 1058627
    Hits Today : 1622
    Total Hits : 4347023
    Who's Online : 13
  • Kategori