Screenshot_2015-09-15-11-10-23

Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

Judul:                      Mencari Keluhuran Budi

Pengarang:             Za’ba

Penerbit:                 Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit:          2015

 

Buku yang memuatkan 10 rencana hasil karya pengarang Za’ba ini menghujahkan bahawa kebahagiaan, ketinggian dan kecemerlangan manusia perlu digarap melalui agama. Agama dapat membentuk, mendidik dan membesarkan manusia sesuai dengan kehidupan-kehidupan lain di dunia ini, bagi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan manusia. Buku ini juga merupakan antara karya penting Za’ba dalam meningkatkan nasib bangsa Melayu di tanah airnya sendiri, di dunia dan juga di akhirat.

Rencana pertama yang berjudul “Agama dan Tujuannya” membawa pembaca memahami apa itu “agama” dan tujuannya. Za’ba menerangkan bahawa dalam dunia ini terdapat bermacam-macam agama yang secara umumnya mengajar empat perkara, iaitu menyuruh percaya dan berbuat baik (amal salih); melarang jangan tidak percaya dan jangan berbuat jahat; menjanjikan balasan baik bagi yang percaya dan berbuat baik; dan menjanjikan balasan susah dan kecewa bagi yang ingkar dan berbuat jahat. Jadi nyata bahawa tujuan sebenarnya agama itu ialah hendak memimpin laku perangai manusia kepada jalan yang betul semasa hidup di dunia ini, sama ada pada dirinya sendiri dan dalam perhubungannya dengan orang lain.

Sekarang kita sebut agama Islam. Diriwayatkan dalam suatu hadis yang masyhur bahawa Rasulullah telah ditanya oleh beberapa orang sahabat pada suatu hari: “Apakah erti agama atau apakah yang dikatakan agama itu?” Jawab Rasulullah, “Agama itu nasihat.”(diulangnya tiga kali). Maka ditanya lagi oleh mereka. “Nasihat siapa?” “Nasihat Allah dan kitab-Nya dan rasul-Nya dan pemimpin-pemimpin orang Islam dan segala orang Muslimin yang kebanyakannya” (yakni segala orang yang telah tunduk mengikut dan menjunjung nasihat itu). Jadi, nyatalah bahawa “agama”  itu nasihat juga iaitu nasihat suruh berbuat baik dan nasihat melarang berbuat jahat. Nasihat itu diberi Allah dan kemudian dan oleh rasul-Nya setelah ia menerimanya daripada Allah dan kemudian patutlah diberi pula oleh segala orang lain yang telah menerima dan mengikut nasihat itu.

Rencana kedua pula menerangkan tentang “Perlunya Didatangkan Agama” kepada manusia. Persoalan apakah perlu didatangkan agama kepada manusia bagi memandu mereka pada jalan baik dan jahat atau menunjukkan mereka kepada arahan laku perangai yang mulia, padahal mereka telah sedia ada diberi akal yang akan menjadi panduan dan pedomannya, dan akal itu boleh membezakan baik dengan jahat, betul dengan salah? Tidakkah cukup dengan akal itu sahaja bagi memimpin manusia menjalankan kehidupan yang baik dan betul jika mereka suka, bahkan bagi memimpin mencari kebenaran seumumnya?

Sebenarnya manusia ada dikurniai Tuhan akal, tetapi berapa orangkah yang dapat menggunakan akalnya dengan betul? Agama yang sebenar adalah datangnya daripada Tuhan sendiri yang disebut Allah dalam perbahasan agama Islam; dan Tuhan sendiri adalah amat mengetahui dan lebih mengetahui daripada sekalian yang lainnya akan kelemahan manusia dan akan segala perkara pun. Maka siasat agama itu adalah lebih lanjut lebih jauh dan lebih dalam daripada apa-apa jua siasatan lain yang boleh dimajukan oleh akal fikiran manusia. Kebajikan dan kejahatan terkadang tiada dapat terfikir dengan tepat oleh akal manusia, kerana akal fikiran manusia itu memang terhad pada tabiatnya, dan seberapa jauhnya pun yang ia sampai atau boleh sampai tidaklah juga akan boleh sampai meliputi atau menyamai sebagaimana ilmu Allah pada mengirakan yang mana baik dan yang mana jahat dengan sebenar-benarnya. Begitulah juga yang mana betul dan yang mana salah. Ghalibnya tidaklah ada pada akal fikiran manusia itu cukup kekuatan dan kuasa yang boleh menyampaikan usaha siasatannya itu kepada sejauh-jauh perhinggaan akan menyelam hakikat-hakikat kejadian berhubung dengan alam rohani. Maka sebab itulah diturunkan Allah agama kepada manusia, iaitu diutuskannya menerusi rasul-rasul pesuruh yang dipilihnya sendiri; dan dengan wasitah agama itu diaturkannya asas-asas pengajaran baik dan jahat, salah dan betul, dengan aturan yang terang dan tiada bersalahan lagi dengan yang sebenarnya.

Rencana yang seterusnya ialah “Ibu Bapa – Guru yang Pertama”. Za’ba memberikan penekanan tentang pentingnya ibu bapa memberi didikan yang betul dan elok kepada anak-anak sewaktu berada di rumah. Ibu bapa seharusnya memberi ajaran dan contoh teladan yang baik dan mulia kepada anak-anak mereka. Baik atau jahat pada anak-anak itu pada masa hadapan apabila mereka besar kelak adalah bergantung pada didikan yang mula-mula diperoleh sewaktu di rumah. Rumah itu merupakan sekolah pertama kepada anak-anak yang merupakan pelajaran tentang bagaimana mencorakkan dirinya dalam kehidupan dunia ini’ dan ibu bapa itulah guru sekolahnya yang awal dan pertama sekali.

Pengarang juga tidak ketinggalan memuatkan rencana tentang “Faedah Berjimat Cermat”.  Perangai jimat cermat itu banyak kelebihannya. Ajaran Islam juga menyuruh umatnya berjimat-cermat. Kelebihan dan faedah berjimat cermat yang sederhana itu banyak didapati dalam al-Quran dan perkataan hadis Nabi sendiri.

Rencana-rencana yang dimuatkan dalam kumpulan ini terasa sangat mudah untuk dihayati kerana adanya penerangan yang jelas tentang isi rencana, diikuti dengan keterangan hadis Nabi SAW. Za’ba memberi penekanan terhadap perlunya manusia menjalani kehidupan ini berlandaskan agama dalam membentuk, mendidik dan membesarkan manusia sesuai dengan kehidupan-kehidupan lain di dunia ini, bagi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan manusia.

Pada sisi biodata kepengarangan pula, Za’ba adalah antara orang Melayu terawal yang cuba mempertahankan bahawa agama Islam itu amat penting bagi manusia. Tidak semua benda di dunia ini yang mampu dan dapat diukur melalui akal dan pancaindera yang menjadi asas sekularisme. Za’ba, amat peka dan menyedari bahawa masa depan bangsa Melayu akan musnah jika orang Melayu terus mengikut aliran Barat yang tidak menentu arahnya. Za’ba tanpa menolak kebaikan yang didatangkan dari Barat, telah mengkritik fikiran Barat yang merugikan.

Hujah-hujah Za’ba, walaupun telah diucapkan lima puluh tahun dahulu, masih ampuh dan sesuai dengan keadaan pada hari ini dan masa akan datang. Oleh itu, sepuluh rencana Za’ba yang dikumpulkan dalam buku ini merupakan karya-karya penting dalam meningkatkan nasib bangsa Melayu di tanahairnya sendiri, di dunia dan juga di akhirat. Kebanyakan rencana ini pernah disiarkan dalam Majalah Qalam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049145
    Visit Today : 1463
    This Month : 31744
    Total Visit : 1049145
    Hits Today : 5656
    Total Hits : 4304702
    Who's Online : 16
  • Kategori