Perlakuan Kata Sifat

Tajuk Buku    :      Perlakuan Kata Sifat (Berdasarkan Data Korpus Berkomputer)

Penulis            :      Norliza Jamaluddin

Terbitan          :      Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre              :      Bahasa

Halaman        :      276 halaman

 Pengulas       :      JULIA JUIS

 

BUKU ini merupakan hasil kajian Norliza Jamaluddin berhubung kata sifat, dan secara khususnya perlakuan kata sifat bahasa Melayu yang diteliti menggunakan data korpus berkomputer. Terdapat dua faktor yang mendorong pengkaji memilih menggunakan data korpus berkomputer dalam kajian ini. Pertama, penelitian menggunakan data korpus membolehkan penghasilan kata sifat bahasa Melayu secara semula jadi dapat dihasilkan. Kelebihan ini menjadikan kecenderungan mereka-reka ayat dalam bahasa Melayu dengan keterikatan kepada rumus tertentu dapat dielakkan. Kedua, penelitian berasaskan data korpus memberikan alternatif kajian berbanding dengan pendekatan teori dahulu yang mengikat data bahasa dengan rumus bahasa yang sedia dibentuk, dan justeru menghasilkan kata sifat yang tidak semula jadi (unnatural). Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan ini, penulis melakukan kajian dan penelitian terhadap sejumlah 150 ribu data kata bagi menjelaskan secara terperinci perlakuan sebenar kata sifat bahasa Melayu yang digunakan. Bersesuaian dengan penyelidikan ini, penulis menggunakan pendekatan fungsional oleh Knowles (2006) dan Zuraidah Mohd. Don (2008). Terdapat enam bab dalam buku ini yang masing-masing berjudul “Data Korpus”, “Kriteria Penggolongan Kata”, “Kata Sifat dan Kaedah Penggolongannya”, “Fungsi Penerang”, “Fungsi Predikat dan Penerang Predikat” dan “Kesimpulan”.

Bab 1 dengan tajuk “Data Korpus” membincangkan aspek yang meliputi data korpus, merangkumi definisi, pendekatan berasaskan korpus, perbezaan antara intuisi dengan data korpus, jenis data korpus dan peranti analisis data korpus serta kata sifat. Dari segi definisi, penulis membincangkan tujuh definisi data korpus bagi menjelaskan data korpus secara tepat. Antara definisi data korpus yang dibincangkan adalah:

– A collection of texts, of the written or spoken word, which is stored and processed on computer for the purposes of linguistic     research.

– A corpus is a collection of texts assumed to be representative of a given language, dialect or other subset of a language to be used for linguistic analysis.

– Collection of text in an electronic database. … necessarily consist of structured collection of text specifically compiled for linguistic analysis, that they are large or that they attempt to representative of a language as a whole.

– A large collection of authentic text, that have been gathered in electronic form according to a specific set of criteria.           

  (dalam Norliza Jamaluddin, 2015:5).

Penelitian terhadap definisi-definisi tersebut seterusnya dijadikan teras pencirian data korpus yang andal bagi kajian buku ini. Dalam subjudul “Pendekatan Berasaskan Korpus” pula, penulis menjelaskan kelebihan data korpus dalam menguji, memberikan contoh-contoh autentik dan penghuraian yang menyeluruh tentang sesuatu aspek bahasa. Hasilnya, pendekatan ini memungkinkan penilaian semula dilakukan menggunakan data yang lebih besar kuantitinya terhadap teori-teori yang dibentuk sebelum kewujudan data korpus.

Seterusnya, Bab 2: “Kriteria Penggolongan Kata” membincangkan aspek penggolongan kata bagi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.  Menurut penulis, perbincangan ringkas tentang penggolongan kata dalam bahasa Inggeris dilakukan antaranya kerana penglibatan besar peneliti dan sarjana Inggeris dalam perkembangan tatabahasa bahasa Melayu, khususnya dalam penggolongan kata bahasa Melayu yang berasaskan penggolongan kata bahasa Inggeris. Selain itu, tiga pendekatan penggolongan kata yang dibincangkan ialah pendekatan tradisional, pendekatan teoretikal dan pendekatan data korpus berkomputer. Pendekatan tradisional merupakan pendekatan terawal dalam penggolongan kata melibatkan aspek semantik (makna). Pendekatan teoretikal terdiri daripada empat pendekatan iaitu pendekatan struktural, pendekatan tagmemik, pendekatan transformasi generatif dan pendekatan fungsional. Pendekatan berasaskan data korpus berkomputer pula lazimnya melibatkan kajian terhadap aspek tatabahasa yang dilakukan secara khusus.

Selanjutnya, Bab 3 yang berjudul “Kata Sifat dan Kaedah Penggolongannya” menghuraikan kaedah penggolongan kata sifat menggunakan pendekatan fungsional.  Dalam konteks ini, tumpuan diberikan kepada fungsi kata sifat dalam sesebuah ayat. Sehubungan itu, Teori Prototaip (daripada pendekatan fungsional) digunakan, penelitian terhadap struktur sintaktik, morfologi kata sifat, kebolehsesaran kata sifat dan kriteria kata sifat dilakukan bagi menjelaskan kedudukan dan fungsi kata sifat secara komprehensif.

Lanjutan itu, Bab 4: “Fungsi Penerang” membincangkan fungsi tipikal kata sifat dalam sesebuah ayat. Dalam hal ini, pengkaji menjelaskan bahawa kata sifat lazimnya hadir dalam ayat sebagai penerang kepada kata inti/kata nama dan kata kerja. Perbezaan fungsi kata sifat ini mewajarkan penggunaan istilah ‘sifat’ berbanding ‘adjektif’. Hal ini kerana istilah ‘sifat’ dapat merujuk ‘sifat nama’ dan ‘sifat kerja’.  Selain itu, bab ini turut menjelaskan lima pola kata sifat dan kehadirannya dalam ayat iaitu:

– Kata Nama Inti + Kata Sifat Nama

– ber+ Kata Nama Inti + Kata Sifat Nama

– Kata Nama Inti + Kata Hubung Relatif + Kata Sifat Nama + (penentu)

– Kata Nama Inti + Kata Hubung Relatif + Penanda Intensiti/Penanda Perbandingan + Kata Sifat Nama + (penentu)

– Kata Nama Inti + Kata Hubung Relatif + Penanda Aspek/Modalitas + Kata Sifat Nama

Hasil kajian mendapati empat daripada lima pola kata sifat berkenaan menyamai kata kerja yang secara tidak langsung memaparkan perilaku kata sifat yang menyerupai perilaku kata kerja dalam fungsi tersebut. Perbincangan ini membawa kepada perbincangan tentang fungsi lain kata sifat dalam Bab 5: “Fungsi Predikat dan Penerang Predikat” iaitu sebagai fungsi predikat dan penerang predikat.

Akhir sekali, Bab 6: “Kesimpulan” merumuskan dapatan keseluruhan kajian ini tentang kedudukan dan fungsi kata sifat dalam tatabahasa bahasa Melayu iaitu sebagai penerang, predikat dan penerang predikat. Walau bagaimanapun, kajian mendapati kata sifat lebih cenderung digunakan sebagai fungsi penerang berbanding dengan fungsi predikat dan penerang predikat. Hal ini membawa kepada kesimpulan bahawa ciri prototaip kata sifat bahasa Melayu adalah sebagai penerang, khususnya penerang nama.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049112
    Visit Today : 1430
    This Month : 31711
    Total Visit : 1049112
    Hits Today : 5389
    Total Hits : 4304435
    Who's Online : 16
  • Kategori