Oleh MANSOR PUTEH

PADA tahun 1919, ketika berusia 16 tahun, Tunku Abdul Rahman Putra, atau lebih dikenali sebagai Tunku, ke Cambridge, England, untuk belajar. Pada usia  54 tahun, beliau berjaya memerdekakan Tanah Melayu daripada British,  tanpa menitiskan walaupun setitik darah. Bukan mudah untuk menjadi pemimpin kebangsaan, jauh sekali untuk menjadi Bapa Kemerdekaan sesebuah negara.

 Dalam usia yang masih muda setelah belajar di beberapa buah sekolah di Kedah, Pulau Pinang dan Bangkok, Tunku akhirnya mendapat biasiswa daripada kerajaan Kedah untuk melanjutkan pelajarannya di sebuah sekolah persendirian di Little Stokeley, Cambridgeshire, tidak jauh dari bandar Cambridge, tempat terletaknya universiti terulung di England – Universiti Cambridge.  Banyak orang yang khuatir sama ada Tunku, dalam usia yang begitu muda, dapat mengharungi Lautan Hindi dan Lautan Atlantik untuk mendarat di England dan mula belajar di negara itu dalam bahasa asing baginya pada ketika itu atau sebaliknya. Beliau mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi kurang menggunakannya untuk kehidupan harian dengan dikelilingi oleh anak sebaya dengannya yang bertutur dalam bahasa Melayu dan loghat Kedah.

 Si Budak Hitam nama jolokan Tunku semasa kecil pergi ke negeri Orang Putih. Pak Tam nama yang masih digunakan oleh ahli kerabat terdekat Tunku hingga kini. Pak Tam, Budak Hitam, atau Tunku Abdul Rahman akhirnya menjadi manusia berguna kepada negara ini.

 Beliau tidak dihantar oleh bapanya, Sultan Kedah ketika itu, untuk belajar di mana-mana sekolah dan universiti di negara Arab kerana Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris. Oleh itu, tidak sesuai untuk Tunku si Budak Hitam atau Pak Tam pergi ke Kaherah, Mesir, atau Amman, Jordan.

 Mereka mahu Tunku pergi ke England. Bukan ke sembarangan tempat di England, tetapi di Cambridge, tempat terletaknya universiti tertua di England – Universiti Cambridge, yang telah melahirkan banyak graduan yang menjadi perdana menteri dan pegawai kanan kerajaan Inggeris.  Di situlah mereka merasakan sesuainya untuk meletakkan Tunku.

Di The Old Rectory di Little Stokeley, Tunku belajar daripada pengajar peribadi atau tutor. Di situlah juga Tunku tinggal bersama-sama anak Inggeris yang sebaya dengannya. Ada juga beberapa orang pelajar yang bukan berketurunan Inggeris yang berasal dari negara asing,  yang turut belajar bersama-sama Tunku, tetapi tidak seorang pun daripada mereka yang akhirnya menjadi seperti Tunku, yang membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris.

 Berdekatan dengan Little Stokeley, terdapat padang lumba kuda. Di situlah Tunku belajar meminati sukan berkuda.

Apabila Tunku akhirnya berjaya mendapat tempat belajar di Kolej Saint Catherine di Universiti Cambridge, dia menyewa bilik di 11 Grange Road. Secara kebetulan pula, tidak jauh dari rumah sewanya, ada padang bola sepak. Di situlah Tunku mula berminat dengan sukan ini apabila bergaul dengan pemain bola sepak yang hampir semuanya pelajar Universiti Cambridge walaupun mereka belajar di kolej lain dan tidak pula akhirnya berjaya menjadi pemimpin negara mereka sendiri.

Tunku mula belajar di Cambridge pada tahun 1922. Selepas empat tahun, beliau memperoleh ijazah dalam bidang undang-undang.

Dalam masa ini,  Tunku mengalami pelbagai jenis diskriminasi, khususnya daripada pentadbir universiti yang berpandangan bahawa beliau tidak layak untuk tinggal di asrama. Tunku mengadukan hal tersebut kepada kerajaan Kedah yang menghantar residen Kedah ketika itu ke Cambridge untuk memberitahu pegawai pentadbir asrama bahawa Tunku anak raja.  Pegawai asrama terkejut dan akhirnya bersetuju untuk memberinya bilik di asrama.

Walau bagaimanapun, Tunku tidak menerima tawaran itu kerana menurutnya, beliau akan meninggalkan universitinya setelah tamat pengajian tidak berapa lama lagi. Oleh itu, beliau terus tinggal di bilik sewa di Grange Road, dengan menikmati kebebasan dan cara hidup mewah, memandu motosikal mahal, dan yang paling canggih ketika itu memandu kereta yang dibelinya dalam pameran kereta, yang sudah pasti tidak mampu dibeli oleh naib canselor atau mana-mana dekan atau pegawai kanan universitinya kerana harga yang begitu tinggi.

Si Budak Hitam akhirnya berasa “marah”, tetapi rasa amarahnya disimpan sehinggalah beliau menjadi pegawai kanan sebuah parti nasionalis di Tanah Melayu iaitu Umno. Tunku sendiri terkenang akan peristiwa beliau dihina oleh Inggeris semasa belajar di Cambridge. Tunku memberitahu saya dalam temu ramah di kediamannya di Bukit Tunku pada tahun 1989 bahawa peristiwa pahit itulah yang membuatkannya mahu “menendang Inggeris dari Tanah Melayu”.

Namun demikian, Tunku masih tidak menggunakan cara keras untuk melakukannya, tetapi dengan diplomasi dan cara istana sehingga mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, sering berasa sukar untuk memahami fikiran Tunku kerana caranya begitu halus.

Tanpa Tunku, Tanah Melayu akan berkocak dengan usaha membebaskan negara yang dilakukan secara keras yang mampu mendatangkan angkara dan bahaya kepada kebanyakan rakyat berbilang kaum.  Namun demikian, mujur hal ini tidak berlaku dan Tunku akhirnya berasa bangga kerana telah mencapai kemerdekaan untuk Tanah Melayu  “tanpa menumpahkan walaupun setitis darah”.

Mahatma Gandhi, pejuang kemerdekaan India, juga belajar dalam bidang undang-undang di England, tetapi caranya mencapai kemerdekaan untuk negaranya menampakkan kegagalan. Hal ini dikatakan demikian kerana dia telah menyebabkan ratusan rakyat India maut dengan negaranya berpecah kepada India dan Pakistan, dan kemudian kepada tiga buah negara, iaitu India, Pakistan dan Bangladesh.

Oleh itu, semasa semua rakyat Malaysia meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini, ada juga baiknya untuk mereka mengenang  jasa Tunku yang tidak terhingga, yang telah membawa banyak kemakmuran dan keharmonian kepada negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048515
    Visit Today : 833
    This Month : 31114
    Total Visit : 1048515
    Hits Today : 2145
    Total Hits : 4301191
    Who's Online : 19
  • Kategori