Oleh DOLLY DIANA ANAK UJANG

 

      “Bahasa merupakan alat komunikasi yang menghubungkan antara individu dengan individu yang lain.”

BEGITULAH pendapat seorang penulis iaitu Indirawati Zahid dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Dewan Bahasa keluaran Julai 2010. Bahasa merupakan elemen yang sangat penting dalam menghubungkan manusia terutama dalam meneruskan kehidupan seharian. Penggunaan bahasa bukan sahaja mencerminkan budaya malah bahasa yang kita gunakan juga secara tidak langsung mencerminkan personaliti kita. Penggunaan bahasa dalam pertuturan bergerak seiring dengan arus modenisasi. Peredaran zaman yang semakin moden ini juga telah mewujudkan satu dimensi cabaran yang berlaku dalam penggunaan bahasa terutamanya dalam penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Senario yang jelas di sini ialah bidang pendidikan merupakan satu bidang yang tidak dapat lari dari tempias cabaran menggunakan bahasa kebangsaan terutamanya di sekolah. Mengapakah cabaran-cabaran menggunakan bahasa kebangsaan ini wujud dalam bidang pendidikan? Apakah guru di sekolah tidak menerapkan penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah? Atau bagaimanakah cabaran-cabaran ini boleh wujud sehingga menimbulkan masalah kepada murid dan menjadi cabaran dalam bidang pendidikan? Dalam hal ini, saya akan merungkai cabaran-cabaran menggunakan bahasa kebangsaan dalam dunia pendidikan. Saya telah menggariskan beberapa faktor utama sebab-sebab cabaran menggunakan bahasa kebangsaan ini berlaku.

GRAF

Rajah 1 Faktor-faktor cabaran menggunakan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan.

Dalam bidang pendidikan, sasaran penutur bahasa kebangsaan bukan sahaja berfokuskan kepada satu pihak sahaja tetapi sasaran ini melibatkan semua warga sekolah seperti pihak pentadbiran dan pengurusan sekolah, tenaga pengajar dan murid. Cabaran yang pertama ialah berfokuskan kepada faktor murid. Murid merupakan sasaran yang paling utama dalam fenomena ini. Hal ini demikian kerana, murid merupakan klien utama dalam bidang pendidikan yang mana mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan menggunakan bahasa yang berbeza dalam berkomunikasi.

Cabaran menggunakan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid wujud kerana proses pemerolehan bahasa pertama mereka secara automatik ditentukan oleh latar belakang keluarga. Sebagai contoh, apabila murid A dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan komuniti dan budaya orang Iban, maka bahasa pertama yang dipelajari oleh murid A ini ialah Bahasa Iban. Apabila murid sudah terbiasa menggunakan Bahasa Iban sebagai bahasa komunikasi di rumah dan mereka sangat fasih berbahasa Iban dan sukar  bagi mereka untuk menggunakan bahasa lain untuk berkomunikasi dengan orang lain. Tambahan, cabaran ini cukup memberikan kesan kepada pemerolehan bahasa kedua yang akan dipelajari oleh murid apabila mereka berada di sekolah. Bagi murid-murid yang kurang diberi pendedahan dan tidak pernah berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan, nescaya mereka akan menghadapi masalah apabila mereka berbicara dalam bahasa lain selain daripada bahasa ibunda mereka.

Cabaran yang wujud dalam isu ini bukan sahaja berkaitan dengan pemerolehan bahasa pertama murid tetapi turut dipengaruhi oleh bahasa ibunda yang sangat pekat. Masalah penggunaan bahasa kebangsaan ini bukan sahaja berlaku kepada murid yang lahir dalam komuniti bukan Melayu tetapi juga berlaku dalam kalangan murid yang terdiri daripada keluarga yang berbangsa Melayu. Walaupun mereka merupakan kanak-kanak yang lahir dalam masyarakat Melayu tetapi disebabkan pengaruh bahasa dialek atau loghat mereka berbeza dari aspek sintaksis, maka agak sukar bagi mereka untuk berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Senario ini akan menjadi ikut-ikutan dan dibawa ke sekolah. Pengaruh bahasa dialek dan loghat yang pekat akan menimbulkan masalah kepada mereka untuk bertutur menggunakan bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak seperti ini masih mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan cuma dari segi penyusunan ayat dan penggunaan perbendaharaan kata agak lemah kerana mereka berada dalam zon selesa dan sudah mahir menggunakan bahasa dialek atau loghat mereka sendiri. Usaha untuk membuat peralihan bahasa yang digunakan di rumah dan di sekolah mengambil masa yang lama lebih-lebih murid yang menggunakan sering bahasa dialek atau loghat yang jauh berbeza dengan struktur bahasa kebangsaan itu sendiri.

Selain itu, faktor persekitaran murid juga mempengaruhi penggunaan bahasa murid. Persekitaran juga mampu menentukan pemerolehan bahasa yang akan dikuasai oleh murid. Sebagai contoh, apabila murid dilahirkan dalam komuniti yang  kurang mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan, nescaya budaya itulah akan menjadi ikutan murid-murid. Cabaran ini bertambah hebat apabila komuniti dalam persekitaran murid kurang pengetahuan yang khusus dalam bahasa kebangsaan terutamanya dari aspek sintaksis bahasa itu sendiri, maka murid akan bersikap endah tak endah terhadap bahasa yang digunakan. Situasi ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada murid dari aspek penguasaan aspek sintaksis dalam bahasa kebangsaan malah ianya akan mempengaruhi prestasi murid di dalam bilik darjah. Ilmu sintaksis dalam bahasa kebangsaan amnya mempunyai hukum tatabahasa yang perlu dipatuhi serta tidak digunakan sewenang-wenangnya.

Selain faktor persekitaran seperti tempat tinggal dan komuniti persekitaran murid, persekitaran di sekolah dan di dalam bilik darjah amnya juga mempengaruhi penggunaan bahasa yang digunakan sebagai bahasa pertuturan seharian. Penguasaan bahasa dialek atau loghat yang sama akan menyebabkan murid lebih senang untuk berbicara dan berbual sesama sendiri di dalam bilik darjah. Penggunaan dan penguasaan bahasa dialek atau loghat yang sama ini akan selalu dipraktikkan oleh murid-murid kerana mereka lebih memahami kehendak antara satu sama yang lain. Sebagai seorang murid yang berumur dalam lingkungan 6 sehingga 10 tahun, mereka tidak tahu menahu perkara itu akan menimbulkan masalah kepada mereka suatu hari kelak. Tambahan, dalam umur sebegini mereka hanya memikirkan keseronokan dan tidak mampu untuk berfikir secara matang. Perkara yang sering bermain dalam ruangan benak mereka ialah bermain bersama, berkomunikasi bersama dengan menggunakan bahasa dialek yang sama yakni lebih mudah untuk difahami serta tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam menzahirkan bahasa dalam kalangan mereka. Sekiranya cabaran ini tidak dibendung pada peringkat awal, nescaya cabaran ini seperti barah yang menular secara perlahan-lahan sehingga sampai satu tahap untuk melakukan intervensi amat payah kerana murid sukar untuk menerima pengetahuan yang baharu dalam penguasaan bahasa serta memberikan impak negatif dalam bidang pendidikan kelak.

Di samping itu, faktor ibu bapa tidak terkecuali dalam menyumbang kepada cabaran menggunakan bahasa kebangsaan ini. Hal ini demikian kerana, sebelum anak-anak dihantar ke sekolah sama ada sekolah TABIKA, TADIKA atau Pra-sekolah, ibu bapalah pihak yang sangat memainkan peranan penting dalam pemerolehan bahasa kanak-kanak. Menurut Mangantar Simanjutak (1982) dalam Dewan Bahasa terbitan Julai 2010, ibu bapa merupakan satu pragmatik kepada anak-anak mereka. Yang dimaksudkan pragmatik dalam artikel ini ialah persekitaran atau konteks ucapan yang diterbitkan dalam sesuatu komunikasi. Tanpa pragmatik yang cukup, tidak mungkin sesuatu erti diperolehi oleh kanak-kanak. Tambahan, ibu bapa merupakan orang yang pertama dan paling akrab dengan anak-anak. Tiada salahnya ibu bapa memberikan pendedahan awal kepada anak-anak untuk bertutur menggunakan bahasa kebangsaan di rumah. Pendedahan ini bukan bermaksud mereka tidak boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda tetapi ibu bapa perlu bijak menyeimbangkan penggunaan bahasa anak-anak terutama dalam berkomunikasi. Oleh itu, ibu bapa harus menggunakan bahasa yang betul semasa mereka berkomunikasi dengan anak-anak.

Tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan sekadar membesarkan dan memberikan keperluan serta pendidikan anak-anak sahaja malah turut bertanggungjawab dalam memberikan pendedahan awal tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka. Bunyinya agak pelik kerana  mana mungkin dalam satu keluarga itu akan bertutur menggunakan bahasa kebangsaan di rumah bukan? Saya percaya tidak semua institusi kekeluargaan di Malaysia mengamalkan komunikasi di rumah menggunakan bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu standard. Perkara ini tidak dapat kita laksanakan kerana sikap yang menebal terhadap bahasa ibunda atau bahasa dialek amat tinggi dalam kalangan ibu bapa. Mereka juga khuatir sekiranya mereka sering mengajar anak menggunakan bahasa kebangsaan, anak-anak mereka tidak pandai untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri. Bukankah itu perkara yang memalukan dalam keluarga mereka?

Dalam menyelami dunia tanpa sempadan seperti kini, sikap ibu bapa terhadap bahasa lebih agresif berbanding sikap ibu bapa pada zaman dahulu. Kebanyakan ibu bapa pada masa kini tergolong dalam kalangan orang yang berstatuskan pendidikan tinggi. Jadi, apabila status pendidikan berubah pada tahap yang tinggi maka segelintir ibu bapa berfikiran bahawa mempelajari bahasa kebangsaan merupakan usaha yang kurang relevan kerana dunia menjurus ke arah kemajuan selaras dengan pembangunan sains dan teknologi. Sikap ibu bapa yang sering mengagung-agungkan bahasa asing selain bahasa kebangsaan merupakan tindakan yang betul dan sejajar dengan perkembangan dunia sekarang. Berbeza pula dengan keluarga yang berstatuskan pendidikan rendah atau tiada pendidikan. Segelintir ibu bapa inginkan anak-anak mereka fasih dan menguasai bahasa kebangsaan tetapi mereka pula yang tidak mempunyai kemahiran untuk bertutur apatah lagi memberikan pendedahan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa yang dalam kategori ini mengharapkan seratus peratus usaha guru dan meletakkan kepercayaan itu kepada pihak sekolah semata-mata. Mereka juga mengharapkan agar pihak sekolah memberikan pendidikan yang cukup kepada anak-anak mereka. Oleh itu, status keluarga juga mempengaruhi cabaran menggunakan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan.

Sikap ibu bapa yang mengamalkan pemikiran tertutup sehingga mereka mengawal pembelajaran dan pertuturan anak-anak menggunakan bahasa kebangsaan dilarang keras dalam keluarga selain belajar menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja. Ibu bapa yang tidak mengendahkan kepentingan bahasa kebangsaan di sekolah dan mereka juga masih mengekalkan cara berfikir aras rendah. Mereka beranggapan bahawa mempelajari dan bertutur dalam bahasa kebangsaan akan menyebabkan mereka kehilangan identiti bangsa asal mereka.  Senario seperti ini boleh kita kaitan bahawa institusi kekeluargaan seperti ini kurang diberi pendedahan tentang kepentingan bahasa kebangsaan yang disebabkan beberapa subfaktor seperti mengikut cara pemikiran komuniti setempat. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa dan kita harus melihat dari aspek latar belakang keluarga.

Sikap serta mentaliti ibu bapa yang menganggap bahawa bahasa kebangsaan akan menyebabkan mereka kehilangan identiti bahasa asal dan mentaliti inilah yang akan mempengaruhi cara pemikiran anak-anak mereka sehingga membawa mentaliti yang salah apabila mereka mula masuk ke alam persekolahan. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka tidak seharusnya memperkatakan hal-hal sedemikian kerana perkara itu akan menimbulkan masalah kepada anak-anak mereka pada masa akan datang.

Selain itu, cabaran menggunakan bahasa kebangsaan bukan sahaja berpunca daripada faktor murid, persekitaran dan ibu bapa sahaja tetapi faktor rakan sebaya di sekolah juga mempengaruhi kewujudan cabaran ini berlaku. Mengapa faktor rakan sebaya mempengaruhi kewujudan cabaran menggunakan bahasa kebangsaan? Apakah kaitan rakan sebaya dengan bahasa kebangsaan? Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ini merujuk kepada bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar utama dalam sesebuah negara. Bahasa ini juga digunakan oleh media massa, institusi pengajian tinggi, pemerintahan, parlimen, majlis konvokesyen dan upacara rasmi kerajaan. Pendek kata, bahasa kebangsaan ini merujuk kepada Bahasa Melayu. Ini bermaksud warganegara Malaysia harus fasih berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Selain ibu bapa, rakan sebaya merupakan orang kedua yang sangat dekat dengan murid-murid. Pengaruh daripada rakan sebaya ini juga mempengaruhi pemerolehan dan penggunaan bahasa dalam kalangan murid. Apabila murid berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan, murid berkenaan akan diketawakan dan diejek oleh rakan-rakannya. Senario ini bukan sahaja berlaku terhadap murid di sekolah rendah dan menengah malah senario ini turut berlaku di institusi pengajian tinggi. Apabila salah seorang rakan berkomunikasi dengan nawaitu menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan menggunakan bahasa kebangsaan, rakan kelas yang lain akan mengejek dan memperli dia kerana berkomunikasi dalam bahasa yang skema dan membosankan. Senario ini sangat menyedihkan lebih-lebih lagi perkara ini berlaku dalam kalangan guru pelatih sendiri. Pada pandangan saya, walaupun terdapat persamaan budaya di dalam satu kelas atau satu kumpulan, tiada salahnya sekiranya individu itu bertutur dan  menyampaikan maklumat kepada rakan kelas yang lain yang menggunakan bahasa standard. Itu terpulang kepada individu untuk menentukan bahasa yang hendak dia gunakan lebih-lebih lagi kepada bakal guru. Bertitik tolak daripada senario itu, saya percaya bahawa individu yang pernah mengalami senario seperti itu akan mula menjauhkan diri dan kurang bertutur menggunakan bahasa kebangsaan kerana khuatir diejek, dipermainkan dan diperli oleh rakan sebaya. Sikap yang memperlekehkan bahasa yang digunakan, ejekan dan  perlian itu bukan sesuatu yang disenangi oleh kita tetapi budaya negatif seperti itu boleh melukakan hati si penutur serta merenggangkan hubungan sesama mereka walhal si penutur ingin memberikan yang terbaik dalam menyampaikan maklumat kepada rakan yang lain.

Institusi atau bidang pendidikan bukan sahaja melibatkan murid atau ibu bapa, tenaga pengajar juga merupakan satu pihak berwajib dalam bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana, guru atau tenaga pengajar merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam memberikan pengetahuan, pendidikan dan pembelajaran kepada murid-murid. Tenaga pengajar juga tidak lepas dari tempias cabaran menggunakan bahasa kebangsaan ini. Sesi pemudah cara dan pengajaran berlaku bukan sekadar beberapa minggu tetapi ini berlaku sepanjang tahun kepada guru. Setiap pertukaran kelas atau pertukaran tahun, guru berhadapan dengan murid yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Murid juga dikategorikan dalam beberapa kumpulan atau gaya. Ada murid yang pandai, ada murid yang sederhana dan ada juga murid yang lemah di dalam satu bilik darjah. Cabaran semasa mengajar murid-murid dalam tiga kumpulan ini menguji kewibawaan sebagai seorang guru. Lebih-lebih lagi guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Semasa guru mengajar subjek ini, guru tidak boleh menggunakan bahasa yang bercampur-aduk kepada murid-murid. Permasalahan wujud apabila murid yang diajar tidak memahami bahasa yang dizahirkan oleh guru dan lebih menyedihkan murid tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu kerana pengaruh bahasa ibunda atau bahasa dialek yang sangat menebal dalam diri mereka. Saya berpendapat bahawa senario seperti ini memang wujud di setiap sekolah. Pengalaman menjalankan Praktikum Fasa I pada bulan Mac yang lepas telah memberikan satu cabaran buat diri saya kerana murid pemulihan yang saya ajar tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dan memberikan respons serta menjawab pertanyaan saya menggunakan bahasa dialek. Betapa pentingnya pemerolehan bahasa dengan memperkenalkan bahasa kebangsaan kepada anak-anak sewaktu mereka mula bertatih untuk bertutur semasa mereka masih keci dahulu. Sekarang, kesannya lebih parah apabila umur mereka semakin meningkat, kesukaran berbahasa menggunakan bahasa kebangsaan sukar untuk dibendung kerana lidah mereka sudah pelat berkomunikasi menggunakan bahasa dialek.

Selain itu, perbendaharaan kosa kata yang kurang dalam bahasa kebangsaan juga merupakan cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam bidang pendidikan. Terdapat individu yang ingin bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi mereka tidak tahu memilih skema atau istilah yang sesuai untuk diungkapkan. Pembentukan kosa kata yang kurang juga boleh menyebabkan proses komunikasi tidak dapat dijalankan dengan berkesan oleh penutur dan penerima. Penguasaan kosa kata yang  kurang disebabkan kurangnya membaca dalam kalangan masyarakat kita menyebabkan mereka tidak berminat untuk mempelajari bahasa kebangsaan dan menganggap bahasa itu menyusahkan mereka dan sangat leceh. Mereka tidak mampu untuk mengungkapkan bunyi-bunyi bahasa yang sesuai agar semua orang dapat memahami maklumat yang cuba disampaikan oleh mereka.

Dalam menongkah arus globalisasi dan modenisasi ini, cabaran menggunakan bahasa kebangsaan semakin mencabar terutamanya dalam bidang pendidikan.  Kewujudan bahasa-bahasa yang semakin pelik tidak kira dari segi cara bahasa itu digunakan secara lisan atau bertulis semakin berleluasa dalam kalangan murid terutamanya dalam kalangan murid sekolah rendah. Senario yang berlaku ini bukan senario yang positif tetapi satu petanda yang kurang elok dan mampu merosakkan keindahan bahasa kebangsaan itu sendiri sekiranya tidak dibendung.

Bahasa slanga yang sering diungkapkan oleh murid sekolah rendah disebabkan pengaruh remaja yang semakin menggunakan bahasa yang jauh menyimpang daripada bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa slanga yang semakin meruncing dalam kalangan murid akibat pengaruh remaja boleh mempengaruhi penggunaan bahasa dalam menduduki ujian-ujian tertentu. Apabila mereka sendiri tidak mahir dalam menggunakan bahasa kebangsaan tidak kira dalam penulisan, maka ini akan mempengaruhi cara penulisan murid dari aspek susunan ayat, ejaan dan sebagainya. Kecenderungan untuk menulis menggunakan bahasa slanga atau singkatan sangat tinggi dalam kalangan murid. Mereka juga beranggapan bahawa penggunaan bahasa yang indah dan berkesan digunakan dalam pertuturan ialah bahasa moden seperti yang selalu kita dengar dan lihat sekarang sama ada dalam laman sosial seperti facebook, twitter mahupun whatsapp.

Penggunaan laman sosial yang kerap dalam kalangan murid juga mempengaruhi perkembangan dan pemerolehan bahasa mereka. Apabila mereka terdedah kepada bahasa yang kurang sopan atau bahasa moden, maka tidak mustahil mereka akan menggunakan bahasa sedemikian dalam pertuturan mereka. Tambahan, murid-murid mudah terdedah dengan perkara yang pelik-pelik dan menarik minat mereka. Mereka jarang sekali akan menggunakan bahasa yang dianggap menyusahkan diri mereka seperti menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian. Sikap tidak mengendahkan kepentingan bahasa kebangsaan terus menular dalam kalangan mereka sehingga perkara ini menjadi barah yang semakin menular dan memberikan kesan yang sangat buruk serta sehingga satu tahap cabaran ini sukar untuk dibendung dan dirawat oleh pihak-pihak yang tertentu.

Natijahnya, banyak cabaran yang perlu kita tempuhi bersama-sama dalam menggunakan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan terutamanya barisan tenaga pengajar dalam abad ke-21 ini. Cabaran yang timbul ini bukan sahaja menuntut satu pihak sahaja yang memikul tanggungjawab malah cabaran seperti ini harus kita pikul bersama kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Segala sesuatu perkara yang susah akan menjadi mudah dan senang untuk diurus agar cabaran  ini tidak menjadi satu penghalang yang sangat besar dalam bidang pendidikan suatu hari kelak. Bersama-samalah kita berganding bahu dan menyemai semangat jati diri kita terhadap bahasa kebangsaan agar bahasa ini tidak lekang dek panas tidak pudar dek hujan. Oleh yang demikian, peranan semua pihak dalam bidang pendidikan tidak kira guru, murid, ibu bapa atau pihak-pihak kerajaan harus bersatu padu dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Bak kata pepatah masyarakat Iban, ‘dikelala buah ari langgu, dikelala bansa ari jaku’ yang membawa pengertian, “kita mengenali buah semasa ianya sedang berputik dan kita dikenali sebagai satu bangsa melalui bahasanya.”

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1056821
    Visit Today : 8
    This Month : 5074
    Total Visit : 1056821
    Hits Today : 9
    Total Hits : 4338792
    Who's Online : 5
  • Kategori