klikweb

Oleh ABANG PATDELI ABANG  MUHI 

APA-APA yang akan saya garapkan dalam rencana kritikan balas ini, sedikit sebanyak ada hubung kaitnya dengan  pernyataan dua orang penulis Sarawak, dan pernyataan tersebut  telah dipetik oleh salah seorang penolong editor dan disiarkan dalam akhbar nasional tidak berapa dahulu, sekali gus merupakan respons saya kepada kasus integrasi nasional.

Pertama-tama, saya amat tidak bersetuju apabila ada penulis Sarawak yang tanpa berfikir panjang mengatakan bahawa dalam kalangan penulis Sarawak wujud sindrom rendah diri apabila berasa belum mencapai tahap untuk berada dalam kelompok kebangsaan—lantaran itulah, mereka kurang dikenali pada peringkat kebangsaan.

Atas dasar apakah para penulis Sarawak itu dikatakan memiliki sindrom rendah diri, dan adakah pernah dilakukan kajian secara empiris berkaitan dengan korelasi antara sikap rendah diri dalam kalangan penulis Sarawak dengan bilangan mereka yang berkarya pada peringkat kebangsaan? Adakah benar mereka bersikap rendah diri hingga mereka tidak mempunyai keyakinan diri untuk bersaing pada peringkat kebangsaan?

Bagaimana pula dengan penulis seperti Adi Badiozaman Tuah, Jeniri Amir, Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Muhammad, Saie Driss, Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Jais Sahok, Dahiri Saini dan ramai lagi, adakah mereka juga tidak dikenali pada peringkat kebangsaan, dan mempunyai sikap rendah diri untuk bersaing?

Ramai juga penulis Sarawak (selain nama-nama di atas) telah menembusi pelbagai media pada peringkat kebangsaan tanpa perlu bertugas di Semenanjung Malaysia, baharulah dikenali—nama-nama seperti Abdillah SM (arwah), Majuni Palera (arwah), Hajijah Jais, Hipani Alwi, Hazami Jahari, Jaafar Hamdan, Roslan Jomel, Rosani  Hiplee, Jaya Ramba dan Poul Nagang sudah sekian lama berkarya pada peringkat kebangsaan.

Malah, para penulis seperti Abang Saifuddin Abang Bohari dan Radzemah Bolhasaan, sudah beberapa buah novel mereka berada di pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bahkan, ada novel Douglas Jaga dan Abang Saifuddin sudah pun diusahakan penterjemahannya ke bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara.

Entah siapakah gerangan penulis Sarawak yang dikatakan rendah diri itu hingga mereka tidak berkeyakinan diri dan berdaya saing untuk ikut berada dalam kelompok penulis pada peringkat nasional.

Dr Awang Azman pula pernah  mengakui pengarang Sarawak dan Sabah lebih selesa dengan wadah sedia ada bagi menampung karya kreatif dan bukan kreatif. Wadah sedia ada yang dimaksudkan itu ialah media (khususnya surat khabar) yang terdapat di kedua-dua buah negeri itu (lihat Berita Harian, 23 Mac 2010).

Siapakah gerangan pengarang Sarawak yang dikatakan selesa (dengan status quo yang sedia ada) dengan wadah sedia itu? Adakah mereka itu kalangan yang nama-nama mereka dinyatakan di atas atau ada kelompok penulis lain (jika jawapannya ya, maka, perlulah disenaraikan sebahagian daripada nama-nama penulis berkenaan)?

Apa pun, jika para penulis dari Sarawak tidak dikenali mahupun kurang dikenali pada peringkat kebangsaan bukan disebabkan mereka bersikap rendah diri atau selesa dengan wadah yang sedia ada pada peringkat negeri. Mungkin sahaja mereka tidak dikenali atau kurang dikenali atas sebab-sebab yang berikut :

i.   Karya mereka yang disiarkan dalam pelbagai media pada peringkat kebangsaan, tidak dibaca;

ii.  Karya mereka yang disiarkan dalam wadah tempatan sedia ada (yang diedarkan ke agensi-agensi negeri di   Semenanjung  dan  Sabah seperti buletin Jendela Sarawak) juga tidak dibaca, dan disebarkan.

iii. Karya-karya mereka tidak dikritik atau diulas pada peringkat kebangsaan.

iv.  Kurangnya atau tidak ada langsung aktiviti promosi karya-karya mereka.

v.   Ada penulis yang tidak tahu akan cara hendak menyalurkan karya mereka kepada media-media pada peringkat kebangsaan.

Saya kira, tidak ada penulis Sarawak yang tidak ingin karya mereka diterbitkan dan disebarluaskan pada peringkat nasional melalui media-media yang sedia ada yang kononnya “berprestij” dan menjadi piawai kepada tahap kualiti karya penulis itu. Namun, harus dilihat juga keterhadan ruang penyiaran yang dapat ditampung oleh media-media tersebut.

Berapa banyak puisi dan cerpen yang dapat dimuatkan setiap minggu atau bulan oleh majalah atau akhbar yang berkenaan? Bandingkan bilangan penulis di seantero Malaysia dengan ruang penampungan yang disediakan oleh akhbar dan majalah pada peringkat kebangsaan. Selain akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia, dan majalah-majalah serta buletin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, adakah majalah-majalah berbahasa Melayu yang lain diteliti untuk mengenal pasti asal-usul penulisnya?

Peri perlunya seseorang penulis itu dikenali atau tidak, amatlah subjektif sifatnya—adakah, para penulis atau sasterawan yang tulen itu harus menjadi popular seperti penyanyi pop atau bintang filem? Sekiranya ada penulis yang mahu dikenali (secara fitrahnya, setiap orang mahu dikenali), siapakah yang akan memperkenalkannya agar dia dikenali dan menjadi terkenal? Adakah penulis atau sasterawan itu sendiri yang harus “menjual dirinya sendiri” supaya dia dikenali, sekali gus menjadi terkenal?

Harus juga diingat bahawa ada penulis yang mahu dikenali, menjadi terkenal dan popular, dan ada yang tidak mahu menjadi terkenal. Sebab itulah, ada yang menulis dengan nama pena atau samaran (walaupun, ada yang lebih dikenali dengan nama samarannya seperti Kemala, Tongkat Waran dan Amil Jaya) hingga orang tidak kenal akan nama sebenarnya. Bahkan ketika bersua muka dengannya pun orang tidak mengenalinya.

Malah, ada penulis, lantaran mahu menjadi terkenal, sekali gus popular, melakukan pelbagai perkara, baik yang ada kaitan dengan bidang penulisan mahupun tidak—ada yang ikut berdemonstrasi, ada yang menjadi penulis hantu, ada yang menceburi bidang politik, ada yang mogok seni, ada yang menerbitkan buku sendiri, ada yang menjadi ketua persatuan penulis, ada yang suka sekali diwawancarai pihak media, dan ada yang mewujudkan blog sendiri.

Apa pun, sama ada seseorang penulis dikenali atau kurang dikenali pada peringkat nasional, bukanlah sesuatu kasus yang signifikan. Dikenali pada peringkat nasional pula, tidak semestinya akan melonjakkan karya yang dihasilkan oleh seseorang penulis itu. Apa penting sangatkah dikenali pada peringkat nasional?

Pada hemat saya, yang penting signifikan untuk dilakukan, tidak kira sama ada karya itu ditulis oleh penulis dari Perlis hinggalah ke Sabah, karya tersebut dibaca dan dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira dari negeri mana asal-usulnya mereka. Jika karya itu wajar dikritik, kritiklah seadil-adilnya. Jika karya itu wajar diangkat menjadi karya besar, tidak kira siapa penulisnya, angkatlah hingga ke peringkat dunia sekalipun.

Perihal kasus integrasi nasional dalam karya sastera mahupun dalam kalangan penulis pula tidak ada yang harus dirisaukan. Mereka yang namanya penulis, sama ada dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia sudah sekian lama berintegrasi nasional. Lewat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) misalnya, hampir semua persatuan penulis pada peringkat negeri di seluruh Malaysia, sudah bergabung di dalamnya, sekali gus interaksi dan integrasi antara para penulis dari seluruh pelosok tanah air sudah terjalin mesra.

Kegiatan-kegiatan sastera seperti Hari Sastera, Simposium Penulis Pelbagai Kaum, Festival Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum, Dialog Teluk – Brunei, Minggu Penulis Remaja dan puluhan kegiatan yang lain memang tujuan penganjurannya secara implisit dan eksplisit adalah untuk mengintegrasikan para penulis, sekali gus masyarakat di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia melalui aktiviti kesusasteraan.

Penerbitan lebih banyak karya penulis Sabah dan Sarawak dari satu segi memang bagus, khususnya untuk memaknakan kewujudan seseorang penulis kerana lazimnya keberadaan seseorang penulis itu dikaitkan dengan buku yang dihasilkan masing-masing. Namun, dari sisi yang lain, banyak judul buku yang diterbitkan tetapi tidak dibaca, tidak dipromosikan dan tidak terjual, apatah jika tidak sampai kepada masyarakat pembaca yang disasarkan, tidak ada ertinya juga. Kehadiran buku-buku sedemikian, boleh diumpamakan sebagai melukut di tepi gantang—ada tidak menambah, tiada, tidak mengurang.

Bagi penulis tidak timbul soal penulis Sarawak itu rendah diri, dan oleh sebab itu mereka tidak berani untuk bersaing, sekali gus menyebabkan mereka tidak dikenali pada peringkat kebangsaan. Harus diingat bahawa wadah arus perdana pada peringkat nasional untuk menampung karya-karya yang dihasilkan para penulis di seluruh negara adalah terhad—justeru setiap penulis harus bersiap siaga untuk bersaing. Dan, oleh itu setiap penulis tanpa mengira dari negeri mana asalnya mereka, harus memperkukuh daya saing masing-masing serta menghasilkan karya-karya bermutu, dan sesuai dengan keperluan dan kehendak penerbit.

Memang ada beberapa kerat penulis yang berkemungkinan amat rendah tahap daya saing mereka, sekali gus menjadikan mereka rendah diri (dalam kalangan penulis yang baharu, tentunya), namun itu tidak  hanya sekelompok yang kecil sahaja—mereka itu haruslah dibimbing agar mempunyai keyakinan yang lebih tinggi, dan tidak berasa rendah diri, lantas berani menghantar karya masing-masing kepada media arus perdana tanpa terlalu berharap yang karya-karya itu akan terus disiarkan.

Akhirulkalam, para penulis Sarawak, hatta, penulis-penulis Sabah, bukannya rendah diri mahupun mengambil jalan selamat untuk berada dalam kelompok kenegerian (mengungkapkan kembali kata-kata yang pernah diucapkan oleh Jaafar Hamdan, Ketua I, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA)), sebaliknya para penulis Sarawak sudah semakin banyak yang jauh lebih baik pencapaian mereka daripada sesetengah teman penulis dari negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia—sudah ramai penulis Sarawak yang memenangi Hadiah Sastera Perdana, dan sudah ada penulis Sarawak yang menerima SEA Writes Award.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047623
    Visit Today : 1239
    This Month : 30222
    Total Visit : 1047623
    Hits Today : 3866
    Total Hits : 4298668
    Who's Online : 11
  • Kategori