jam3

FASAL 6.12 Tatacara Pengesahan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan menyatakan, iklan mestilah mematuhi akta dan undang-undang yang berkaitan seperti Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 yang terkandung dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 seperti yang berikut:

1. Sesuatu iklan hendaklah dalam bahasa Melayu, sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain.

2. Perkataan-perkataan dan huruf-huruf dalam bahasa Melayu hendaklah diberikan keutamaan dalam warnanya dan di sesuatu kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan-perkataan atau huruf-huruf atau tulisan-tulisan dalam bahasa lain yang digunakan dan saiznya hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam bahasa Melayu.

3. Seseorang tidak boleh mempamerkan atau menyebabkan atau membenarkan dipamerkan mana-mana iklan yang tidak mematuhi paragraf (1) dan (2).

Untuk memenuhi hasrat di atas, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan perkhidmatan Pengesahan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan melalui dua kaedah, iaitu secara dalam talian atau kunjungan ke DBP. Setelah disahkan bahawa bahasa kebangsaan yang digunakan indah, betul dan sesuai dengan gambar yang dipaparkan dalam iklan, pemohon akan memanjangkan permohonan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapatkan kelulusan sebelum iklan boleh dipamerkan atau dinaikkan.

Prosesnya mudah, tetapi sejauh mana pengiklan mematuhinya? Jika diamati iklan yang dipaparkan di atas, tentu kita tertanya-tanya, adakah pengiklan berkenaan sudah mendapat kelulusan daripada DBP atau PBT sebelum mendirikannya.

Ada dua kemungkinan di sini. Pertama, pengiklan mendapat pengesahan bahasa kebangsaan daripada DBP menurut fasal 6.12 perkara 2. Pengiklan juga turut mendapat pengesahan PBT [dalam kes ini Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL)]. Yang terjadi, pengiklan akan mendirikan iklan mengikut cita rasanya kerana denda yang dikenakan oleh DBKL sangat kecil berbanding jika menurunkan iklan dan terpaksa menggantikannya dengan iklan baharu.

Kemungkinan kedua, pengiklan tidak merujuk langsung kepada DBP, sebaliknya berurusan terus dengan DBKL. DBP sebagai pihak pengesah tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengiklan supaya merujuk kepadanya atau mengarahkan pengiklan menurunkan iklan. Pendekatan DBP lebih kepada menegur, menasihat dan mendidik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu berbanding dengan cara menghukum pihak yang tidak menggunakannya dengan betul.

Iklan di atas dinaikkan pada bulan April 2015. Dalam masa yang sama, DBP sedang bertungkus lumus (atas arahan kerajaan) untuk memastikan semua PBT di seluruh negara mengguna pakai bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan.

Iklan tersebut tertegak di Jalan Loke Yew, bersebelahan bangunan DBP. Adakah pihak yang mendirikan iklan tersebut ingin menyindir pihak-pihak tertentu bahawa bahasa kebangsaan tidak ada tempat dalam dunia perniagaan? Tepuklah dada, tanyalah selera.

– Hassan Alias

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050047
    Visit Today : 892
    This Month : 32646
    Total Visit : 1050047
    Hits Today : 4838
    Total Hits : 4309599
    Who's Online : 15
  • Kategori