as

Kasih Bonda: himpunan puisi bersketsa.

Pengulas ADNAN ABD JAMIL

 

Judul : Kasih Bonda – Kampung Paya Kami

Pengarang : Siti Zainon Ismail

Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka

Halaman : 106 halaman

Genre : Puisi

 

Kasih Bonda: Kampung Paya Kami merakamkan catatan kenangan zaman lampau yang penuh keindahan, keseronokan dan suka duka alam kanak-kanak, alam persekolahan, perayaan dan kehidupan kampung yang kian terhakis oleh arus pemodenan.

Penulis memulakan catatan puisinya dengan gambaran Sungai Gombak yang jernih di kampungnya. Ada sebuah jambatan gantung merentangi sungai untuk menghubungkan kampung dengan jalan raya di seberang. Di sungai itulah darah penulis mengalir tatkala neneknya membersihkan uri kelahirannya. Sebuah ilustrasi karya penulis di sebelah puisi menunjukkan orang kampung sedang menyeberang di atas jambatan gantung.

Seterusnya penulis mencatatkan puisi tentang sebuah rumah Melayu – “Rumah Nenek” – yang menjadi tempat mereka sekeluarga berkumpul. Rumah itu mempunyai anjung yang digunakan sebagai tempat kenduri-kendara dan juga ruang untuk jemaah lelaki menunaikan solat. Di halaman rumah, tumbuh subur pokok sukun dan pokok ciku. Alangkah enaknya dapat merasa buah sukun yang empuk direbus, lalu dimakan dengan kelapa parut. Buah ciku yang matang pula, penulis dan nenek petik, bersihkan kulit dan nenek peram di bawah katil. Apabila ciku masak seminggu kemudian, nenek pun membahagi-bahagikan buah kepada cucu-cucunya. Tetapi kini, tiada lagi semua itu – tiada lagi kebun pusaka warisan datuk dan nenek tercinta.

Demikian dua buah puisi yang sarat dengan kenangan silam yang dicatatkan oleh penulis buku ini, Siti Zainon Ismail. Keseluruhannya, terdapat 47 buah puisi yang dibahagikan kepada lima bab. Kisah “Keluarga Kami” dalam Bab Satu mengandungi 10 buah puisi. Bab Dua yang mengisahkan “Halaman Sekolah” mengandungi lapan buah puisi. “Kehidupan Kampung” pada Bab Tiga mengandungi 10 buah puisi, manakala Bab Empat yang terkandung kisah “Mari Bermain” terdapat lima buah puisi. Bab Lima yang merupakan bab akhir dicatatkan 14 buah puisi tentang perayaan.

Memang tidak jemu membaca puisi-puisi dalam buku puisi lakaran ini. Setiap puisi diiringi sebuah lakaran sketsa hasil karya penulis sendiri. Puisinya mudah difahami, apatah lagi apabila disertakan lakaran sketsa yang menggambarkan kisah dalam puisi itu.

Puisi-puisi kisah “Halaman Sekolah” ditulis dengan menarik dan bersahaja. Misalnya, puisi Sebelum Loceng Berbunyi, dicatatkan bahawa penulis dan kawan-kawannya datang ke sekolah awal, sebelum pukul 7.00 pagi. Di halaman sekolah, mereka mengutip daun meranti yang luruh dan menyapu sampah di dalam bilik darjah. Walaupun di sekolah ada tukang kebun, tetapi pesan cikgu, lebih baik murid yang melakukan kerja itu sebelum mula belajar. Apabila laman bersih, udara pun segar, dan murid akan cepat pintar. Tetapi, kata penulis, murid lelaki hanya mahu bergaya, hanya melihat mereka bekerja, atau hanya bermain guli di laman.

Dalam puisi Surau Tinggi Kami, penulis dan rakan ke sekolah sebelah pagi, dan petang pula belajar mengaji di sebuah surau. Surau itu terletak di seberang sungai. Mereka menyeberang melalui jambatan gantung, berhati-hati. Sewaktu belajar membaca alif ba ta, ada murid yang main-main dan ustaz pun marah. Apabila tiba bab fiqah, tentang hadas kecil dan hadas besar, murid lelaki main-main buat kelakar. Padahnya, mereka kena rotan dengan ustaz. Bagi penulis, dia sangat suka dengan tulisan kaligrafi. Dengan menggunakan dakwat dan lidi, ustaz mengajar penulis tulisan kaligrafi gaya kufi.

Apabila peperiksaan selesai, diadakan sukan di sekolah. Penulis yang ditempatkan dalam “rumah kuning” masuk ke padang bersama-sama rakan bagi acara lari dalam guni. Sebaik sahaja wisel permulaan ditiup, penulis berlari pantas dan memasukkan kaki ke bahagian bucu guni. Dia melompat dan berlari. Tersalah lompat, penulis jatuh terguling. Penulis bangun dan berlari lagi, dan hanya mendapat tempat ketiga. Dia mendapat hadiah pingat, lalu digantung di leher. Neneknya turut gembira dan menggalakkan penulis terus bersukan supaya tubuh dan akal sentiasa sihat. Kesihatan yang baik membolehkan penulis belajar dengan sempurna dan akhirnya dapat mencapai cita-cita dan berjaya dalam kehidupan.

Penulis dan adik-beradik berasa seronok menjelang hari raya. Kisah ini terakam dalam puisi Bakar Kuih Baulu. Mereka berebut mendapatkan bahagian kepala kuih baulu yang nenek bakar. Kuih baulu berbentuk ikan dan udang memang menjadi tradisi dahulu. Baulu dibakar dalam bekas tin minyak yang dibelah dua. Dalam bekas itu diisi pula pasir. Bahan bakarnya ialah sabut kelapa.

Membaca Kasih Bonda: Kampung Paya Kami, ada rasa menggores hati. Seperti kata penulis, mengingati detik lalu, ada ingatan jauh yang semakin menghimbau. Pembangunan kota yang pesat mengubah rupa masa lalu. Gaya kehidupan kota semakin canggih dan membuatkan penulis sentiasa berfikir bahawa kemungkinan dia akan menjadi fakir di bumi sendiri. Pemuda kampung tidak lagi dapat membezakan antara kuali dengan kawah. Air Sungai Gombak yang jernih dahulu, kini berkeladak, tohor dan kotor. Ikan sebagai hasil tangkapan untuk dibuat lauk jangan diharapkan lagi. Ingatan penulis juga kembali menghimbau Jalan Ampang, Kampung Baru, Batu Road, Melaka Street atau Malay Bazar.

Walaupun Kasih Bonda: Kampung Paya Kami sebuah antologi puisi, namun membacanya umpama mengikuti sebuah autobiografi yang penuh nostalgia. Kenangan yang hanya tinggal sisa untuk terus diingati penyair pelukis ini tidak mungkin kembali lagi. Karya simbolik Siti Zainon ini menghimpunkan khazanah kampungnya yang kini kian hapus ditelan masa.

ADNAN ABD JAMIL

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048960
    Visit Today : 1278
    This Month : 31559
    Total Visit : 1048960
    Hits Today : 4352
    Total Hits : 4303398
    Who's Online : 11
  • Kategori