Pengulas ADNAN ABD JAMIL

buku 2 (edit)

Tajuk Buku     :           Pengurusan Sumber Manusia: Perspektif Modal Insan

Pengarang      :           Ibrahim Mamat dan Zaiton Hassan

Terbitan          :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre              :           Umum

Halaman         :          277 halaman

Malaysia kini sedang menghadapi proses transformasi yang kompleks dan semua pihak terlibat dalam proses tersebut memerlukan sokongan dan pemahaman yang jelas tentang pelbagai aspek perubahan. Biasanya, proses perubahan sosial atau transformasi masyarakat bermula daripada organisasi formal yang beroperasi dalam masyarakat setempat. Organisasi ini menjadi contoh dan pemangkin kepada perubahan masyarakat seterusnya.

Pengurusan sumber manusia pada abad ke-21 semakin mencabar. Para pekerja di Malaysia diharap akan dapat memainkan peranan sebagai pekerja berpengetahuan dan mempunyai daya saing pada peringkat global. Sejajar dengan hal ini, ilmu pengurusan sumber manusia perlu diperkemas lagi dengan cara menambah baik konsep pengurusan personel yang telah lama diguna pakai oleh organisasi di Malaysia. Pengurusan sumber manusia kini dilengkapi dengan pelbagai teori motivasi dan kognitif untuk membangunkan para pekerja.

Bagi memenuhi kehendak ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan sebuah buku berjudul Pengurusan Sumber Manusia yang ditulis oleh Profesor Dr. Ibrahim Mamat dan Zaiton Hassan. Profesor Dr. Ibrahim berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang sumber manusia dari Cornell University, sementara Zaiton berkelulusan sarjana dalam bidang psikologi organisasi dari University of Hertfordshire, United kingdom.

Buku ini dimuatkan dengan perkara yang sering diambil berat oleh pengamal dan pengurus sumber manusia. Tajuk-tajuk yang dibincangkan merupakan bidang tanggungjawab mereka dalam mengurus sumber daya manusia dalam sesebuah organisasi.

Di samping itu, buku ini memuatkan juga amalan dan perkembangan terbaharu dalam bidang pengurusan sumber manusia. Semua teori, idea dan amalan sumber manusia dijelaskan dalam bentuk yang mudah difahami, disokong dengan contoh, kes, gambar rajah, carta dan pelbagai bentuk ilustrasi lain. Teras perbincangan untuk setiap perkara tertumpu pada pengurusan sumber manusia atau kakitangan sesebuah organisasi secara kreatif dan berkesan. Penulis mengetengahkan unsur kebudayaan tempatan dalam mengurus sumber terpenting ini.

Buku yang mengandungi lapan bab ini dimulakan dengan Bab 1: Konsep Pengurusan Sumber Manusia. Bab ini tertumpu pada perkara asas pengurusan sumber manusia seperti pengertian, sejarah dan perbezaannya dengan pengurusan personel, sumbangan, peranan dan model. Sejarah pengurusan sumber manusia tidak diketahui dengan tepat, malah tidak wujud pada zaman revolusi industri kerana pada masa itu terlalu sedikit pekerja yang terlibat dalam pekerjaan industri.

Fungsi utama pengurusan sumber manusia diterangkan dalam Bab 2: Analisis Kerja, bagi memahami kandungan setiap jawatan yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi. Pengurus sumber manusia berperanan membuat analisis terhadap semua jawatan. Deskripsi dan spesifikasi kerja merupakan dua produk yang terhasil daripada proses kerja. Contoh analisis kerja bagi jawatan seorang ketua pegawai eksekutif menjelaskan secara terperinci tentang kedua-dua produk ini.

Tumpuan kepada satu proses meneliti keperluan sumber manusia untuk sesebuah organisasi diterangkan dalam Bab 3: Perancangan Sumber Manusia. Kepentingan merancang sumber manusia dijelaskan melalui analisis kes sebuah bank yang tidak membuat perancangan sumber manusia. Proses perancangan sumber manusia mempunyai empat aktiviti utama, iaitu membuat ramalan tentang permintaan sumber manusia, membuat unjuran pembekalan, menyelaras perbezaan antara kedua-duanya dan membentuk pelan sumber manusia.

Dalam Bab 4: Pengrekrutan dan Pemilihan diterangkan tentang usaha awal bagi menggalakkan calon memohon sesuatu pekerjaan. Calon ini datang daripada dua sumber, iaitu dari dalam dan dari luar organisasi. Dalam tajuk ini juga terdapat perbincangan tentang pelbagai teknik pengrekrutan. Setelah menerima permohonan, proses pemilihan dimulakan. Cara pemilihan yang paling popular ialah menerusi temu duga. Terdapat juga teknik pemilihan lain yang dicadangkan oleh penulis bagi menambah baik kelemahan yang terdapat pada teknik temu duga.

Bab 5: Pembangunan Sumber Manusia merupakan bab yang paling lengkap kerana membincangkan lima komponen utama pembangunan sumber manusia. Lima komponen tersebut ialah latihan; pendidikan dan pembangunan kerjaya; kaunseling organisasi; pembangunan organisasi dan organisasi pembelajaran.

Penilaian Prestasi Kerja dalam Bab 6 membincangkan proses penilaian prestasi yang mempunyai beberapa langkah tertentu yang biasanya berubah mengikut sistem yang diguna pakai oleh organisasi yang berkaitan. Turut diterangkan tentang kaedah penilaian prestasi, masalah dan cara mengatasinya.

Bab 7 membincangkan definisi dan klasifikasi dalam tajuk Pengurusan Pampasan dan Faedah. Bab ini juga membincangkan pelbagai mekanisme untuk menentukan skim pampasan dan faedah untuk pekerja. Diterangkan pendekatan baharu sistem pampasan seperti pembentukan gred gaji jalur lebar, ganjaran berubah dan gaji berasaskan kemahiran. Tiga contoh pengiraan pampasan menggunakan model produktiviti diberikan bagi mengira penetapan jumlah ganjaran berasaskan produktiviti. Selai itu, dibincangkan juga kebaikan dan kelemahan yang wujud dalam skim gaji minimum dak kesannya kepada pekerja, majikan dan kerajaan.

Pada bab akhir, penulis menumpukan perhatian kepada Sistem Maklumat Sumber Manusia yang dianggap penting bagi memastikan sumber ini diuruskan secara berkesan bersesuaian dengan era digital kini. Sistem maklumat ini mempunyai fungsi pengurusan tradisional iaitu mengurus maklumat rutin, dan kontemporari, iaitu sistem layan diri. Kedua-dua fungsi ini berupaya menyimpan rekod dan mengintegrasikan maklumat kompleks yang digunakan untuk membantu pembuatan keputusan pengurusan.

Melihat kepada kandungan buku ini, ternyata ia sangat sesuai unutk rujukan pengurus dan pengamal pengurusan sumber manusia, pentadbir dan penyelia dalam sesebuah organisasi dan pelajar dalam bidang pengurusan sumber manusia pada peringkat ijazah pertama dan sarjana. Sesuai juga untuk kegunaan pelajar dan sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi penjawat awam dalam bidang pengurusan.

 Para pengamal bidang lain seperti pendidikan, perniagaan, kesihatan, pentadbiran awam dan institusi sukarela pun digalakkan membaca buku ini. Pekerja yang menjadi pengurus pekerja lain dapat menjadikan buku ini sebagai panduan untuk menjadikan pekerja seliaannya yang terbaik dan menghasilkan kerja atau mengeluarkan produk yang lebih bermutu.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047394
    Visit Today : 1010
    This Month : 29993
    Total Visit : 1047394
    Hits Today : 2808
    Total Hits : 4297610
    Who's Online : 10
  • Kategori