Oleh Adnan Abd Jamil

Setiap tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, berusaha membimbing dan melahirkan generasi baharu dalam bidang penulisan kreatif. Program sistematik selama seminggu ini bermula pada tahun 1985 hasil ilham tokoh-tokoh yang tidak asing lagi di DBP ketika itu, seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Encik Abdul Ahmad dan Encik Ali Majod (Allahyarham).

Peserta bergambar bersama-sama Ketua Pengarah DBP

Para pembimbing, peserta bergambar bersama-sama Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP.

Sehingga kini, Minggu Penulis Remaja (MPR) telah berjaya melahirkan para penulis terkenal dalam dunia penulisan kreatif. Antaranya, termasuklah Lily Haslina Nasir, Zaen Kasturi, Faisal Tehrani, Ahmad Patria Abdullah, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Shamsudin Othman, Salina Ibrahim, dan S.M. Zakir.

Pada tahun ini, sekumpulan lagi remaja dipilih untuk dibimbing dalam program MPR 2015. Seramai 27 orang peserta yang berusia antara 16 hingga 22 tahun ini dipilih berdasarkan minat dan kecenderungan mereka dalam bidang penulisan kreatif. Setiap peserta pernah menghasilkan karya kreatif sama ada cerpen atau puisi dan telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa.

Selama enam hari, para peserta berkampung di Cherengin Hills Resort & Spa, Janda Baik, Pahang. Mereka diberikan bimbingan dan pendedahan dalam karya sastera kreatif oleh penulis yang juga mantan peserta MPR. Salina Ibrahim (MPR 1991) mencurahkan ilmu dan pengalamannya dalam genre cerpen, manakala Dr. Shamsudin Othman (MPR 1986) mengongsi ilmunya dalam genre puisi.

1

Antara peserta MPR yang khusyuk mendengar ceramah daripada pembimbing.

Pengetahuan baharu yang diterima tentu sahaja sangat bermanfaat untuk diaplikasikan. Apatah lagi, ilmu tersebut dicurahkan oleh guru yang pakar dalam bidangnya. Dr. Shamsudin berkongsi dua teknik mudah menghasilkan puisi, iaitu teknik peta minda dan teknik adaptasi. Beliau menggalakkan para peserta saling bertukar-tukar idea dan pendapat dalam memberikan kritikan kepada karya peserta lain.

Dr. Shamsudin sedang memberi bimbingan ekpada peserta MPR.

Dr. Shamsudin Othman mengongsi ilmunya dalam genre puisi.

Sesebuah cerpen seharusnya dapat memberikan kesan emosi kepada pembaca. Inilah yang disampaikan oleh Salina Ibrahim sewaktu membedah karya para peserta bagi mendapatkan karya yang mantap dan berkesan.

Sementara itu, para peserta juga berpeluang kerana mendapat bimbingan penulisan rencana daripada Encik Abd Ghani Abu. Sebagai mantan Editor Dewan Siswa dan Dewan Budaya, pengalaman beliau dalam penulisan rencana –  tentang gaya dan laras bahasa melalui lima jenis emosi –  dikongsi dengan para peserta.

Para peserta MPR tahun ini bertuah kerana dapat mengenali dengan lebih dekat Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan sewaktu Sesi Bersama-sama Tokoh. Kata-kata perangsang dan ilmu yang dicurahkan oleh beliau dapat dijadikan panduan bagi peserta menghasilkan karya yang lebih baik.

9

MPR merupakan ruang terbaik bagi para peserta mendapatkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang penulisan kreatif. Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat menaikkan semangat para peserta bagi menghasilkan karya kreatif yang lebih mantap dan bernilai. Sesungguhnya, program ini merupakan usaha DBP yang terbaik dalam melahirkan pelapis karyawan sastera.

Ruangan Maklum Balas ditutup.

  • Arkib

  • Statistik

    1053196
    Visit Today : 141
    This Month : 1449
    Total Visit : 1053196
    Hits Today : 284
    Total Hits : 4323802
    Who's Online : 17
  • Kategori