Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

MAJLIS pelancaran buku dan forum “Veteran Tentera dan Polis: Patriotisme Nan Membara” telah diadakan pada 5 Februari 2015, di Dewan Bestari, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan.

pelancaran buku tentera

YB Datuk Abdul Rahim Bakri melancarkan empat buah buku terbitan DBP.

Sebanyak empat buah buku telah dilancarkan, iaitu Pahlawan Tegar Merdeka, Ketenteraan dan Peperangan, Sejarah Perisikan di Malaysia dan Senjata Nuklear: Rahsia dan Bahana.

tandatangan mou

Majlis penandatanganan memorandum persefahaman antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan UPNM,

Pada hari tersebut juga diadakan majlis penandatanganan memorandum persefahaman antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan UPNM, iaitu kerjasama menerbitkan buku yang berkaitan hal ketenteraan dan pertahanan negara.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohamed Fadzil bin Che Din, Timbalan Naib Canselor UPNM. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pertahanan, DBP, para ahli forum dan semua yang menjayakan majlis tersebut. Beliau berharap forum ini menjadi permulaan dalam usaha menggerakkan elemen patriotisme, terutamanya di kampus UPNM.

KP

YBhg. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan menyampaikan ucapan.

Seterusnya diikuti ucapan oleh YBhg. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP. Dalam ucapannya, beliau berharap penerbitan empat buah buku ini dapat membangkitkan semangat berkarya dalam kalangan warga UPNM sekali gus memperkayakan bahasa kebangsaan.

Menurut beliau lagi, dengan adanya program penerbitan berpakej DBP, UPNM dapat menyumbangkan sesuatu yang penting dalam usaha untuk memperkenalkan dan mendedahkan kehidupan alam tentera dan episod penting ketika mempertahankan negara.

“Melalui forum yang diadakan ini, golongan muda dapat menghayati jejak-jejak perjuangan pahlawan negara mempertahankan negara dan meneruskan semangat juang mereka,” kata beliau lagi.

Datuk Dr. Haji Awang turut berkata, DBP akan membimbing mereka yang ingin menulis melalui kursus penulisan yang akan diadakan bagi tenaga pengajar UPNM dan mahasiswa.

TMPM

YB Datuk Abdul Rahim Bakri menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam ucapannya Datuk Abdul Rahim berkata, semangat patriotisme amat penting demi mempertahankan negara daripada penjajahan dan tekanan kuasa-kuasa asing.

Menurut beliau lagi, generasi muda perlu diberi pemahaman yang jelas akan erti kemerdekaan dan dihayati, bukan sekadar melihat tinggalan kemerdekaan sebagai bahan sejarah. Kejayaan kemerdekaan yang dicapai perlu dilihat dari perspektif pengorbanan diri terhadap negara.

“Pemahaman terhadap merdeka harus diterjemahkan dengan makna yang jelas dalam upaya memimpin generasi muda,” tegas beliau lagi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada DBP kerana telah menerbitkan pelbagai buku yang berkaitan dengan tokoh tentera dan perjuangan. Beliau berharap DBP akan terus menerbitkan buku yang dapat meningkatkan patriotisme dalam kalangan masyarakat. Datuk Abdul Rahim juga meminta veteran tentera dan polis melakarkan pengalaman untuk dijadikan iktibar oleh generasi yang akan datang.

forum

Forum “Veteran Tentera dan Polis: Patriotisme Nan Membara”

Forum “Veteran Tentera dan Polis: Patriotisme Nan Membara” menampilkan lima orang ahli panel, iaitu Laksamana (B) Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar Haji Mohd Nor (Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia), Prof. Dr. Hassan Yusoff (Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia), Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam (Ahli Akademik-Sejarawan), Leftenan Kolonel (B) Haji Robert Rizal Abdullah (penerima anugerah Pahlawan Gagah Berani) dan DSP (B) Mohd Noor Razak (Veteran Komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia).

Bagi mengakhiri majlis pada hari tersebut, ucapan penutupan telah disampaikan oleh Leftenan Kolonel (B) Felo Utama Ahmad Ghazali Abu Hassan, Pengarah, Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, UPNM.

Sesungguhnya, forum seperti ini perlu diteruskan bagi menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda. Penerbitan buku patriotisme juga perlu diperbanyak, sekali gus menambahkan bilangan buku dalam bidang ketenteraan dan kepolisan di Malaysia, khususnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051666
    Visit Today : 979
    This Month : 34265
    Total Visit : 1051666
    Hits Today : 3170
    Total Hits : 4317631
    Who's Online : 8
  • Kategori