Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

Pada 22 Januari 2015 yang lalu, bertempat di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) telah diadakan Sidang Sehari Adat Perpatih yang bertemakan ‘Memelihara dan Memulihara Adat Demi Bangsa’. Dalam sidang sehari ini, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia telah menyampaikan ucap utamanya. Sidang ini merupakan anjuran JKKNNS dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Warisan Negara, JKKN, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, IPGKRM dan PEN.

Ucapan alu-aluan oleh Encik Abang Patdeli bin Abang Muhi, Pengarah Wilayah Tengah DBP

Ucapan alu-aluan oleh Encik Abang Patdeli bin Abang Muhi, Pengarah Wilayah Tengah DBP

Antara tujuan utama diadakan sidang ini ialah membina dan membangunkan ilmuwan bangsa melalui kegiatan wacana persuratan dan kebudayaan. Di samping itu, memugar dan menyegarkan kepedulian dan kecintaan dalam kalangan masyarakat tentang peri pentingnya memelihara serta memulihara adat yang sejagat sifatnya sebagai warisan bangsa yang lestari melalui kegiatan ilmu.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Encik Abang Patdeli bin Abang Muhi, Pengarah Wilayah Tengah DBP yang mewakili Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim atas kesudian beliau menyampaikan ucap utama dalam Sidang Sehari Adat Perpatih 2015.  Beliau menyatakan bahawa majlis tersebut merupakan majlis yang julung-julung kali dilaksanakan oleh DBP dalam memulihara dan memelihara Adat Perpatih.

“Kami (DBP), berharap agar program ini dapat menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap adat, budaya sesebuah negeri,” kata beliau.

Ucapan sambutan oleh Encik Mohd Razi Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN

Ucapan sambutan oleh Encik Mohd Razi Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN

Ucapan sambutan pula disampaikan oleh Encik Mohamad Razy Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN. Beliau yang merupakan wakil Ketua Pengarah JKKN berkata, “adalah menjadi tanggungjawab kami dalam memupuk, menyemarakkan dan memperkasakan budaya seterusnya memastikan Adat Perpatih tidak terpinggir dalam globalisasi moden, terutamanya dalam kalangan generasi muda.” Beliau juga berkata, JKKN akan sentiasa bekerjasama membantu pihak-pihak lain dalam melaksanakan program pembangunan, terutamanya dalam memperkasakan bahasa dan sastera.

Seterusnya, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia dalam ucap utamanya, ‘Memelihara dan Memulihara Adat Demi Bangsa’, berpendapat, adat merupakan sebahagian daripada jiwa orang Melayu lama, dan ia mula bertapak sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu.

YBhg. Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia menyampaikan ucap utama.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia menyampaikan ucap utama.

Dalam mengekalkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, beliau amat berharap agar semua pihak bersatu. Dalam suku, buapak perlu ada kesefahaman yang baik,  bekerjasama. “Di sekolah, sediakan ruang dan masa pembelajaran tentang adat dan budi untuk membimbing anak-anak agar mereka kenal dan tahu apa itu adat, budi, Adat Perpatih dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau turut meminta JKKN, DBP dan Muzium bekerjasama mengadakan program budaya dan kesenian adat, serta mewujudkan sukatan adat untuk luak-luak di Negeri Sembilan. “Bersama-samalah kita bersatu dan berjaya dalam seni, budaya dan adanya semangat kekitaan sesama kita,” tegas beliau.

“Sekiranya Melayu mahu selamat, amalkan budi dalam adat, generasi muda perlu diajar tentang budi.” tegas beliau.

Sesi Pembentangan kertas kerja oleh para pembentang dalam Sidang Sehari Adat Perpatih 2015

Sesi pembentangan kertas kerja oleh para pembentang dalam Sidang Sehari Adat Perpatih 2015

Dalam Sidang Sehari Adat Perpatih 2015, sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli panel. Antaranya ialah, YBhg. Prof. Gusti Asnan, Profesor Dr. Azizah binti Kassim, Profesor Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli bin Saludin, Encik Kamarul bin Ibrahim, Puan Nisah Haron dan Puan Hajah Mahaya binti Mohd Yassin.

Semoga program seperti ini akan diteruskan, demi memelihara dan memulihara adat sesebuah negeri, seterusnya dapat melestarikan budaya sesuatu bangsa dan menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap seni dan budaya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052178
    Visit Today : 431
    This Month : 431
    Total Visit : 1052178
    Hits Today : 1411
    Total Hits : 4319357
    Who's Online : 13
  • Kategori