Oleh ZAIDI ISMAIL

Pada 20 dan 21 Januari lalu, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2015 yang bertemakan “Pelestarian dan Perekayasaan Bahasa”. Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Hajah Nik Safiah Karim, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hajah Nik Safiah menyatakan bahawa peradaban bangsa yang gemilang sejak zaman-berzaman seharusnya dijadikan sebagai pegangan untuk mencapai kemajuan, agar bangsa kita tidak lemas dalam arus bahasa antarabangsa lain.

slik 3

Prof. Emeritus Datuk Dr. Hajah Nik Safiah, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) merasmikan Seminar Linguistik Kebangsaan 2015.

Tegasnya lagi, “Kemajuan sesuatu bangsa bukan semata-mata bergantung pada kepetahan berkomunikasi dengan bahasa antarabangsa lain, tetapi juga harus berlandaskan adunan modal intelek bertunjangkan budaya sendiri, yang tercakup dalam konsep pelestarian dan perekayasaan bahasa. Usaha menjadikan bahasa Melayu benar-benar kaya dengan khazanah ilmu perlu dijadikan agenda utama dalam rangka perancangan mendatang agar kekuatan tamadun kita dapat ditingkatkan. Sesungguhnya, tamadun tanpa tradisi ilmu yang kuat tidak akan mampu bertahan lama.”

slik 2

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Presiden PLM, menyampaikan ucap utama.

Seterusnya, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Presiden PLM dalam ucap utamanya, “Pelestarian dan Perekayasaan Bahasa: Mendakap Khazanah Menenun Inovasi”,  menegaskan bahawa tiga pihak berkepentingan, iaitu masyarakat, penyelidik, dan pembuat dasar perlu saling memahami tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pemersatuan serta bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara bangsanya. Penerimaan oleh semua pihak akan membolehkan usaha merekayasa bahasa terus berlaku demi melestarikan bahasa Melayu agar terus relevan.

slik 4

Antara panel yang membentangkan kertas kerja dalam SLiK 2015.

Dalam seminar tersebut, sebanyak 50 kertas kerja pelbagai bidang telah dibentangkan oleh penyelidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi, antaranya termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

SLiK 2015 merupakan seminar yang julung kalinya dianjurkan oleh PLM dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP serta UKM untuk menghimpunkan penyelidik bahasa di Malaysia dalam satu pertemuan nasional bagi bertukar-tukar fikiran dan berkongsi wawasan ilmiah tentang penyelidikan terkini masing-masing. Topik-topik yang dibincangkan berkaitan dengan pelbagai cabang linguistik, seperti fonetik, fonologi, morfologi, analisis wacana, dan falsafah bahasa.

slik 6

Sesi forum, “Kearifan Tempatan dalam Konteks Pelestarian dan Perekayasaan Bahasa Melayu”.

Sebelum majlis ditangguhkan, diadakan sesi forum, “Kearifan Tempatan dalam Konteks Pelestarian dan Perekayasaan Bahasa Melayu”. Ahli panelnya terdiri daripada Prof. Madya Abdul Razak Karim, Akademi Pengajian Melayu UM; Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Fakulti Sains UPM; dan Tuan Haji Mohd. Yusuf Abdullah, Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Sidang forum dipengerusikan oleh Prof. Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049477
    Visit Today : 322
    This Month : 32076
    Total Visit : 1049477
    Hits Today : 1990
    Total Hits : 4306751
    Who's Online : 19
  • Kategori