Oleh NORLIZA OMAR

SETIAP kali berlakunya bencana alam, tidak kira sama ada banjir atau sebagainya, staf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan. Pada kali ini, misi sukarelawan DBP pascabanjir yang diketuai oleh Encik Azman bin Mohamad Tahir, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan DBP telah memilih tiga destinasi di Temerloh, Pahang iaitu Sekolah Rendah Agama At-Taqwa, Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang dan Surau Kampung Paya Kechik.  Pemilihan ini berdasarkan laporan yang diterima dari Ibu Pejabat Daerah Temerloh, Pahang.

Pada 10 Januari 2015, sukarelawan DBP bergerak ke Temerloh, Pahang dengan dua buah bas, van dan lori. Selain warga Sukarelawan DBP seramai 86 orang, turut serta dalam gerakan misi ini ialah Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP, Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datin Hajah Jaminah binti Hashim, Pengerusi Puspanita DBP, kumpulan Gapena dan Panglima Facilities Management Sdn. Bhd.

Kumpulan Sukarelawan DBP bantuan Pascabanjir 2015

Kumpulan sukarelawan DBP bantuan pascabanjir 2015.

Pihak pengurusan dan warga DBP menghulurkan bantuan berupa wang tunai, barangan keperluan harian, barangan elektrik, pakaian, sejadah, telekung, al-Quran dan sebagainya untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

Selain itu juga, sumbangan berbentuk hiasan landskap seperti pokok bunga dan pokok buah-buahan turut disumbangkan kepada pihak sekolah bagi mencantikkan lagi sekolah tersebut. DBP juga turut menyediakan barang-barang keperluan untuk tugas-tugas pembersihan dan mengecat bangunan.

Antara barangan yang disumbangkan oleh pihak DBP kepada sekolah.

Antara sumbangan dari Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mangsa banjir.

Destinasi pertama sukarelawan DBP ialah Sekolah Rendah Agama At-Taqwa. Sekolah ini telah diasaskan oleh Encik Mohd Khairudin bin Yaakob pada 3 Januari 1996. Pada permulaannya sekolah ini hanya menumpang bangunan Pasti Al-Marjan, Kampung Paya Kechik, Temerloh. Pada tahun 2001, sekolah ini telah berpindah ke tapak baharu yang telah diwakafkan oleh Almarhum Tuan Haji Alias, salah seorang penduduk Kampung Paya Kechik. Keluasan kawasan sekolah ini lebih kurang 4 1/3 ekar. Sekolah ini telah didaftarkan dalam projek SABK Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2006. Kini, Sekolah Rendah Agama At-Taqwa mempunyai  seramai 259 orang murid dan sering menjadi pilihan utama penduduk untuk menempatkan anak-anak mereka.

banjir lagi resize

Salah seorang sukarelawan DBP melakukan pembersihan di dalam kelas Sekolah Rendah Agama At-Taqwa.

Ketibaan sukarelawan DBP disambut mesra oleh guru besar dan guru-guru sekolah tersebut. Sayu hati apabila melihat keadaan di sekitar sekolah yang musnah ditenggelami air. Tidak terucap dengan kata-kata apabila melihat keadaan sekolah dan dalam diri sukarelawan masing-masing bersemangat untuk memperbaiki dan mencantikkan semula sekolah tersebut. Pihak Sukarelawan DBP dimaklumkan bahawa sekolah tersebut mula dinaiki air pada 24 Disember 2014. Banjir tersebut telah menenggelamkan bangunan sehingga menutupi bumbung sekolah.

banjir ok resize

Keadaan di sekitar sekolah selepas dilanda banjir.

Misi sukarelawan kali ini lebih tertumpu kepada pembersihan kawasan sekolah dan surau, mengecat bangunan dan memasang alat siar raya. Selain Sukarelawan DBP, terdapat pihak lain bersama-sama menyumbangkan tenaga iaitu beberapa buah organisasi bukan kerajaan dari Selangor dan pelajar-pelajar dari universiti swasta.  Kerja-kerja mengecat bangunan dibahagikan kepada empat kumpulan, iaitu tiga kumpulan mengecat bangunan dan satu kumpulan lagi mengecat pagar dan pondok pengawal. Sukarelawan yang lain membersihkan kawasan di dalam dan luar sekolah, termasuk surau.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP turut sama-sama membantu membersihkan kawasan sekolah.

Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin (kiri) turut bersama-sama membantu membersihkan kawasan sekolah.

 

BANJIR 7

Kerja-kerja mengecat di luar pagar sekolah.

Selain kerja-kerja membersih dan mengecat bagunan, DBP juga turut menyumbangkan peralatan siar raya kepada Surau Kampung Paya Kechik. Kerja pemasangan dikendalikan oleh petugas teknikal DBP. Bagi Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang pula, DBP turut menyumbangkan wang tunai, barangan elektrik, barangan keperluan harian, sejadah dan sebagainya yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah DBP.

Ketua Pengarah DBP dan En Azman Ketua misi sukarelawan DBP turut sama-sama membantu mengangkat mesin basuh  untuk diserahkan kepada Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang.

Datuk Dr. Haji Awang Sariyan dan Encik Azman Mohamad Tahir yang merupakan ketua misi sukarelawan DBP turut bersama-sama mengangkat mesin basuh untuk diserahkan kepada Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang.

 

Ketua Pengarah DBP menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang

Datuk Dr Haji Awang Sariyan menyampaikan sumbangan kepada Al-Fadil Ustaz Haji Wahid Ghaffar bin Haji Ibrahim al-Hafiz, Pengetua/Mudir Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah semangat yang ada dalam diri setiap individu termasuklah sukarelawan DBP dalam menghulurkan sumbangan dan tenaga tanpa mengira penat dan jemu. DBP berharap, Sekolah Rendah Agama At-Taqwa, Maahad Tahfiz Al-Amin, Berhala Gantang dan Surau Kampung Paya Kechik beroleh manfaat atas sumbangan yang diberikan. Semoga anak-anak yang lahir dari sekolah tersebut mendapat  ilmu yang berguna dan menjadi pelajar yang berjaya pada masa akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052405
    Visit Today : 658
    This Month : 658
    Total Visit : 1052405
    Hits Today : 3011
    Total Hits : 4320957
    Who's Online : 14
  • Kategori