oleh ADNAN BIN ABD JAMIL

Arau merupakan sebuah Bandar Diraja kerana di sini terletak Istana Arau sebagai istana rasmi Raja Perlis. Istana Arau yang berbumbung merah terletak berdekatan dengan Masjid Negeri Perlis. Di sini juga terletak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Tidak hairanlah, Arau turut dikenali sebagai Bandar Ilmu. Penulis meninjau persekitaran Arau sambil memperhatikan penggunaan bahasa papan tanda premis perniagaan di daerah tersebut.

“Q Motel” dan “Poh Yen Fesyen” sepatutnya mengikut cara penulisan “Motel Arau” yang menggunakan Hukum D-M yang tepat. Dalam bahasa Melayu, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti atau kata utama yang harus didahulukan daripada perkara yang menerangkannya (M). Bagi premis tersebut, perkataan “motel” dan “fesyen” merupakan kata utama yang perlu ditulis di hadapan. Jadi, nama premis yang betul mengikut Hukum D-M ialah “Motel Q” dan “Fesyen Poh Yen”.

3

“Q Motel” dan “Poh Yen Fesyen” sepatutnya mengikut cara penulisan “Motel Arau” yang menggunakan Hukum D-M yang tepat.

Terdapat kesalahan ejaan pada papan tanda nama dua buah kedai dan iklan pada kain rentang ini, “Perabut Maju Jaya”, “Perdagangan Perabut Huat” dan “Promosi Jualan Perabut”. Perkataan “perabut” sepatutnya dieja “perabot”. Kekeliruan ejaan berlaku kerana kebanyakan pengguna bahasa Melayu menggantikan huruf “o” dengan huruf “u”. Hal ini dianggap betul apabila pengguna mengikut hukum keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972. Namun begitu, hukum tersebut mengekalkan ejaan beberapa perkataan, termasuk perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor.

4

Perkataan “perabut” sepatutnya dieja “perabot”.

Pemilik “Pusat Reflexi Selesa” cuba menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedainya. Walau bagaimanapun, ejaan reflexi yang berasal daripada bahasa Inggeris telah pun diserapkan ke dalam bahasa Melayu dan dieja “refleksi”.

5

Perkataan Inggeris ‘reflexi’ perlu ditukar ke Bahasa Melayu iaitu ‘refleksi’.

“Nurul Restaurant” juga terikut dengan cara penulisan dalam bahasa Inggeris. Lebih baiklah pemilik menukarkannya menjadi “Restoran Nurul” supaya lebih mesra pelanggan.

6

Lebih baiklah pemilik menukarkannya menjadi “Restoran Nurul” supaya lebih mesra pelanggan.

Untuk kemudahan pengguna bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan apa-apa sahaja kemusykilan tentang bahasa. Selain itu, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP – http://www.dbp.gov.my.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054184
    Visit Today : 1129
    This Month : 2437
    Total Visit : 1054184
    Hits Today : 3731
    Total Hits : 4327249
    Who's Online : 4
  • Kategori