Oleh NUR ATIKAH BUANG

YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) telah diberi mandat dan tanggungjawab oleh Kerajaan Malaysia untuk menyelenggarakan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Hadiah berprestij ini mula dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971. Hadiah ini kemudiannya dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1981. Mulai tahun 1996, hadiah ini diberikan nama baharu, iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 telah diadakan pada 21 November 2014 di Pullman Grand Ballroom 1, Hotel Pullman Kuala Lumpur Bangsar, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Seramai lebih kurang 500 orang khalayak yang terdiri daripada sasterawan, penerbit buku, kakitangan kerajaan dan swasta serta peminat sastera memenuhi ruang Pullman Grand Ballroom 1. Antara kenamaan yang turut hadir ialah YB Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan, YBhg Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg Datuk Dr. Haji Awang Sariyan,   Ketua Pengarah DBP, YBhg Datuk Wira Omar Kaseh, Ketua Pengarah MAMPU, TYT Air Chief Marshal (B) Herman Prayitno, Duta Besar Indonesia di Malaysia dan YBhg Tan Sri Johan Jaaffar Pengerusi Media Prima Berhad.

Marsli NO

Marsli NO memenangi kategori puisi.

Dalam ucapan alu-aluan, Datuk Dr. Awang membangkitkan peranan DBP dalam memartabatkan sastera dan bahasa kebangsaan.

“Majlis ini cukup bererti dan bukan sekadar majlis tahunan rasmi-rasmian yang sudah bermula pada awal tahun 1970-an, bahkan membawa mesej yang jelas tentang pentingnya semua pihak menghargai dan memuliakan bahasa dan persuratan kebangsaan kita sebagai salah satu tonggak negara.  DBP telah diberi amanah oleh kerajaan untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. DBP akan terus berusaha untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karya sastera dan karyawan sastera demi memastikan bahasa Melayu terus berperanan sebagai pengungkap falsafah, pemikiran dan etos bangsa,” katanya.

Rosmiaty Shaari

Rosmiaty Shaari memenangi kategori cerpen.

Mengulas tentang HSPM 2013, Datuk Dr. Awang menghimbau tentang ketelitian panel penilai dalam usaha memilih penerima yang benar-benar layak. Katanya lagi, panel penilai berusaha sedapat mungkin bersikap objektif dalam penilaian karya meskipun menyedari bahawa darjah keobjektifan itu agak anjal, tetapi yang lebih penting ialah proses pemilihannya yang sangat rapi dan terperinci melalui tiga peringkat penilaian, iaitu urus setia, panel saringan dan panel akhir.  Sememangnya tugas yang dilaksanakan oleh panel penilai ini tidaklah mudah kerana mereka harus menyaring dan menilai sejumlah besar karya yang dikumpulkan.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin  berterima kasih kepada DBP kerana secara berterusan menganjurkan HSPM setiap tahun. Inilah antara iltizam kerajaan dalam usaha untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karyawan tanah air yang terus-menerus menghasilkan karya sastera yang bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan.

Anwar Ridhwan

Datuk Anwar Ridhwan memenangi kategori esei/kritikan sastera eceran dan kategori buku.

Beliau juga menyarankan rakyat pelbagai kaum supaya membaca dan membincangkan karya pemenang bagi mewujudkan suasana rasa dan kepunyaan terhadap karya yang bermutu.

Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin  turut mengingatkan para pemikir agar menghasilkan karya yang sangat tinggi nilainya.

“Para pemikir kita harus dapat menghasilkan magnum opus yang mengangkat peradaban dan tamadun tinggi bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu tinggi seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Misa Melayu,” katanya yang turut berharap agar karya klasik disebarluaskan dalam kalangan masyarakat dengan pendekatan yang kreatif menggunakan teknologi multimedia dan digital.

Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan

Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan memenangi kategori buku.

Seramai 33 orang pemenang menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam pelbagai kategori. Pemenang Kategori A (Buku) menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00, sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM200.00 setiap seorang tajaan Bank Simpanan Nasional. Manakala bagi Kategori B (eceran) pemenang menerima wang tunai sebanyak RM2,000.00 dan Kategori C (Kanak-kanak dan Remaja) pula, pemenang menerima wang tunai sebanyak RM5,000.00 dan sijil penghargaan.

 

Senarai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013

 

KATEGORI A:

BUKU

GENRE JUDUL PENGARANG PENERBIT
 Novel  Kalam Kalbu Sri Rahayu Mohd Yusop ITBM
Kumpulan Cerpen Hujan Hujung Januari  Rebecca Ilham ITBM
Kumpulan Puisi Tercipta dari Tanya Anwar Ridhwan ITBM
Esei/Kritikan Sastera Teater,Filem dan Pengurusan Seni Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan DBP
Biografi/Autobiografi Memoir Hasrat Menyala Haji Amir Haji Hassan ITBM

KATEGORI B:

CERPEN ECERAN

JUDUL PENGARANG SUMBER
“Istana Cindai” Rosmiaty Shaari Mingguan Malaysia
“Gulai Tempoyak Ikan Sebarau” Malim Ghozali PK Dewan Budaya
“Fotokopi” Hassan Baseri Budiman Dewan Budaya
“Gadung” Zainol Idris Dewan Sastera
“Gadung” Zainol Idris Dewan Sastera
“Pusaka Ayahanda” Samsudin Ahmad Dewan Sastera
“Manisnya Rambutan Kampung” Zahari Affandi Mingguan Malaysia
“Zombi” Fudzail Dewan Sastera
“Catatan Rahsia Sang Ahli Fikir Tertua” Pelita di dalam Kaca Dewan Sastera
“Kasut” Roslan Jomel Utusan Borneo
“Rumah Impian Polan Cupan” Mohamad Affandi Hassan Dewan Sastera

KATEGORI B:

PUISI ECERAN

JUDUL PENGARANG PENERBIT
“Langit Meratap” Marsli NO Dewan Sastera
“Saling” Abd Razak Rezeki Othman Dewan Sastera
“Sekuntum Mawar di Taman Al-Mubarak” Shamsudin Othman Mingguan Malaysia 
“Pesan dari Kebun Perjuangan” Husna Nazri Dewan Siswa
“Malam Semakin Tua Ketika Aku Tiba” Malim Ghozali PK Dewan Siswa 
“Di Kubu Bahasa” Azmi Yusoff Pelita Bahasa
“Tempo Doele (Sekali Lagi Mengenang Pramoedya)” Rosli K. Matari Pentas 
“Nyanyian Tengkujuh” Husna Nazri Wanita
“Selepas Hujan” Dr. Ramzah Dambul Wadah
“Sebuah Cakerawala Batu” Muhammad Haji Salleh Dewan Masyarakat

KATEGORI B:

ESEI/KRITIKAN SASTERA ECERAN

JUDUL PENGARANG SUMBER
“Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering” Nur Fatiha Fadila Abu Bakar Dewan Sastera
“Media Elektronik Mengancam Persuratan” SN Dato’ Dr. Mohd. Anuar Hj Rethwan Dewan Sastera
 “Pembinaan Insan dan Jati Diri Melalui Karya Sastera” Roslan Jomel Tunas Cipta
“Pengarang Muda Tanggungjawab dan Cabaran Zaman” Muhammad Lutfi Ishak Dewan Sastera
“Hang Tuah dalam Hayat Lisan di Air dan Daratan” SN Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit USM
“Ritual dalam Lipur Lara dan Foklor Melayu: Tradisi dan Persepsi”  Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit USM
“Daripada Kertas Kepada Layar: Transformasi Kisah Hang Tuah dan Sulalat Al-Salatin Kepada “Puteri Gunung Ledang” Wan Hasmah Wan Teh Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit USM

KATEGORI B:

DRAMA ECERAN

JUDUL PENGARANG SUMBER
“Bulan Belum Kelam” Roziah Adama Dewan Sastera

KATEGORI C:

BUKU KANAK-KANAK DAN REMAJA

GENRE JUDUL PENGARANG SUMBER
Novel Remaja Sepetang Di Kafe Biblioholic Ainunl Muaiyanah Sulaiman JS Adiwarna
Novel Kanak-Kanak Suteki Da Ne Aleena Mass Ruhaiza Ali @Hamid ITBM
Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak E-Mel Dari Shinjuku Ariff Mohamad DBP
Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Pesanan Pendeta Mahaya Mohd Yassin ITBM
Kumpulan Drama Kanak-Kanak Mimpi Laila Amelia Hashim ITBM

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1057286
    Visit Today : 473
    This Month : 5539
    Total Visit : 1057286
    Hits Today : 1876
    Total Hits : 4340659
    Who's Online : 9
  • Kategori